Friday, 8 August 2008

Mampukah Untuk Diucapkan Buat Kali Terakhir...

Petang tadi saya menziarahi nenek saudara saya yang sakit tua,kini terlantar di rumah anaknya. Mesra dengan panggilan Waji, beliau kelihatan sungguh kurus dan kering, hinggakan nampak oleh saya degupan jantungnya dalam keadaan bahagian sebelah atas tubuhnya yang terbuka sedikit menampakkan tulang rusuknya yang jelas kelihatan. Mata Waji tidak mampu lagi dibuka, telinganya juga mungkin tidak dapat lagi menangkap butir-butir percakapan manusia di sekelilingnya dan bunyi-bunyian. Beliau sudah tidak mampu bercakap lagi. Apa yang boleh saya katakana ialah, beliau hanya menunggu ajalnya dijemput Tuhan. Allahummaghfirlaha…..

Keadaan ini betul-betul membuatkan hati saya sayu. Terasa ingin memeluk Waji. Tapi saya menahan diri sendiri, bimbang tindakan kita yang kita anggap satu perlakuan untuk menunjukkan kasih sayang kita itu akan membuatkannya terasa sakit. Ketidakupayaan beliau untuk bertutur lagi membuatkan hati ini terdetik,”Mampukah Waji mengucap dua kalimah syahadah ketika berhadapan sakaratul maut nanti?” Ya Allah, permudahkanlah…matikanlah Waji dalam iman..

Melihat keadaan Waji juga mengingatkan saya tentang hadith Rasulullah S.A.W. yang lebih kurang berbunyi,”Semua penyakit mempunyai ubat kecuali mati dan sakit tua.” Saat-saat begini lah juga syaitan gigih berusaha untuk menyesatkan ummat Nabi Muhammad S.A.W dengan memujuk dan merayu agar kita berpaling dari agama Tauhid. Ada sebuah kisah di mana seorang ahli ibadah yang saat hidupnya dipenuhi amal ibadah kepada Allah tetapi akhirnya mati dalam keadaan kufur kerana tertipu dan tunduk kepada pujukan syaitan ketika saat ajalnya sudah dekat. Dalam kisah itu, ahli ibadah itu disalib kerana kesalahannya berzina. Ketika menunggu hukuman dikenakan ke atasnya, syaitan datang lalu berkata,”Siapa lagi yang mampu menolongmu ketika ini kecuali aku? Jika kau menundukkan kepalamu tanda sujud kepada aku nescaya aku bebaskan engkau dari hukuman ini.” Kerana percaya dan yakin dengan janji syaitan itu, orang itu pun menundukkan kepalanya tanda patuh. Lalu di saat itu ajalnya dicabut, maka matilah dia dalam keadaan syirik dan kufur kepada Allah SWT. Wana’uzubillah..

Petikan hadith Rasulullah yang lain juga ada berbunyi,” Seseorang itu akan dihitung/dihisab dengan melihat amal perbuatannya yang terakhir.” Jika kita terpedaya dengan pujukan syaitan ketika berhadapan dengan sakaratul maut, maka matilah kita dalam kekufuran walaupun kita seorang yang baik dan sentiasa beramal ibadah kepada Allah semasa hayat di dunia.

Insaf. Saya termenung ketika dalam perjalanan pulang, begitu lah juga keadaan kita kelak jika kita dipanjangkan umur oleh Allah dan sempat merasa kehidupan tua lalu mati kerana sakit tua kan? Untung jika ada yang dapat menjaga kita dengan penuh sabar. Anak sendiri belum tentu masih hidup untuk menjaga kita ketika itu. Jika anak masih hidup pun, belum tentu sanggup menjaga orang tua yang keuzuran. Untung jika ketika itu kita masih boleh bercakap dan mengakhiri hayat kita dengan kalimah Tauhid mengEsakan Allah SWT.

Allahumma ahyina bil iman, wa amitna bil iman.. (Ya Allah hidupkanlah kami dalam iman, dan matikanlah kami dalam iman..) ameen.

No comments: