Suka saya letakkan artikel ini disini untuk dikongsi oleh semua, terutama sebagai rujukan saya dikemudian hari. Betapa Ramadhan makin menghampiri penghujungnya, berjumpakah kita dengan LailatulQadar..?
Dipetik dari Harakah.Net
LanH
Thu | Sep 25, 08 | 6:13:13 pm MYT
Ramadan berbaki beberapa hari lagi. Lima, 4, 3, 2, 1 dan Aidilfitri. Akhirnya Ramadan yang penuh barakah, jaminan pengampunan dan pembebasan daripada api neraka itu meninggalkan kita. Sebelum Ramadan ini berakhir, tiba-tiba terlintas di hati saya untuk mengisi kolum ini yang saya sudah tinggalkan sejak dua bulan lalu.
Tentunya saya beralasan sibuk sejak Harakah terbit dua kali seminggu sejak pertengahan Ogos lalu. Tetapi pada akhir Ramadan ini, dalam kesibukan itu saya teruja membuat sedikit bakti dalam dunia penulisan ini, moga-moga ia ada manfaatnya dan dapat menolong saya di alam sana.
Kesedaran menulis datang selepas saya mendengar tazkirah zuhur hari ini (25 Ramadan/25 September). Pada kuliah itu, ustaz terbabit menyatakan jika keseronokan atau keasyikan Ramadan sudah menguasai jiwa barulah puasa kita membawa erti. Jika tidak, dikhuatiri puasa kita hanyalah sekadar menahan diri daripada makan dan minum atau lebih tinggi sedikit iaitu menahan anggota diri daripada perkara-perkara bukan hak.
Bagaimana mahu mendatangkan keasyikan Ramadan? Ustaz itu mengkiaskan tingkah laku seorang peminat bola sepak, katakan penyokong tegar Perak. Penyokong ini bekerja di Kuala Lumpur, tetapi kerana fanatiknya kepada pasukan Perak, di mana saja ada perlawanan membabitkan pasukan ini , akan dihadirinya. Jika pasukan Yob ditakdirkan bermain di Pulau Pinang, peminat tegar ini akan melakukan apa saja supaya dia dapat ke sana.
Kalau perlu menipu untuk mendapat cuti, dia akan lakukan. Kalau tiada kenderaan, yang ada cuma sebuah motosikal Cup, dia sanggup menunggang dari KL ke Ipoh atau Pulau Pinang. Panas, hujan malah sakit, tidak dipedulikannya. Yang penting dia mesti menyaksikan pemain Yob beraksi. Cintanya kepada pasukan Yob sudah menjadikan dia begitu. Dia sudah asyik dengan dunia bola dan Yobnya.
Bagaimana mahu asyik dengan Ramadan? Ini soalan sukar dijawab. Ustaz itu berkata, orang yang sudah asyik mahsyuk dengan Ramadan, tidak peduli apa lagi. Kuih raya ke, baju raya ke, duit raya ke, semuanya tidak ada dalam kamus mereka. Sebaliknya mereka cukup cemas dengan ibadat dan penghambaan terhadap Yang Maha Kuasa kerana Ramadan semakin hari semakin menuju penghabisan, macam 'countdown' 5,4,3,1 dan Aidilfitri.
Demikianlah, orang yang asyik dengan Ramadan berasa sedih kerana ia akan berlalu. Tetapi kita ini, termasuk saya sebagai orang awam bagaimana pula? Kita pun tidak sabar dengan 'countdown' 5,4,3,2,1 tetapi akhirannya akan berbunyi 'Hip-hip horee, hip-hip horee, Esok hari raya!' Itulah saya dan sebahagian kita pada era 'jahiliah' (semasa zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa) dulu, tetapi kini saya mulai termenung memikirkan betapa tersasar jauhnya kita dalam menghadapi Ramadan dan Aidilfitri.
Saya mula tercari-cari Lailatulqadar yang tidak pernah saya temui. Macam mana hendak jumpa sebab saya sama seperti sebahagian besar generasi baru dibesarkan dalam suasana tidak menjuruskan ke arah itu. Ini kerana pengertian Ramadan dan Aidilfitri terpesong terlalu jauh daripada apa saya fahami sejak merajinkan diri menghadiri tazkirah dan kelas-kelas pengajian di masjid sejak beberapa tahun lalu. Bagi kebanyakan orang Melayu, Ramadan dan Aidilfitri sudah menjadi semacam satu budaya; tidak terikat kepada apa dikehendaki Islam daripadanya. Dan saya sebagai seorang Melayu terikut-ikut dalam budaya yang berat untuk saya katakan sonsang ini.
Permulaan Ramadan adalah barakah Allah SWT. Tetapi orang Melayu dan kini menjangkiti orang Malaysia, Ramadan bermakna bulan pesta - daripada pesta makanan kepada pesta membeli belah. Tataplah akhbar, terpapar kisah makanan dan penyediaan makanan. Gerai menjual makanan muncul di sana sini. Kisah ayam percik, kisah tahi itik, semuanya mewarnai Ramadan.Seolah-olah Ramadan itu pesta makan sedangkan puasa itu bermakna tidak makan.
Tidak cukup dengan itu muncullah buffet Ramadan di restoran, di hotel. Makan dan makanlah. Ramadan adalah untuk menahan nafsu termasuk mengekang makan dan minum tetapi Ramadan nampaknya adalah bulan untuk memuaskan nafsu makan. Kalau pada siang hari nafsu itu tidak dapat dipuaskan, tidak mengapalah, pada malam hari ia boleh dipuaskan, sepuas-puasnya.
Kemudian muncul pula bazar Ramadan, pasar Ramadan, 'sale' Ramadan dan bermacam-macam lagi perkara yang dikaitkan dengan Ramadan. Ramadan itu adalah untuk mengekang nafsu, tetapi nampaknya Ramadan adalah bulan untuk memuaskan nafsu. Nafsu membeli memuncak pada Ramadan, set perabot yang tidak pernah bertukar boleh bertukar pada Ramadan, langsir yang ok ditukar juga pada Ramadan, peti sejuk yang ok pun ditukar baru, kereta yang ok jadi tak ok pada Ramadan kerana mahu ditukar; malah rumah pun kalau boleh mahu ditukar Ramadan ini.
Pemimpin dan pemerintah menggamatkan lagi suasana. Ada yang mahu menjual puasa dan raya sebagai bahan promosi pelancongan. Mereka suruh orang luar datang, tengok apa orang Melayu buat pada bulan mulia ini. Mereka tidak suruh orang Melayu meningkatkan amal ibadat dan penghayatan terhadap bulan mulia ini supaya orang luar tertarik dengan Islam, tetapi mereka menyuruh orang Islam melakukan perkara yang tidak disuruh oleh Islam seperti memasang pelita, sibuk dengan majlis makan-makan dan menganjurkan majlis di mana lelaki dan perempuan bebas bergaul.
Seorang pemimpin sebuah negeri di selatan tanah air, dalam mempromosi aspek pelancongan, mengerahkan penduduk kampung memasang pelita, sebuah kampung dilaporkan menang dan mendapat hadiah lumayan selepas kira-kira 40,000 pelita menerangi kawasannya.
Bayangkan berapa banyak kos diperlukan dan apa yang dapat dikatakan tentang perbuatan membazir amalan syaitan ini? Seorang uztaz mengingatkan pemasangan pelita dengan niat dan pandangan terpesong misalnya percaya ia boleh memudahkan arwah saudara-mara kembali ke rumah masing-masing adalah perbuatan syirik dan merosakkan akidah. Orang taat sibuk dengan solat dan mengenang dosa diri dan nasib dalam kubur, ada penduduk kampung termasuk veteran sibuk bermain cahaya ribuan pelita tujuh likur.
Ketika ini pada ketika segelintir insan bertakwa menangisi Ramadan yang akan berakhir tidak lama lagi, ada kumpulan-kumpulan tertentu bertungkus-lumus menyiapkan program-program lara atas nama kemuliaan Syawal untuk disiarkan di skrin-skrin televisyen. Maka sepanjang raya, terpancar dan berkemundanglah segala program hiburan terutama nyanyian, tidak henti-henti 24 jam sehari.
Berakhir Ramadan, pesta makan-makan berlanjutan, sebulan lamanya. Yalah, kata mereka Syawal itu sebulan lamanya. Jadilah orang Melayu berpaksi kepada makan minum, berpesta, berhibur; pengajaran Ramadan tidak langsung melekat di hati mereka.
Bagi anak-anak inilah Ramadan dan Aidilfitri yang mereka ketahui. Mereka didedahkan perkara ini tahun demi tahun; melepasi usia kanak-kanak, remaja, dewasa dan seterusnya tua. Kalau tidak kesedaran, kemungkian mereka membawa konsep salah ini hingga ke liang lahad.
Mungkin pada usia tua seperti saya ini barulah timbul sedikit kesedaran bahawa Ramadan dan Aidilfitri yang bermati-matian kita raikan itu adalah tersasar daripada kehendak Islam. Islam tidak menyuruh kita bergolok gadai memenuh dan mengisi nafsu menyambutnya tetapi ada peraturan, tata cara dan disiplinnya.
Tujuan Ramadan adalah untuk menghasilkan insan bertakwa dan tawaran Allah SWT, menjanjikan pengampunan dan bebas daripada api neraka sewajarnya menjadi buruan setiap Muslim.
Itulah yang baru saya ketahui sejak akhir-akhir ini menyebabkan saya termenung memikirkan betapa sesat dan songsangnya saya selama ini. Mungkin itu antara sebab mengapa Lailatulqadar yang saya cari, belum terjumpa lagi.
- Artikel lain penulis boleh diakses di Lanh14.blogspot.com _
Friday, 26 September 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment