Monday, 1 September 2008

Ahlan Wasahlan Ramadhan Kareem..

Selamat berpuasa kepada kepada semua ahli keluarga saya, kawan-kawan saya, pembaca blog saya yang tidak seberapa ni dan kepada semua umat Islam di mana jua berada. Syukur Alhamdulillah ( setinggi-tinggi puji bagi Allah ) kerana saya masih diberi kesempatan merasai nikmat berpuasa di bulan yang mulia ini. Moga kita dapat memanfa'atkan kesempatan bersua kembali dengan Ramadhan pada tahun 1429 H ini dan beramal dengan setulus hati, ikhlas kerana Dia. Allah berfirman melalui hadith Qudsi: "Sesungguhnya puasa itu untuk Aku dan Aku lah yang akan menilainya."

Di kesempatan ini saya ingin memohon maaf kepada sesiapa jua yang pernah terasa hati dengan saya, yang mana saya ada pernah buat salah kepada mereka, secara sengaja atau pun tidak. Maafkan lah kesilapan atas kelemahan diri saya. Moga Allah menunjukkan jalan yang benar dan lurus kepada saya dan merahmati serta menyatukan kita semua dalam ikatan kasih sayang dan ukhwah Islamiah.

Marilah kita perbanyakkan bacaan Al-Quranul Kareem sepanjang bulan penuh keberkatan ini untuk membersihkan hati kita yang telah banyak dicemari dengan karat hitam. Perbanyakkan lah mengingati Dia dan selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Selamat Berpuasa, zahir dan batin. =)

p/s: Besar sungguh dugaan dan pahala berpuasa di rumah kakak ku ini. Jiran-jiran sebelah rumah (rumah flat) bukan Islam sibuk menyediakan juadah makan tengahari mereka. Aduh baunya....mendendangkan lagu di dalam perut...huhu.

Sunday, 31 August 2008

Bila kita berseorangan di luar sana...

Sekarang ni saya berada di rumah kakak saya (yang baru je kahwin baru-baru ni) di Kuala Lumpur sempena cuti 3 hari di hujung minggu ini. Meyambut hari merdeka dan awal Ramadhan di sini la konon..( mengacau pengantin baru juge..hihi :P )

Saya dapati ada sesuatu perkara yang aneh kelihatan di sini. Dalam banyak-banyak kenderaan yang dilihat lalu-lalang di jalan raya di sekitar Kuala Lumpur ni, amat jarang sekali kenampakan kenderaan yang memasang bendera Jalur Gemilang sebagai melambangkan semangat patriotik untuk menyambut Hari Kebangsaan ke-51 negara kita. Usahkan di sini, di sekitar Kota Bharu sendiri pun saya dan lama perasan. Apa dah jadi dengan rakyat negara kita ni? Protes ker ape? Ker memang semangat kemerdekaan tu dah mula pudar...? Agaknya kita ni disibukkan dengan isu kenaikan harga minyak dan barang-barang keperluan hidup, isu Bajet 2009 , isu kes liwat Anwar dan juga sumpah mangsa liwatnya Saiful Bukhari lalu terus menurun semangat untuk sambut merdeka tahun ni...Hmm....

Pagi tadi juga ketika berada di dalam kereta abang ipar melintasi kawasan kediaman tempat mereka tinggal, saya terpandang seorang anak gadis ( atau mak gadis mungkin ) yang sedang melangkah menuruni anak tangga kecil menuju ke jalan raya. Berpakaian cantik dan kemas, wanita itu berjalan seorang diri- tiada teman di sisi. Saya lantas teringat kes-kes ragut, rogol dan bunuh yang sering terjadi ke atas wanita-wanita yang berseorangan seperti itu. Meskipun berjalan di tempat yang terbuka, musibah tetap boleh berlaku.

Saya termenung dan terimbau semula kes-kes yang pernah menggemparkan negara kita. Wanita yang memakai tudung ( i.e berpakaian menutup aurat) sekalipun kanak-kanak berpotensi menjadi mangsa mereka-mereka yang rakus dan ’desperate’. Jadi, setelah habis usaha kita untuk mengelakkan diri menjadi perhatian orang yang berniat jahat di luar sana, siapakah lagi yang mampu melindungi kita dari segala musibah ketika kita berada di luar rumah? Ketika kita begitu fokus untuk sampai ke destinasi kita, mampukah kita mengawasi mata-mata yang mungkin memerhati kita dengan tujuan yang tidak baik?

Pelindung agar terhindar dari pandangan orang-orang yang berniat jahat di hati mereka..hanyalah Allah... Dia yang berkuasa ke atas hati-hati manusia, yang berkuasa menimpakan dan mengangkat musibah serta memberi kebaikan kepada makhluk-makhluk menurut kehendak-Nya.

Kita ada Dia, yang sentiasa mendengar dan melihat. Minta lah pada Allah agar dijauhkan malapetaka baik di dalam mahupun di luar rumah. Malang tidak berbau. Sesungguhnya, dengan doa itu mampu merubah Qadar Allah yang boleh berubah bergantung kepada usaha manusia.. asalkan kita meminta dan berdoa kepada-Nya..
Ingatlah Allah di mana jua, Dia lah Pelindung yang Terbaik buat kita…

Wahai Allah, jadikan aku orang yang sentiasa mengingati-Mu, dalam susah atau pun senang, ketika beramai-ramai ataupun berseorangan...ameen.

Wednesday, 27 August 2008

... Wedding....

Alhamdulillah, my eldest sister’s wedding has done. Uh, it’s very called a “big wash” like the Kelantanese term pronounced as “bekwoh” (Yes, the Kelantanese term comes from the English word =p ). The busiest month ever has now over. The truth is, family members are more exhausted than the brides when the wedding ceremony is just near the corner and even 2 or 3 days after the occasion. Now, 6 days has passed since the wedding day that taking place on last Thursday, 21/8/2008. Time to rest now……hehe…..

From deepest of my heart, I am really happy for my sister to see that she has been a wife to a good Kelantanese (also) guy. The term “wife” (I like to pronounce it in Malay term: isteri) is really meaningful to her; in fact to every woman I believe. Being a soulmate to the beloved guy of yours is always a dream, isn’t it? =)

Recalling the moment when ‘akad was said by the groom, from nowhere I felt the feeling of so touching, as if I was the bride. I saw my sister weeping slowly, the common sense being felt when the occasion takes place. I wanted to give my sister the warmest hug and congratulated her but my distance and role as camera-girl at the front unabled me to do so. She was hugged by all the friends and relatives that came that night at the mosque with all saying “Congratulation!” to her. ** smile with a big face ** =)

My sister and her husband have gone back to KL yesterday, stopping at Cameron Highland for their unplanned-honeymoon. (They were getting MC for two days yesterday and just planned to go to Cameron Highland on the way back. Heh. )

Congratulation kakak. I love you with all my heart. May Allah bless you and your spouse, together with your future children. Always. =)

p/s: Wondering if I can afford to see my sister’s big tummy with my own eyes in real before I come back after finishing my final term next June! Huhu….

Friday, 8 August 2008

Mampukah Untuk Diucapkan Buat Kali Terakhir...

Petang tadi saya menziarahi nenek saudara saya yang sakit tua,kini terlantar di rumah anaknya. Mesra dengan panggilan Waji, beliau kelihatan sungguh kurus dan kering, hinggakan nampak oleh saya degupan jantungnya dalam keadaan bahagian sebelah atas tubuhnya yang terbuka sedikit menampakkan tulang rusuknya yang jelas kelihatan. Mata Waji tidak mampu lagi dibuka, telinganya juga mungkin tidak dapat lagi menangkap butir-butir percakapan manusia di sekelilingnya dan bunyi-bunyian. Beliau sudah tidak mampu bercakap lagi. Apa yang boleh saya katakana ialah, beliau hanya menunggu ajalnya dijemput Tuhan. Allahummaghfirlaha…..

Keadaan ini betul-betul membuatkan hati saya sayu. Terasa ingin memeluk Waji. Tapi saya menahan diri sendiri, bimbang tindakan kita yang kita anggap satu perlakuan untuk menunjukkan kasih sayang kita itu akan membuatkannya terasa sakit. Ketidakupayaan beliau untuk bertutur lagi membuatkan hati ini terdetik,”Mampukah Waji mengucap dua kalimah syahadah ketika berhadapan sakaratul maut nanti?” Ya Allah, permudahkanlah…matikanlah Waji dalam iman..

Melihat keadaan Waji juga mengingatkan saya tentang hadith Rasulullah S.A.W. yang lebih kurang berbunyi,”Semua penyakit mempunyai ubat kecuali mati dan sakit tua.” Saat-saat begini lah juga syaitan gigih berusaha untuk menyesatkan ummat Nabi Muhammad S.A.W dengan memujuk dan merayu agar kita berpaling dari agama Tauhid. Ada sebuah kisah di mana seorang ahli ibadah yang saat hidupnya dipenuhi amal ibadah kepada Allah tetapi akhirnya mati dalam keadaan kufur kerana tertipu dan tunduk kepada pujukan syaitan ketika saat ajalnya sudah dekat. Dalam kisah itu, ahli ibadah itu disalib kerana kesalahannya berzina. Ketika menunggu hukuman dikenakan ke atasnya, syaitan datang lalu berkata,”Siapa lagi yang mampu menolongmu ketika ini kecuali aku? Jika kau menundukkan kepalamu tanda sujud kepada aku nescaya aku bebaskan engkau dari hukuman ini.” Kerana percaya dan yakin dengan janji syaitan itu, orang itu pun menundukkan kepalanya tanda patuh. Lalu di saat itu ajalnya dicabut, maka matilah dia dalam keadaan syirik dan kufur kepada Allah SWT. Wana’uzubillah..

Petikan hadith Rasulullah yang lain juga ada berbunyi,” Seseorang itu akan dihitung/dihisab dengan melihat amal perbuatannya yang terakhir.” Jika kita terpedaya dengan pujukan syaitan ketika berhadapan dengan sakaratul maut, maka matilah kita dalam kekufuran walaupun kita seorang yang baik dan sentiasa beramal ibadah kepada Allah semasa hayat di dunia.

Insaf. Saya termenung ketika dalam perjalanan pulang, begitu lah juga keadaan kita kelak jika kita dipanjangkan umur oleh Allah dan sempat merasa kehidupan tua lalu mati kerana sakit tua kan? Untung jika ada yang dapat menjaga kita dengan penuh sabar. Anak sendiri belum tentu masih hidup untuk menjaga kita ketika itu. Jika anak masih hidup pun, belum tentu sanggup menjaga orang tua yang keuzuran. Untung jika ketika itu kita masih boleh bercakap dan mengakhiri hayat kita dengan kalimah Tauhid mengEsakan Allah SWT.

Allahumma ahyina bil iman, wa amitna bil iman.. (Ya Allah hidupkanlah kami dalam iman, dan matikanlah kami dalam iman..) ameen.

Sunday, 3 August 2008

"Hanya Ada Dua." Eh?

Malam ni saya kebosanan sangat. Klik sana, klik sini di Friendster. Dulu terasa jugak berFriendster ni membuang masa dengan melihat-lihat gambar orang tu, orang ni. Sedar tak sedar sejam dah berlalu. Tapi dikala kebuhsanan tahap cipan begini, Friendster ni berguna juga. Huhu..

JALAN-JALAN KUALA LUMPUR

Dah sebulan lebih saya di Malaysia. Sesekali keluar juga dari negeri Kelantan ni; dah 2 kali ke KL-ziarah kakak dan juga menemani sahabat ke temuduga kerja sebagai IT Specialist di Cosmopoint KL. Yang paling best ialah berjumpa dan lepak-lepak bersama sahabat-sahabat baik yang sudah 3 tahun tidak bersua. Bergosip sana sini. Sorry, saya hanya mendengar, tidak turut serta. Berdosa ok. Cuma kadang-kadang menyampuk dan tergelak sekadar menghidupkan suasana. =)

Saya dan teman sebaya saya, A bertolak ke Kuala Lumpur dengan menaiki bus ekspres Mahligai pada jam 9 pagi pada hari Ahad 27 Julai yang lalu. Macam-macam yang kami bualkan sepanjang perjalanan. Tapi kerana keadaan diri saya yang kurang sihat, saya terpaksa mengambil keputusan mendiamkan diri daripada terus bercakap untuk tidak memudaratkan keadaan tekak saya yang keperitan ketika itu. Itu pun sebenarnya dah hamper 1 jam lebih berborak- hingga terbatuk-batuk baru lah nak ingat diri ni kurang sihat sebenarnya. Isk, isk, isk…

Kami tiba di KL ketika jam melewati angka 5 petang dan di jemput oleh sepupu kepada mertua teman saya itu yang datang bersama suaminya. Malamnya kami bermalam di rumah Kak Ti & Abang Husaini di Kelana Jaya. Pasangan muda lewat 30-an ini dikurniakan 8 orang anak yang comel-comel belaka; yang sulong berumur 18 tahun manakala yang bongsu pula berumur 3 tahun. Kak Ti mendapat anak pertama ketika berumur 21 tahun. Kahwin muda katakana =). Kedua-dua Kak Ti dan suaminya bekerja di tempat yang sama iaitu di Universiti Teknologi Malaysia cawangan Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

UNTUNGNYA KAHWIN DI USIA MUDA

Apa yang menarik perhatian saya tentang keluarga ini ialah, walaupun rumah teres 1 tingkat mereka dihuni oleh 10 orang ahli keluarga, keadaan di rumah sentiasa kemas dan anak-anak mereka yang ramai tidak nampak seperti serabut keadaannya. Masing-masing pandai memainkan peranan dalam membantu ibu bapa mereka di rumah dan pandai berdikari. Ketika kami sampai di rumah mereka, waktu ketika itu sudahpun pukul 9.15 malam. Anak sulong Kak Ti sedang menyiapkan makan malam. Bagus betul. Seingat saya, ketika saya sebaya dengan umurnya 18 tahun, saya masih belum betul-betul berdikari dari segi masak-memasak dan menjaga adik. Kagum saya pada anak sulong Kak Ti yang mesra dipanggil Kakak itu. Sifat kepimpinan dan bertanggungjawab terhadap adik-adiknya terserlah. Untungnya kahwin awal, ketika diri masih muda, anak-anak telahpun remaja dan boleh diharapkan dalam membantu menguruskan rumahtangga/ keluarga. Paling penting ialah, hubungan yang erat antara ibubapa dan anak-anak yang seperti kawan dan sahabat akrab untuk berkongsi segala masalah seperti yang saya dapat lihat dalam keluarga Kak Ti dan Abang Husaini ini.

Saya menemani sahabat saya ke tempat temuduga keesokan harinya.Ia merupakan pengalaman baru kepada saya bagaimana keadaan dan suasana menghadiri temuduga kerja. Walaupun sekadar menemani, saya betul-betul teruja dan beria-ria untuk turut serta mendengar tips-tips dan pesanan yang dikongsi bersama oleh Pegawai Eksekutif di situ dalam sesi taklimat ringkas kepada mereka yang hadir . Bagi saya, ilmu daripada orang yang banyak pengalaman perlu dikutip. Ia ibarat mutiara yang sangat berharga dan akan berguna untuk saya jadikan pedoman sebagai persediaan ditemuduga kelak. Seperti kata Pegawai tersebut, KEYAKINAN ketika berbicara dan menjawab soalan-soalan yang diajukan sangat penting untuk dinilai. Lazimnya soalan-soalan akan dikemukan dalam bahasa Inggeris, maka tidak hairanlah KELANCARAN bertutur dalam bahasa Inggeris sangat dititik beratkan. Ia menyerlahkan ekspresi dan kemahiran kita dalam menguasai bahasa asing itu yang merupakan bahasa penting dalam menguasai dan mempelajari teknologi dalam dunia globalisasi kini.

PEMINAT DI PUTRAJAYA


Pengalaman dibawa ke Putrajaya oleh sahabat kami berdua yang merupakan pelajar tahun akhir di UniTen sangat manis dan meninggalkan kenangan yang indah. Kawasan luas yang dihiasi dengan bangunan-bangunan yang pelbagai bentuk dan landskapnya yang menghijau segar serta unik, memukau mata kami. Kunjugan tanpa dirancang ini dirasakan seperti mimpi. Kami berposing sakan kerana tidak mahu melepaskan peluang bergambar dengan berlatarbelakangkan landskap yang unik dan menarik itu.

Untuk merakamkan gambar kami bertiga sebagai kenangan, kami meminta bantuan seorang pelancong asing dari China untuk membantu kami. Kelakar pulak apabila kami kemudiannya menjadi tumpuan dan rebutan kawan-kawan pelancong itu yang datang serombongan melawat pusat pentadbiran negara kita di situ. Bersilih ganti gambar kami dirakamkan oleh mereka. Selesai bergambar dan mengucapkan terima kasih kepada mereka, kami melangkah menuju ke masjid untuk melihat-lihat rumah Allah yang tersergam indah itu. Ketika menghampiri masjid itu, beberapa orang pelancong lain pula melambai-lambai ke arah kami dengan hasrat agar kami mendekati mereka. Di fikiran kami, mungkin mereka ingin mendapatkan bantuan kami agar menangkap gambar mereka bersama. Rupa-rupanya, mereka yang mahu bergambar dengan kami. Terasa seperti model pulak hari tu. Huhu…=p

JALAN-JALAN DI SEGAMAT, JOHOR


Saya dan teman saya, A bertolak ke Segamat, Johor untuk menziarahi Kak Long & keluarga pada keesokan harinya. Kak Long merupakan anak kepada abang Mama saya (istilah lain: sepupu saya) , dipelihara sejak kecil oleh nenek saya. Kak Long membesar bersama Mama yang merupakan anak bongsu dalam keluarga. 10 tahun lebih muda daripada Mama saya, Kak Long turut memanggil Mama dengan panggilan yang sama seperti kami serta menganggap saya dan adik-beradik saya seperti adik-adiknya sendiri.

Perjalanan dengan menaiki bus ekspress dari Hentian Puduraya ke Segamat mengambil masa selama lebih kurang 3 jam. Kami membeli tiket di kaunter pagi itu, mujurlah masih ada tiket untuk perjalanan seawal jam 9 pagi.

Kami tiba di Stesen Bas Segamat tepat jam 12.45 tengahari. Kelihatan kelibat kereta Abang Long telah sedia menunggu di pekarangan parkir kereta. Rupa-rupanya Abang Long dan 3 orang anak-anaknya telah pun menunggu kami hampir 30 minit.

Kami di”tahan” untuk berada di rumah Kak Long selama 3 hari 2 malam. Seronok berada di rumah Kak Long- dihidangkan pelbagai jenis makanan dan juadah. Pulut durian, ikan bakar cicah air asam kicap, ikan masak asam pedas, masakan sayur kegemaran saya, dan macam-macam lagi. Itu lah lumrah apabila kami adik-beradik bertandang ke rumah mereka sekeluarga. Pendek kata, kalau ditahan seminggu di rumahnya, mahu hendaknya naik berat badan sebanyak 5 kg. Serius tak tipu. Huhu.

DUA SAHAJA TANGGUNGJAWAB ISTERI?

Kami suka melihat kemesraan antara Kak Long & Abang Long. Walaupun sudah 14 tahun berkahwin dan mempunyai 4 orang anak, tetapi hubungan dan komunikasi mereka sangat harmoni dan menghiburkan, penuh dengan jenaka dan gelak ketawa. Kak Long yang merupakan seorang ustazah juga pandai menyelit unsur-unsur nasihat dan pengajaran apabila kami duduk –duduk bersembang kosong di meja makan atau di ruang tamu.

Perkongsian yang menarik yang diberikan oleh Kak Long ialah tentang tanggungjawab seorang isteri. Menurut Kak Long, tanggungjawab isteri sebenarnya HANYA ada dua iaitu:

1. Melayan suami, dan

2. Mendidik anak-anak.

Tidak termasuk urusan-urusan kerja rumah seperti membersih rumah, memasak, membasuh, menggosok baju dan sebagainya. Boleh terima tak?

Kata Kak Long, urusan rumahtangga adalah sebenarnya tanggungjawab suami di mana isteri hanyalah sebagai pembantu yang menolong meringankan tugas suami. Suami juga bertanggungjawab menyediakan pembantu rumah sekiranya isteri tidak mampu untuk mengendalikan hal-hal rumahtangga kerana bekerja ataupun sakit.

Terkejut dengan fakta itu, hendak tak hendak, kami berdua terpaksa akur menerima kenyataan bahawa Kak Long pernah mengikuti kursus munakahat (perkahwinan) selama 6 bulan sebelum berkahwin. Jika dibandingkan dengan kursus perkahwinan di zaman ini yang mengambil masa selama 2 hari sahaja, apa la sangat jika hendak dibandingkan dengan ilmu yang Kak Long pelajari dan perolehi dahulu. Agaknya itulah rahsia kebahagiaan Kak Long & Abang Long- penerapan kefahaman yang betul-betul jitu kepada mereka yang ingin berkahwin, bukan hanya 2 hari berkursus untuk hidup sepanjang hayat bersama pasangan hidup kita.

TANGGUNGJAWAB VS HAK

Kak Long juga pernah berkata satu ketika dahulu, untuk mencapai keharmonian dalam rumah tangga, yang penting adalah kita sebagai isteri atau suami perlu lebih FOKUS terhadap tanggungjawab kita, bukannya hak kita. Tumpuan untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing terhadap pasangan dan keluarga akan menyuburkan sifat memberi, bukan sekadar menerima seperti yang selalu ditekankan oleh ustaz kesayangan ramai ,Ustaz Hasrizal iaitu “Erti Hidup Pada Memberi”. Jelas Kak Long lagi, jika setiap daripada pasangan asyik menuntut haknya daripada pasangannya, krisis rumahtangga boleh berlaku apabila timbul rasa tidak puas hati tatkala haknya tidak ditunaikan.


Walaupun Kak Long menjalani kursus munakahat (perkahwinan) itu ketika masih menuntut di Maktab Perguruan dulu, bukan pergi bersama Abang Long sebagai pasangannya seperti yang berlaku di masa kini ketika menghadiri kursus pra-perkahwinan, tetapi Kak Long memberi kefahaman itu kepada Abang Long, lalu mereka bersama-sama mencorakkan rumahtangga mereka seperti apa yang dipelajari. Tolak-ansur, tolong-menolong, bersikap mesra terhadap pasangan, bertanggungjawab dan macam-macam lagi konsep keharmonian yang sentiasa segar dalam hubungan mereka menjadikan episod cinta selepas perkahwinan yang mereka lalui sentiasa mekar dan seperti tiada penghujungnya. Untung badan dapat suami macam Abang Long; hormat pada isteri, ringan tangan menolong isteri membuat kerja-kerja rumah, bertanggungjawab terhadap keluarga, penyayang, tegas dan tahu memasak. =)

TANGISAN SEORANG LELAKI

Satu lagi sikap Abang Long yang saya sukai ialah sikap menghargai terhadap pemberian orang. Baru-baru ini saya menghadiahkannya sehelai T-shirt sleeveless yang dibeli di UK. Sebaik menerima baju itu sehinggalah malam terakhir saya di rumahnya, dia seringkali kelihatan memakai baju itu. Walaupun kadang-kadang menggeleng kepala juga saya dibuatnya dek kelakuan Abang Long tu, (ye lah, kelakar pun ada sebab 3 hari dah pakai tanpa dibasuh walau sekali pun), ia membuatkan hati saya tersentuh juga. Kata Kak Long, Abang Long memang sangat menghargai pemberian orang. Handphone pemberian saya kepada Abang Long 2 tahun lepas rosak gara-gara terendam air sabun dalam mesin basuh bersama pakaian dan air sabun. Handphone tu rosak teruk, tidak dapat dibaiki lagi. Wal hasil, Abang Long berasa sungguh sedih dan menangis kerana peristiwa itu. Pada hari kejadian, Abang Long begitu moody; langsung tidak boleh ditegur sapa dan begitu murung. Kata Kak Long, dia tak pernah tengok Abang Long sebegitu sepanjang hidup bersama dengannya. Saya sendiri terkejut mendengarnya kerana tak sangka Abang Long boleh terkesan sampai begitu sekali. Walaupun handphone tu tak dapat dibaiki dan diguna lagi, Abang Long masih menyimpannya sebagai kenang-kenangan.

Kalau la semua orang di sekeliling kita bersikap menghargai terutamanya orang-orang yang terdekat dengan kita seperti kaum keluarga dan sahabat handai, tentu seronok kan..? Self-reflection…..better ask ourself, how far have we appreciated people around us..? Allahummaghfirli……...

Tuesday, 22 July 2008

Coret - coret

Lama saya tak berkongsi ilmu di sini. Manakan mampu untuk saya berbuat demikian tatkala diri sendiri kekeringan dan kegersangan ibarat padang pasir yang telah lama tidak disirami hujan..perkongsian Deen Intensive Dublin (DID) part ke-3 pun masih tertunda.. kadang-kadang bila ada keinginan untuk menulis, hasrat itu terpaksa dipadamkan apabila teringatkan diri sendiri tentang ilmu yang masih belum saya laksanakan, lalu bagaimana pula hendaknya saya menasihati orang sedangkan diri sendiri masih tidak mengaplikasikan ilmu itu..

Pesan Habib Ali di DID dulu, (sebaik-baiknya) sampaikanlah pesanan, nasihat atau ilmu itu setelah kamu sendiri telah larut dengan ilmu itu- iaitu kamu sendiri telah pun mengamalkan ilmu tersebut.

Hari-hari yang berlalu, saya lebih banyak habiskan masa di rumah, kadang-kadang keluar juga bersama sahabat karib saya yang tinggal tidak sekampung, sekolah tidak pernah sekali sejak kecil, belajar tidak pernah satu aliran; tapi sekepala dan punya banyak persamaan. Cuma perbezaan ketaranya ialah dia sudah pun bergelar “Puan” dan saya masih dengan gelaran “Cik” dipangkal nama walaupun kami sebaya. Heh.

Kami mengatur program bersama untuk mengisi masa lapang. Plan perlu dilaksanakan. Kaki perlu melangkah ke depan. Semangat perlu dibakar. Mari berbakti kepada nusa dan bangsa!

-Melihat kalendar-

Nampaknya hujung-hujung minggu menjelang bulan September telah penuh dengan undangan ke majlis perkahwinan sahabat-sahabat dan juga perkahwinan kakak saya sendiri. Uh, bulan 8 nanti adalah bulan menambah lemak dek kerana suapan gulai kambing dan lembu di tempat kenduri. Jadi, mari membuat pemeriksaan kesihatan tentang kandungan gula dalam darah, tahap kolestrol ( dan kandungan lemak? ) dalam darah/badan, tekanan darah, kesihatan mata dan gigi, serta menjaga tahap stamina yang perlu di maintain selalu dengan berjogging 3 kali seminggu di kawasan rekreasi USM Kubang Kerian.

Aha..

Untuk menjaga kesihatan juga saya amalkan minum teh hijau/herba dan ulam-ulaman. Seronok betul dapat makan ulam pegaga. Mana nak jumpa kat bumi omputih, so balik ni ler nak hentam puas-puas. Sesetengah orang tak suka rasa ulam-ulaman yang aneh, tapi Alhamdulillah saya tiada apa-apa masalah. Teruja saya bila melihat sayur mayur yang sungguh segar dan hijau di pasar-pasar tani yang saya kunjungi. Kerana sayangkan khasiat sayur-sayuran, saya lebih suka makan sesetengah sayur-sayuran ini secara mentah- seperti lobak merah, kacang buncis dan sudah tentu, ulam-ulaman. Jimat la jugak duit bayar gas ye tak…yer la, tak payah masak sayur-sayur ni, khasiatnya dikekalkan pulak tu.

Jam menunjukkan pukul 1:34 am. Stop kat sini dulu... tuntutan mata perlu ditunaikan untuk bekalan tenaga hari esok pula.. inshaAllah..

Friday, 4 July 2008

Musibah atau kesenangan itu, semuanya dari Allah.

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, telah pun seminggu berada di tanah tempat ku membesar.. Negeri serambi Mekah, yang dinaungi rahmat Allah (inshaAllah!), Kelantan. Hari-hari yang berlalu penuh dengan aktiviti, tidak mengenal erti rehat. Cuma diwaktu malam sahaja boleh relax dan bermain-main bersama adik kecil ku. (She is sooooo cute and loving! *wink* ^^)

Berada di rumah pada tahun ini lebih menenangkan. Alhamdulillah. Perubahan positif yang akan saya bajai. Hanya beberapa kali keluar ke bandar Kota Bharu. Bandar itu makin pesat pertumbuhannya. Yang membuatkan saya kagum ialah, ketika saya sampai di bandar Kota Bharu di pagi Juma'at yang lepas, jelas kedengaran bacaan Al-Quranul Karim di udara- bacaan yang diperkuatkan dengan pembesar suara surau berdekatan, kedengaran di segenap alam. Wow. Fantastic. This is the real Islamic city. Allahuakbar!

Email itu

-Menarik nafas.....dan menghembusnya perlahan....lahan... -

Terkenang sesuatu yang berlaku lewat beberapa hari yang lepas. Menerima kunjungan satu email yang tidak diduga. Lama saya mengambil masa untuk membalas email itu- membaca Al-Fatihah sebagai pembuka langkah, ayat Al-Kursi agar dihindarkan pengaruh perasaan dan emosi yang berpunca daripada hasutan syaitan yang terkutuk, membaca selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW banyak-banyak agar dipermudahkan titipan kata-kata dan diberi ketenangan sepanjang mencoretkan kalimah-kalimah terbaik.

Allah Maha Kaya. Dia takdirkan saya menangguhkan membalas email itu dengan kesuntukan masa yang ada. Sehari berlalu. Saya masih memikirkan balasan terbaik untuk menjawab email itu. Tidak saya nafikan, sebagai manusia biasa yang bukan Nabi atau Malaikat, diri saya tidak terlepas daripada satu perasaan yang tidak sepatutnya seorang yang mengaku Islam merasainya. Astaghfirullah....Astaghfirullah....

Hari seterusnya. Selepas menunaikan solat Zuhur, saya mendapat ilham dan kekuatan untuk membalas email itu, lalu membuka laptop dan menaip beberapa kalimah ringkas. Hanya ucapan maaf dan terima kasih kepada mereka yang telah banyak berjasa dan bersusah payah untuk saya. Selebihnya, saya serahkan kepada Allah, kerana Dia yang memiliki hati-hati manusia dan saya.... hanyalah hamba-Nya yang serba kekurangan. Moga balasan email itu adalah yang terbaik untuk dibaca oleh pembacanya.

Satu email serupa itu pernah saya terima satu ketika dahulu, tapi lagi "menyentuh hati". Saya mengambil langkah berdiam diri. Diam bukan bererti bersalah, tetapi ia lebih kepada langkah terbaik menyelesaikan perkara yang timbul. Tidak perlu saya menambah apa-apa. Lagi banyak bercakap, maka lagi banyak lah juga kekurangan yang makin terserlah.

Si pembuat minyak wangi VS Si pembuat pedang

Sekadar renungan bersama.

Saya teringat satu kata-kata yang berbunyi:

"Berkawan lah dengan pembuat minyak wangi, nescaya harumannya akan terkena bajumu juga. Jangan berkawan dengan si tukang besi (atau tukang pembuat pedang), percikan apinya akan terkena bajumu lalu boleh terbakar."

Kita sering meletakkan diri kita sebagai orang yang punya hak memilih- sama ada ingin berkawan dengan pembuat minyak wangi atau si tukang pembuat pedang. Tapi pernahkah kita letakkan diri kita sebagai orang yang tak punya pilihan- maksud saya, jika hanya kemahiran itu yang kita ada, lantas, adakah kita punya hak untuk memilih siapakah orang yang layak menjadi kawan kita?

Adakah adil si pembuat pedang dijauhi jika hanya kepakaran membuat pedang sahaja yang dia tahu dan dia menghasilkan pedang yang diperlukan dalam kehidupan manusia?

Si pembuat pedang mungkin lebih baik daripada si pembuat minyak wangi. Kerana tidak mahu orang lain menerima musibah jika mendekatinya, si pembuat pedang bisa sahaja mengambil langkah menjauhi orang-orang yang ingin mendekatinya, bimbang mereka akan terkena tempias percikan besi yang boleh membahayakan manusia disekitarnya. Bukankah itu juga satu kebaikan? Kebaikan yang mampu si tukang pembuat pedang lakukan demi keselamatan orang lain andai hanya itu yang mampu dia lakukan..?