Sunday, 28 October 2007

Riba di sebalik caj perkhidmatan PTPTN

Tersenyum saya membaca artikel ni.Alhamdulillah..dh lama tunggu isu ni dibincang dan diselesaikan.jika penyelesaian tlh ditemui dan dilaksanakan,sistem pendidikan Malaysia akan bebas drpd masalah riba.Saya sendiri jika berada dlm kelompok masyarakat pelajar yg mendapat pinjaman PTPTN drpd kerajaan,akan cuba mencari alternatif lain supaya tdk terlibat dlm riba.Saya tak pasti,ada tak institusi kewangan lain di Malaysia yg menyediakan wang pinjaman pendidikan utk pelajar yg bebas drpd faedah/riba sblm ni..kalau ada,sepatutnya pelajar yg mentitik beratkan soal halal haram ni berusaha sedaya mungkin utk menukar pinjaman PTPTN kpd yg lbh baik..yg lebih telus dan lurus di jalan Allah..."Hendak seribu daya,tak nak seribu dalih."Wallahua'lam...

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

KESEDIAAN kerajaan untuk meneliti caj pentadbiran yang dikenakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagaimana jaminan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi awal minggu ini pastilah mampu mengukir senyuman di kalangan penuntut menara gading yang kebanyakannya merupakan peminjam PTPTN. Ketika ini PTPTN mengenakan caj pentadbiran sebanyak tiga peratus berasaskan jumlah pinjaman pada setiap tahun kepada para pelajar yang meminjam daripada tabung tersebut.

Penulis turut berkongsi kelegaan dan kegembiraan dengan jaminan tersebut. Apatah lagi harapan penulis selama ini agar tabung pendidikan yang ditubuh khas kerajaan untuk memberi bantuan pinjaman kepada para pelajar bebas daripada unsur-unsur riba tampak semakin menjadi kenyataan.

Sejak awal diperkenalkan, isu caj perkhidmatan ini sememangnya tidak sunyi daripada polemik perdebatan di kalangan massa. Isu ini kembali menjadi tumpuan lebih-lebih lagi ketika kerajaan dilihat begitu serius dalam usaha memperhebatkan perkembangan sistem kewangan dan perbankan Islam di negara ini. Pelbagai kempen yang dijalankan tampak semakin berjaya meningkatkan kesedaran rakyat mengenai halal haram dalam urusniaga muamalah khususnya berkaitan riba.

Sememangnya pembangunan sistem alternatif yang bebas riba amat bertepatan dengan amaran Allah S.W.T.: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman. Jika tidak, Allah dan RasulNya mengisytiharkan perang terhadap kamu. Dan jika kamu bertaubat, maka bagimu pokok hartamu, agar kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya”. (Al-Baqarah:278).

Kecelakaan riba ini turut ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. yang mengingatkan dalam satu hadis: “Riba mempunyai 72 pintu. Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seseorang lelaki berzina dengan ibunya sendiri.” (At-Tabrani, 7/158; Riwayat Al-Hakim).

Demikianlah bahana riba yang dikategorikan sebagai dosa besar yang bukan sahaja diumpamakan seperti berzina dengan ibu kandung sendiri malah lebih parah lagi sehinggakan Allah dan RasulNya mengisytiharkan perang terhadap pengamalnya.

Sebab itulah dalam konteks urusniaga kewangan semasa, ulama banyak memperincikan garis panduan berasaskan prinsip syarak dalam memastikan urusan muamalah umat benar-benar bebas daripada unsur-unsur riba yang diharamkan.

Salah satu bentuk riba yang jelas diharamkan oleh Islam ialah riba yang terkait dengan amalan memberi hutang atau dinamakan sebagai Riba Al-Qard atau Riba Al-Duyun. Dalam konteks ini, syariat jelas memperincikan bahawa hutang atau pinjaman tidak boleh dikenakan sebarang caj tambahan sama ada bersifat faedah mahupun perkhidmatan. Prinsip ini turut dipertegaskan dalam satu hadis: “Setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat bagi pemberi pinjaman maka ia adalah riba”.

Majlis fatwa antarabangsa yang mengawal selia operasi sistem kewangan Islam seperti AAOIFI menyataka bahawa, semua faedah atau lebihan (daripada jumlah yang dipinjam) yang dipersetujui atau disyaratkan di dalam kontrak atau akad pinjaman dibuat pada awal kontrak ataupun dikenakan ketika kelewatan membayar balik pinjaman sama ada dalam bentuk wang, barangan atau apa-apa manfaat lain dilarang dan adalah riba”.

Berkenaan dengan kos perkhidmatan pula, Majlis Syariah AAOIFI dan Majlis Fiqh Sedunia di bawah OIC (Persidangan Negara-negara Islam), mengeluarkan resolusi yang jelas dengan menyatakan bahawa caj bagi perkhidmatan hanya dibolehkan dengan syarat ia adalah kos sebenar pengurusan teknikal sahaja. Manakala caj yang dikenakan melebihi kos sebenar adalah haram.

Ini bermakna sebarang caj yang dikenakan mestilah berasaskan kos pengurusan yang sebenar dan bukannya sekadar meletakkan peratusan seperti 1 peratus, 2 peratus ataupun 3 peratus daripada jumlah pinjaman. Inilah yang dikatakan riba kerana manfaat diperoleh daripada nilai hutang yang diberikan dan bukannya berasaskan kos pengurusan sebenar.

Sebaliknya yang dibenarkan oleh Majlis Fatwa OIC tadi ialah apabila caj dikenakan berasaskan kos pengurusan sebenar tanpa terikat kepada nilai hutang peminjam. Sebagai contoh, sekiranya kos pengurusan sebenar (termasuk kos dokumentasi, peguam, cukai setem dan lain-lain) bagi setiap transaksi adalah sebanyak RM600. Maka caj tersebut boleh dikenakan kepada peminjam tanpa mengira jumlah atau nilai hutang yang diberikan.

Demikianlah perincian yang dilakukan oleh para ulama dalam memperhalusi isu riba dalam urusniaga kewangan khususnya dalam aspek pemberian pinjaman yang sudah menjadi asam garam kehidupan hari ini. Apa yang penting elemen riba tidak boleh dikompromi sama sekali dalam upaya mencari jalan keluar bagi mempermudahkan urusan kehidupan masyarakat.

Justeru, amat bertepatanlah langkah kerajaan untuk menilai kembali kaedah caj perkhidmatan yang dikenakan dalam memberikan kemudahan pinjaman pendidikan kepada para pelajar. Ia sekaligus menggambarkan kesungguhan kerajaan yang begitu prihatin dalam memartabatkan sistem kewangan Islam berteraskan prinsip syarak yang sebenar.

No comments: