Tuesday 10 March 2009

Sayangi Otak Anda

Penggunaan telefon bimbit semakin meluas dan dominen di abad ini, tidak seperti 10 tahun dahulu yang mana ia hanya dimiliki oleh golongan-golongan tertentu sahaja. Fungsi telefon bimbit kini tidak lagi untuk membuat dan menerima panggilan semata-mata, tetapi lebih daripada itu sehingga membuatkan langkah di luar rumah tidak sempurna tanpa telefon bimbit menemani.

Bermula daripada teknologi 1G (First generation) di mana telefon bimbit hanya berfungsi untuk membuat dan menerima panggilan dalam bentuk analog, teknologi seterusnya berkembang kepada 2G iaitu kebolehannya untuk membuat/menerima panggilan dan juga menghantar/menerima SMS menggunakan sistem digital. Beberapa tahun kemudiannya, teknologi 2G dipertingkat lagi dan hasilnya, 3G diperkenalkan dengan beberapa servis tambahan berbanding teknologi sebelumnya seperti membuat panggilan video, melayari Internet tanpa wayar dan juga sistem GPS (Global Positioning System).

Beberapa kajian juga telah dijalankan untuk mengenalpasti kesan penggunaan telefon bimbit kepada otak manusia. Aku percaya ramai yang pernah mendengar desas-desus bahawa telefon bimbit boleh menyebabkan barah otak dalam jangka waktu yang panjang, tetapi kebanyakan daripada mereka tidak mahu menerimanya kerana masih belum ada bukti yang sahih mengenainya.

Namun hakikat yang patut diterima ialah telefon bimbit menggunakan gelombang frekuensi yang sangat tinggi untuk beroperasi di mana gelombang ini membebaskan pancaran elektromagnetik yang merangsang seterusnya mengganggu sel-sel hidup. Seperti mana alat pemanas microwave berfungsi untuk memanaskan makanan dengan menggunakan gelombang elektromagnetik berfrekuensi tinggi dan menyebabkan sel-sel atom bergetar lalu membebaskan haba yang memanaskan makanan, begitu juga lah kesan yang terlibat dalam penggunaan telefon bimbit dalam julat frekuensi yang sama iaitu antara 800 hingga 2200 MHz.

Anda boleh bayangkan molekul-molekul air dalam otak anda bergetar dan menjadi panas ketika menggunakan telefon bimbit anda?

Langkah-langkah keselamatan

Berikut adalah beberapa langkah yang disarankan oleh Center for Environmental Oncology (CEO), sebahagian daripada University of Pittsburgh Cancer Institute bertempat di Pittsburgh, Pennsylvania untuk mengurangkan kadar radiasi elektromagetik daripada telefon bimbit kepada otak yang telah aku ringkaskan:

1. Elakkan memberikan telefon bimbit kepada kanak-kanak untuk berbual dengan pemanggil. Organ-organ penting mereka yang sedang membesar adalah sensitif kepada gelombang elektromagnetik.

2. Jarakkan telefon bimbit daripada tubuh anda ketika menunggu panggilan anda dijawab. Tunggu sehingga orang yang dipanggil menjawab panggilan tersebut baru lah didekatkan telefon bimbit ke telinga.

3. Gunakan Bluetooth headset atau speaker ketika bercakap di telefon kerana ia dapat mengurangkan kadar radiasi elektromagnetik dari telefon bimbit terus kepada otak.

4. Letak atau bawa telefon bimbit jauh dari tubuh, misalnya di dalam beg. Jangan letakkan ia berdekatan tubuh pada waktu malam ketika sedang tidur (seperti di bawah bantal), terutamanya bagi wanita mengandung.

Setkan kepada "Flight" mode ketika tidur untuk memberhentikan pancaran gelombang elektromagnetik daripada telefon bimbit. Beberapa fungsi lain seperti jam loceng masih boleh digunakan ketika mode ini.

5. Jika ingin membawanya di dalam poket baju, arahkan keypad ke arah tubuh anda dan belakang telefon bimbit ke arah menjauhi anda. Dengan ini gelombang elektromagnetik yang dipancarkan oleh telefon itu akan terarah keluar dan bukannya ke arah tubuh anda.

6. Guna telefon berkabel (landline) untuk membuat panggilan yang lama, bukan dengan telefon bimbit atau telefon tidak berwayar (cordless) kerana kedua-duanya menggunakan pancaran teknologi elektromagnetik yang sama.

7. Selang-selikan menggunakan telinga kanan dan kiri ketika menggunakan telefon bimbit untuk berbual.

8. Elakkan menggunakan telefon bimbit ketika berada dalam kenderaan bergerak yang laju seperti bas dan kereta api, atau ketika signal lemah. Telefon bimbit pada ketika ini sentiasa cuba menyambung kepada rangkaian antenna baru yang lain di sekitarnya untuk memastikan kesinambungan gelombang yang diterima dan menggunakan kuasa yang tinggi untuk berbuat demikian pada ketika itu.

9. Gunakan khidmat SMS untuk berhubung berbanding membuat panggilan telefon kerana ini dapat mengurangkan kadar pendedahan telefon bimbit secara terus kepada otak.

10. Pilih telefon mudah alih yang mempunyai Specific Absorption Rate (SAR) yang paling rendah. SAR ialah ukuran kekuatan penyerapan medan magnet yang diserap oleh tubuh manusia dan limit ukuran yang normal ialah maksimum 2W/kg.

(Artikel penuh di sini)

Semoga bermanfa'at untuk semua..

No comments: