Malam ni saya kebosanan sangat. Klik sana, klik sini di Friendster. Dulu terasa jugak berFriendster ni membuang masa dengan melihat-lihat gambar orang tu, orang ni. Sedar tak sedar sejam dah berlalu. Tapi dikala kebuhsanan tahap cipan begini, Friendster ni berguna juga. Huhu..
JALAN-JALAN KUALA LUMPUR
Dah sebulan lebih saya di Malaysia. Sesekali keluar juga dari negeri Kelantan ni; dah 2 kali ke KL-ziarah kakak dan juga menemani sahabat ke temuduga kerja sebagai IT Specialist di Cosmopoint KL. Yang paling best ialah berjumpa dan lepak-lepak bersama sahabat-sahabat baik yang sudah 3 tahun tidak bersua. Bergosip sana sini. Sorry, saya hanya mendengar, tidak turut serta. Berdosa ok. Cuma kadang-kadang menyampuk dan tergelak sekadar menghidupkan suasana. =)
Saya dan teman sebaya saya, A bertolak ke Kuala Lumpur dengan menaiki bus ekspres Mahligai pada jam 9 pagi pada hari Ahad 27 Julai yang lalu. Macam-macam yang kami bualkan sepanjang perjalanan. Tapi kerana keadaan diri saya yang kurang sihat, saya terpaksa mengambil keputusan mendiamkan diri daripada terus bercakap untuk tidak memudaratkan keadaan tekak saya yang keperitan ketika itu. Itu pun sebenarnya dah hamper 1 jam lebih berborak- hingga terbatuk-batuk baru lah nak ingat diri ni kurang sihat sebenarnya. Isk, isk, isk…
Kami tiba di KL ketika jam melewati angka 5 petang dan di jemput oleh sepupu kepada mertua teman saya itu yang datang bersama suaminya. Malamnya kami bermalam di rumah Kak Ti & Abang Husaini di Kelana Jaya. Pasangan muda lewat 30-an ini dikurniakan 8 orang anak yang comel-comel belaka; yang sulong berumur 18 tahun manakala yang bongsu pula berumur 3 tahun. Kak Ti mendapat anak pertama ketika berumur 21 tahun. Kahwin muda katakana =). Kedua-dua Kak Ti dan suaminya bekerja di tempat yang sama iaitu di Universiti Teknologi Malaysia cawangan Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
UNTUNGNYA KAHWIN DI USIA MUDA
Apa yang menarik perhatian saya tentang keluarga ini ialah, walaupun rumah teres 1 tingkat mereka dihuni oleh 10 orang ahli keluarga, keadaan di rumah sentiasa kemas dan anak-anak mereka yang ramai tidak nampak seperti serabut keadaannya. Masing-masing pandai memainkan peranan dalam membantu ibu bapa mereka di rumah dan pandai berdikari. Ketika kami sampai di rumah mereka, waktu ketika itu sudahpun pukul 9.15 malam. Anak sulong Kak Ti sedang menyiapkan makan malam. Bagus betul. Seingat saya, ketika saya sebaya dengan umurnya 18 tahun, saya masih belum betul-betul berdikari dari segi masak-memasak dan menjaga adik. Kagum saya pada anak sulong Kak Ti yang mesra dipanggil Kakak itu. Sifat kepimpinan dan bertanggungjawab terhadap adik-adiknya terserlah. Untungnya kahwin awal, ketika diri masih muda, anak-anak telahpun remaja dan boleh diharapkan dalam membantu menguruskan rumahtangga/ keluarga. Paling penting ialah, hubungan yang erat antara ibubapa dan anak-anak yang seperti kawan dan sahabat akrab untuk berkongsi segala masalah seperti yang saya dapat lihat dalam keluarga Kak Ti dan Abang Husaini ini.
Saya menemani sahabat saya ke tempat temuduga keesokan harinya.Ia merupakan pengalaman baru kepada saya bagaimana keadaan dan suasana menghadiri temuduga kerja. Walaupun sekadar menemani, saya betul-betul teruja dan beria-ria untuk turut serta mendengar tips-tips dan pesanan yang dikongsi bersama oleh Pegawai Eksekutif di situ dalam sesi taklimat ringkas kepada mereka yang hadir . Bagi saya, ilmu daripada orang yang banyak pengalaman perlu dikutip. Ia ibarat mutiara yang sangat berharga dan akan berguna untuk saya jadikan pedoman sebagai persediaan ditemuduga kelak. Seperti kata Pegawai tersebut, KEYAKINAN ketika berbicara dan menjawab soalan-soalan yang diajukan sangat penting untuk dinilai. Lazimnya soalan-soalan akan dikemukan dalam bahasa Inggeris, maka tidak hairanlah KELANCARAN bertutur dalam bahasa Inggeris sangat dititik beratkan. Ia menyerlahkan ekspresi dan kemahiran kita dalam menguasai bahasa asing itu yang merupakan bahasa penting dalam menguasai dan mempelajari teknologi dalam dunia globalisasi kini.
PEMINAT DI PUTRAJAYA
Pengalaman dibawa ke Putrajaya oleh sahabat kami berdua yang merupakan pelajar tahun akhir di UniTen sangat manis dan meninggalkan kenangan yang indah. Kawasan luas yang dihiasi dengan bangunan-bangunan yang pelbagai bentuk dan landskapnya yang menghijau segar serta unik, memukau mata kami. Kunjugan tanpa dirancang ini dirasakan seperti mimpi. Kami berposing sakan kerana tidak mahu melepaskan peluang bergambar dengan berlatarbelakangkan landskap yang unik dan menarik itu.
Untuk merakamkan gambar kami bertiga sebagai kenangan, kami meminta bantuan seorang pelancong asing dari China untuk membantu kami. Kelakar pulak apabila kami kemudiannya menjadi tumpuan dan rebutan kawan-kawan pelancong itu yang datang serombongan melawat pusat pentadbiran negara kita di situ. Bersilih ganti gambar kami dirakamkan oleh mereka. Selesai bergambar dan mengucapkan terima kasih kepada mereka, kami melangkah menuju ke masjid untuk melihat-lihat rumah Allah yang tersergam indah itu. Ketika menghampiri masjid itu, beberapa orang pelancong lain pula melambai-lambai ke arah kami dengan hasrat agar kami mendekati mereka. Di fikiran kami, mungkin mereka ingin mendapatkan bantuan kami agar menangkap gambar mereka bersama. Rupa-rupanya, mereka yang mahu bergambar dengan kami. Terasa seperti model pulak hari tu. Huhu…=p
JALAN-JALAN DI SEGAMAT, JOHOR
Saya dan teman saya, A bertolak ke Segamat, Johor untuk menziarahi Kak Long & keluarga pada keesokan harinya. Kak Long merupakan anak kepada abang Mama saya (istilah lain: sepupu saya) , dipelihara sejak kecil oleh nenek saya. Kak Long membesar bersama Mama yang merupakan anak bongsu dalam keluarga. 10 tahun lebih muda daripada Mama saya, Kak Long turut memanggil Mama dengan panggilan yang sama seperti kami serta menganggap saya dan adik-beradik saya seperti adik-adiknya sendiri.
Perjalanan dengan menaiki bus ekspress dari Hentian Puduraya ke Segamat mengambil masa selama lebih kurang 3 jam. Kami membeli tiket di kaunter pagi itu, mujurlah masih ada tiket untuk perjalanan seawal jam 9 pagi.
Kami tiba di Stesen Bas Segamat tepat jam 12.45 tengahari. Kelihatan kelibat kereta Abang Long telah sedia menunggu di pekarangan parkir kereta. Rupa-rupanya Abang Long dan 3 orang anak-anaknya telah pun menunggu kami hampir 30 minit.
Kami di”tahan” untuk berada di rumah Kak Long selama 3 hari 2 malam. Seronok berada di rumah Kak Long- dihidangkan pelbagai jenis makanan dan juadah. Pulut durian, ikan bakar cicah air asam kicap, ikan masak asam pedas, masakan sayur kegemaran saya, dan macam-macam lagi. Itu lah lumrah apabila kami adik-beradik bertandang ke rumah mereka sekeluarga. Pendek kata, kalau ditahan seminggu di rumahnya, mahu hendaknya naik berat badan sebanyak 5 kg. Serius tak tipu. Huhu.
DUA SAHAJA TANGGUNGJAWAB ISTERI?
Kami suka melihat kemesraan antara Kak Long & Abang Long. Walaupun sudah 14 tahun berkahwin dan mempunyai 4 orang anak, tetapi hubungan dan komunikasi mereka sangat harmoni dan menghiburkan, penuh dengan jenaka dan gelak ketawa. Kak Long yang merupakan seorang ustazah juga pandai menyelit unsur-unsur nasihat dan pengajaran apabila kami duduk –duduk bersembang kosong di meja makan atau di ruang tamu.
Perkongsian yang menarik yang diberikan oleh Kak Long ialah tentang tanggungjawab seorang isteri. Menurut Kak Long, tanggungjawab isteri sebenarnya HANYA ada dua iaitu:
1. Melayan suami, dan
2. Mendidik anak-anak.
Tidak termasuk urusan-urusan kerja rumah seperti membersih rumah, memasak, membasuh, menggosok baju dan sebagainya. Boleh terima tak?
Kata Kak Long, urusan rumahtangga adalah sebenarnya tanggungjawab suami di mana isteri hanyalah sebagai pembantu yang menolong meringankan tugas suami. Suami juga bertanggungjawab menyediakan pembantu rumah sekiranya isteri tidak mampu untuk mengendalikan hal-hal rumahtangga kerana bekerja ataupun sakit.
Terkejut dengan fakta itu, hendak tak hendak, kami berdua terpaksa akur menerima kenyataan bahawa Kak Long pernah mengikuti kursus munakahat (perkahwinan) selama 6 bulan sebelum berkahwin. Jika dibandingkan dengan kursus perkahwinan di zaman ini yang mengambil masa selama 2 hari sahaja, apa la sangat jika hendak dibandingkan dengan ilmu yang Kak Long pelajari dan perolehi dahulu. Agaknya itulah rahsia kebahagiaan Kak Long & Abang Long- penerapan kefahaman yang betul-betul jitu kepada mereka yang ingin berkahwin, bukan hanya 2 hari berkursus untuk hidup sepanjang hayat bersama pasangan hidup kita.
TANGGUNGJAWAB VS HAK
Kak Long juga pernah berkata satu ketika dahulu, untuk mencapai keharmonian dalam rumah tangga, yang penting adalah kita sebagai isteri atau suami perlu lebih FOKUS terhadap tanggungjawab kita, bukannya hak kita. Tumpuan untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing terhadap pasangan dan keluarga akan menyuburkan sifat memberi, bukan sekadar menerima seperti yang selalu ditekankan oleh ustaz kesayangan ramai ,Ustaz Hasrizal iaitu “Erti Hidup Pada Memberi”. Jelas Kak Long lagi, jika setiap daripada pasangan asyik menuntut haknya daripada pasangannya, krisis rumahtangga boleh berlaku apabila timbul rasa tidak puas hati tatkala haknya tidak ditunaikan.
Walaupun Kak Long menjalani kursus munakahat (perkahwinan) itu ketika masih menuntut di Maktab Perguruan dulu, bukan pergi bersama Abang Long sebagai pasangannya seperti yang berlaku di masa kini ketika menghadiri kursus pra-perkahwinan, tetapi Kak Long memberi kefahaman itu kepada Abang Long, lalu mereka bersama-sama mencorakkan rumahtangga mereka seperti apa yang dipelajari. Tolak-ansur, tolong-menolong, bersikap mesra terhadap pasangan, bertanggungjawab dan macam-macam lagi konsep keharmonian yang sentiasa segar dalam hubungan mereka menjadikan episod cinta selepas perkahwinan yang mereka lalui sentiasa mekar dan seperti tiada penghujungnya. Untung badan dapat suami macam Abang Long; hormat pada isteri, ringan tangan menolong isteri membuat kerja-kerja rumah, bertanggungjawab terhadap keluarga, penyayang, tegas dan tahu memasak. =)
TANGISAN SEORANG LELAKI
Satu lagi sikap Abang Long yang saya sukai ialah sikap menghargai terhadap pemberian orang. Baru-baru ini saya menghadiahkannya sehelai T-shirt sleeveless yang dibeli di UK. Sebaik menerima baju itu sehinggalah malam terakhir saya di rumahnya, dia seringkali kelihatan memakai baju itu. Walaupun kadang-kadang menggeleng kepala juga saya dibuatnya dek kelakuan Abang Long tu, (ye lah, kelakar pun ada sebab 3 hari dah pakai tanpa dibasuh walau sekali pun), ia membuatkan hati saya tersentuh juga. Kata Kak Long, Abang Long memang sangat menghargai pemberian orang. Handphone pemberian saya kepada Abang Long 2 tahun lepas rosak gara-gara terendam air sabun dalam mesin basuh bersama pakaian dan air sabun. Handphone tu rosak teruk, tidak dapat dibaiki lagi. Wal hasil, Abang Long berasa sungguh sedih dan menangis kerana peristiwa itu. Pada hari kejadian, Abang Long begitu moody; langsung tidak boleh ditegur sapa dan begitu murung. Kata Kak Long, dia tak pernah tengok Abang Long sebegitu sepanjang hidup bersama dengannya. Saya sendiri terkejut mendengarnya kerana tak sangka Abang Long boleh terkesan sampai begitu sekali. Walaupun handphone tu tak dapat dibaiki dan diguna lagi, Abang Long masih menyimpannya sebagai kenang-kenangan.
Kalau la semua orang di sekeliling kita bersikap menghargai terutamanya orang-orang yang terdekat dengan kita seperti kaum keluarga dan sahabat handai, tentu seronok kan..? Self-reflection…..better ask ourself, how far have we appreciated people around us..? Allahummaghfirli……...
No comments:
Post a Comment