Thursday, 22 January 2009

Perkhabaran yang dinantikan..

BERUNDURNYA ZIONIST!

Alhamdulillah peperangan di Gaza telah dihentikan dan tentera Zionist telah sepenuhnya keluar dari Gaza hari ini. Hati terasa hiba melihat gambar-gambar yang terpapar di dada akhbar tentang keadaan di bandar Gaza yang digambarkan "10 kali lebih dasyat daripada gempa bumi". Moga Allah menurunkan bantuan melalui hamba-hambaNya yang prihatin untuk terus membantu rakyat-rakyat Palestine di Gaza dalam membina semula kehidupan mereka di sana.

Walaupun Gaza musnah teruk, tetapi rakyat-rakyat Palestine meraikan pengunduran tentera Zionist Israel itu sebagai satu kemenangan di pihak mereka dengar mengibarkan bendera Hamas di atas runtuhan-runtuhan bangunan.

Kagum.

Ya, sesungguhnya tentera Zionist Israel tidak berjaya mematahkan semangat orang-orang Islam di Gaza! Semangat mereka tidak runtuh seperti runtuhnya bangunan-bangunan di Gaza akibat bedilan tentera zalim Zionist Israel!

Pertolongan Allah akan dan pasti datang. Mari kita sama-sama menyumbang untuk membantu badan-badan yang menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Antara badan-badan yang aktif menyalurkan bantuan ke Gaza buat masa ini yang boleh disalurkan bantuan dan derma dari UK:

Islamic Relief

Muslim Aid

Human Appeal International - Gaza Appeal

Human Relief Foundation

PERKHABARAN GEMBIRA

Selesai kertas peperiksaan pertama pada hari ini.

Alhamdulillah, Allah merancang dan menakdirkan sesuatu yang baik hari ini selepas tamat sesi menjawab soalan peperiksaan selama 3 jam tadi.

Semalam aku menerima SMS daripada seseorang. Sungguh aku tak sangka menerima mesej daripada orang yang sudah lama tidak mendengar khabar berita dan amat aku nantikan perkhabaran daripadanya. Dalam mesejnya dia mengajak aku untuk berjumpa selepas kertas peperiksaan ku hari ini..

Selepas bersolat Maghrib di masjid Universiti usai waktu peperiksaan, aku mengejar waktu menuju ke tempat yang dijanjikan. Waktu yang dijanjikan ialah pada jam 6 petang, tapi aku terlambat 5 minit. Gembira tatkala melihat wajahnya yang sudah lama tidak ditatapi, aku merapatkan kedua tapak tanganku tanda mohon maaf ketika kakiku melangkah masuk ke restoran itu. Dia berpura-pura melihat jam di pergelangan tangannya tanda protes "Anda lambat!", namun kemudiannya mendongak dan tersenyum lalu bingkas bangun dari tempat duduknya dan menghulurkan tangan. Aku mengucapkan salam lalu kami berpelukan mesra.

Kami saling tersenyum dan tidak sabar-sabar untuk mendengar khabar tentang diri masing-masing. Kami berborak mesra, bergelak tawa, seperti kebiasaannya.. =)

Beberapa minit berlalu dan kami terus berkongsi cerita sambil menunggu tempahan makanan. Dia mengkhabarkan tentang perkahwinannya yang dijadualkan kurang 5 bulan dari sekarang. Alhamdulillah! Lama sudah aku menantikan berita ini. Walaupun aku tidak sempat untuk menghadiri majlisnya nanti, namun aku tetap gembira untuknya.



Aku menghantarnya pulang ke tempat kediamannya sambil-sambil ingin mengenali jalan ke sana. Senang lah untuk aku melawatnya kelak ketika berkelapangan. Jika tidak kerana musim peperiksaan dan juga kerana dia kelihatan letih, ingin juga aku bermalam di biliknya. Sangat banyak perkara yang ingin dibualkan.

Aku meminta diri untuk memberi laluan kepadanya berehat dan melangkah pulang dengan senang hati. Perjumpaan ini begitu merawat kerinduan aku pada keluarga dan mengembalikan aku kepada gelak ketawa setelah sekian lama hanya berteleku dan terperuk di bilik di musim peperiksaan ini. Dengan hati yang lapang dan gembira, aku mengadap-Nya ketika bersolat Isyak dengan penuh rasa syukur... Alhamdulillah ...Terima kasih Ya Allah atas kasih sayang dan ukhwah ini....moga Engkau mempermudahkan urusannya sentiasa..

No comments: