Hanya baca jika anda seorang yg berminat dgn pembinaan modal insan. Sekian.
Dipetik daripada Berita Harian, Jumaat, 7 Disember 2007
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
:: Rancangan Pembangunan Belia Negeri Sembilan pastikan remaja sebagai pemimpin pelapis tidak terpinggir arus pembangunan ::
SEREMBAN: Mat rempit, mat gian, bohsia, black metal dan kurang ajar! Itu antara label yang diberikan kepada remaja dan belia masa kini dan lebih menyedihkan status negatif itu lebih banyak merujuk kepada belia Melayu yang beragama Islam.
Apakah puncanya penularan gejala sedemikian dan apakah pula tindakan yang boleh diambil bagi menyelamatkan anak bangsa daripada terus khayal dalam dunia mereka sendiri daripada memikirkan masa depan. Menyedari hakikat itu, perancangan segera perlu dibentuk bagi mengelakkan remaja dan belia daripada terus hanyut dalam pembangunan global yang mendedahkan mereka kepada begitu banyak kepincangan hidup. Kerajaan Negeri Sembilan bertindak proaktif dan menjadikan usaha memartabatkan belianya sebagai agenda utama untuk memastikan generasi pelapis itu tidak terpinggir daripada arus pembangunan negeri dan negara.
Pelbagai usaha dilakukan, termasuk menggerakkan semua pertubuhan belia berdaftar supaya berfungsi dengan baik dan menjalankan tanggungjawab seperti diamanahkan. Bagi memastikan misi yang hendak dicapai berjaya, Rancangan Pembangunan Belia Negeri Sembilan (RPBNS) dibentuk dan dilancarkan tahun lalu berteraskan tiga aspek utama, iaitu kepemimpinan, keusahawanan dan kemahiran. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan adalah Pengerusi Majlis Perundingan Belia Negeri dan menganggap tugasan itu sebagai amanah dan tanggungjawab yang amat penting. Ketika kali pertama mempengerusikan Majlis Perundingan Belia Negeri pada 2004, beliau menyarankan supaya digubal satu pelan tindakan pembangunan belia yang khusus untuk Negeri Sembilan supaya selaras dengan dasar pembangunan belia peringkat kebangsaan, tetapi diberikan terjemahan tempatan, supaya ia benar-benar sesuai dan relevan dengan cabaran serta keperluan setempat.
Akhirnya, RPBNS siap pada akhir 2005, diluluskan Majlis Perundingan Belia negeri dan mesyuarat Exco kerajaan negeri pada 2006 dan pada Hari Belia Negara 2006 peringkat negeri, Menteri Besar mengumumkan pelaksanaannya.
Berdasarkan statistik masa kini, hanya antara 30,000 hingga 40,000 belia di Negeri Sembilan menyertai persatuan berbanding jumlah keseluruhan 300,000 orang, bermakna ramai lagi belia tempatan yang tidak berpersatuan. "Kerajaan negeri bimbang mereka terjebak ke kancah tidak sihat, jadi RPBNS memberi penekanan untuk menarik lebih ramai belia menyertai persatuan dan pada masa sama, melahirkan lebih ramai pemimpin belia berwawasan serta memastikan kita tidak ketandusan pemimpin pelapis," kata Menteri Besar. Beliau juga mahu belia di negeri ini meningkatkan keupayaan diri dengan menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk menjadi pemimpin sejati sesuai dengan tanggungjawab yang bakal digalas selaku pewaris kepada kepemimpinan negeri dan negara.
Bagi memastikan hala tuju belia tidak tersasar, kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa pembangunan belia peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menyusun dan menyelaraskan semua aktiviti berkaitan, termasuk membuat profil bagi memastikan maklumat lengkap berhubung jumlah dan pekerjaan golongan itu. Kerajaan negeri yakin penubuhan jawatankuasa pembangunan belia di setiap daerah di negeri ini yang baru dilaksanakan baru-baru ini akan dapat memastikan usaha menangani permasalahan dan membina masa depan generasi muda itu dilaksanakan dengan baik dan mampu mencapai kejayaan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Ir Jamlus Aziz, berkata kerajaan negeri merancang pelbagai usaha bagi memastikan kepentingan belia negeri ini dijaga dengan memantau perjalanan pertubuhan belia setempat dan mengumpul data mengenai golongan itu. "Data ini penting untuk memastikan kerajaan negeri dapat mengenal pasti dengan lebih terperinci jumlah sebenar belia dan mereka yang memerlukan bantuan sama ada dari segi kemahiran dan peluang pendidikan mahupun pekerjaan. "Melalui maklumat itu juga, kerajaan negeri dapat merangka program bersesuaian untuk mereka bagi membolehkan golongan berkenaan tidak tercicir daripada arus pembangunan negeri ini, sekali gus memudahkan kerajaan mengawal mereka," katanya.
Jamlus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gemas, berkata kerajaan sudah menyediakan peruntukan kewangan yang besar untuk golongan berkenaan dan bimbang tidak dapat dimanfaatkan sebaik mungkin. Presiden MBNS, Khaidir Jamal, berkata pihaknya antara lain sudah menyahut saranan kerajaan negeri dengan menjayakan pelbagai program pembangunan belia yang menjurus kepada pembangunan modal insan. Antaranya, ialah melalui konsep 'Think Tourism' dengan program Pelancongan Belia serta pendekatan agama melalui `Belia Islam Hadhari' bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (Jheains) untuk membina generasi belia yang berakhlak mulia dan positif. "Pada peringkat awal, program berkenaan membabitkan belia dari kawasan bandar dan kemudian diperluaskan ke kawasan kampung dan tanah rancangan Felda. Kita juga melancarkan program belia benci dadah untuk mengurangkan gejala itu yang sering dikaitkan dengan belia. "Menerusi Belia Islam Hadhari pula, kita fokus kepada usaha meningkatkan imej belia supaya mereka didekati dan dibimbing untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan serta dihormati masyarakat," katanya.
Kini, ramai belia negeri ini mencapai kejayaan seperti Rosromaizi Kamaruddin, 37, dari Kampung Titian Akar, Astana Raja, Rembau, sebagai usahawan tani cemerlang dengan pendapatan RM20,000 hingga RM30,000 sebulan menerusi tanaman jagung dan ternakan lembu secara komersial di kawasan tanah terbiar. Seorang lagi, Mohd Isam Mohd Isa, 36, dari Gemencheh yang berjaya dalam bidang pembinaan sehingga diiktiraf sebagai kontraktor berwibawa, manakala N Deeparani, 25, dari Seremban pula berbangga apabila perisian komputer ciptaannya digunakan jabatan kerajaan di luar negara.
FAKTA: Rancangan Pembangunan Belia Negeri Sembilan
*Berjalan selari dengan Misi Nasional dan pelbagai inisiatif pembangunan belia lain pada peringkat nasional serta dasar dan program kerajaan negeri
*Mengandungi tiga teras utama iaitu kepemimpinan, keusahawanan dan kemahiran.
*Bermatlamat membangunkan belia Negeri Sembilan dengan keperibadian seimbang menerusi dasar pembangunan belia komprehensif bagi meningkatkan keutuhan daya saing
*Bertujuan mewujudkan satu pandangan holistik dan nilai asas dalam pembangunan belia dengan mengenal pasti program sesuai
*Lima bidang utama dikenal pasti ke arah merealisasikan falsafah, matlamat dan objektif penubuhan rancangan ini
*Menekankan penyelarasan dan tambah nilai kepada program sedia ada, pengenalan program baru dan penilaian keberkesanan program.

No comments:
Post a Comment