Sunday 15 June 2008

DID 08 Part 2

Bismillahirrahma nirrahim...

Sambungan perkongsian input-input Deen Intensive Dublin (DID) 08 diteruskan.

NASIHAT

Hendaklah kita menasihati diri kita dan mengamalkan nasihat tersebut terlebih dahulu sebelum kita menasihati orang lain. Contoh: Jika menegur orang yang melewat-lewatkan solat, maka hendaklah kita sendiri dahulu yang mengingatkan diri kita tentang hal itu dan berusaha untuk memperbaiki diri sendiri terlebih dahulu sebelum menegur orang lain. Secara fitrahnya, manusia yang ditegur akan melihat kembali perwatakan orang yang menegurnya, adakah orang yang menegurnya layak untuk memberi teguran tersebut. Orang yang ditegur juga perlulah berlapang dada menerima teguran. Berdiam dirilah jika terbit rasa marah apabila ditegur.

ILMU, IMAN, AMAL

Orang 'alim ( istilah lain: orang yang TAHU) yang tidak beramal dengan ilmunya, lebih dahulu akan disiksa oleh Allah sebelum disiksa penyembah berhala, menunjukkan bahawa beratnya hukuman Allah terhadap orang-orang 'alim yang mengabaikan ilmu yang mereka tahu tanpa mengamalkannya.

Menyentuh tentang ilmu, pemahaman terhadap apa yang dibaca sebenarnya tidak berkadar langsung dengan masa yang kita habiskan untuk membaca, melainkan Allah jua lah yang memberikan kefahaman tersebut. Maka, mintalah daripada Allah, kefahaman dalam pembacaan kita agar hati kita diterangi dengan cahaya ilmu, seterusnya dapat dimanfa'atkan untuk diri sendiri dan juga orang lain.

SEMBUNYIKAN AIB ORANG

Nasihat seterusnya ialah janganlah kita membuka aib seseorang kepada orang lain, nescaya Allah akan menutup aib kita di akhirat kelak. Jika kita tidak suka kepada seseorang, usahlah diumpat (kata lain: Gosip-gosip) tentang orang tersebut kepada orang lain. Jika ingin diluahkan perasaan tidak puas hati, sebolehnya elakkan daripada mendedahkan nama orang tersebut dan hint-hint yang membolehkan orang yang mendengar itu tahu siapakah orang yang dimaksudkan. Cukuplah sekadar kita memperkatakan sikapnya yang kita tidak sukai agar orang yang mendengar boleh mengambil iktibar daripadanya dan bukannya dengan niat memperkatakan keburukan seseorang serta mendedahkan aibnya. Saya percaya, kita juga tidak suka aib kita dikata orang, betul kan? Lagipun, mahukah kita jika aib dan keburukan kita dibuka oleh Allah di khalayak yang lebih ramai di akhirat kelak? Wana'uzubillah..

ZUHUD TERHADAP DUNIA

Habib Ali juga mengatakan, orang miskin tidak semestinya ZUHUD dan orang kaya tidak semestinya TAKABBUR/TIDAK ZUHUD. Dikisahkan tentang 2 orang adik-beradik yang mana si adik ialah seorang yang miskin, kerjanya sebagai seorang nelayan yang setiap hari akan turun ke laut untuk menangkap ikan bagi keperluan makanannya sehari-hari. Manakala si abang pula seorang yang sangat kaya, mempunyai sebuah rumah yang besar dan mewah di sebuah bandar. Si adik mempunyai seorang khadam, dan pada suatu hari, mengutuskan khadamnya untuk membawa satu bungkusan hadiah kepada si abang. Lalu diberikan lah alamat rumah si abang kepada khadamnya itu beserta satu permintaan nasihat daripada si abang.

Berjalan lah khadam itu mencari alamat rumah abang kepada tuannya. Apabila sampai, khadam itu terkejut kerana yang berada di hadapannya ialah sebuah banglo besar yang tersergam indah, sangat berbeza daripada rumah dan kehidupan tuannya. Dengan rasa ingin mencari kepastian, khadam itu pun bertanya kepada pemilik rumah tersebut, adakah benar dia adalah si abang kepada tuannya yang bernama si fulan bin si fulan. Ternyata tuan rumah itu adalah benar orang yang dimaksudkan, lalu dinyatakanlah siapa dirinya dan tujuan kedatangannya. Khadam itu menghulurkan hadiah kepada tuan rumah itu, lalu berkata si khadam tadi,"Tuan aku meminta nasihat darimu, maka berikanlah dia satu nasihat." Berkata si abang,"Sampaikanlah pesananku untuk adik ku, agar dia zuhud terhadap dunia".

Khadam itu berasa hairan. "Bukankah dia selayaknya ditujukan nasihat itu? Memiliki kekayaan dunia, lalu disuruh adiknya yang miskin itu pula untuk zuhud." Tetapi kerana menghormati tuan rumah, khadam itu tidak berkata apa-apa, lalu pulang ke rumah tuannya. Sesampainya di rumah, tuannyabertanya,"Apakah nasihat daripada abangku untukku?". Lalu berkatalah khadam itu,"Dia berpesan agar tuan berlaku zuhud terhadap dunia." Tidak semena-mena, menangislah si adik, menambahkan lagi kehairanan si khadam itu. Lalu bertanyalah si khadam,"Mengapakah tuan menangis?Pada fikiran hamba, abang tuan itu lah yang seharusnya berlaku zuhud terhadap harta kekayaan yang dimilikinya. Tuan seorang yang tidak mempunyai harta, sudah seharusnya zuhud terhadap harta kekayaan."

Jawab si adik, "Tidak. Harta kekayaan yang abang aku miliki tidak menjadikan dia seorang yang tamak, malahan dia adalah seorang yang zuhud. Dia tidak mengejar kekayaan dunia tetapi kekayaan itu lah yang mengejarnya. Tetapi aku? Aku pergi ke laut setiap hari untuk mencari tangkapan ikan daripada keperluan dunia untuk keperluan aku. Maka layak lah abangku menasihati aku agar bersikap zuhud terhadap dunia ini."

Seringkali kita kita mendengar ungkapan, "Dunia di tangan, bukan di hati" yang bermaksud, nilai dunia, harta, pangkat dan perhiasannya jangan diletakkan di hati yang akan menjadikan kita sentiasa tamak dan mengejar kemewahan dunia. Miskin atau kaya sekalipun kita, semua itu daripada Allah, dan jadikan lah sikap suka memberi/bersedekah itu sebagai hiasan peribadi kita. Orang yang bakhil itu musuh Allah, dan malaikat setiap hari berdoa kepada Allah, "Ya Allah, berikanlah kepada orang yang suka memberi itu ganti, dan kepada orang yang bakhil itu kemusnahan." Mahukah kita didoakan sedemikian oleh malaikat, yang mana doa malaikat langsung diterima oleh Allah sebagai makhluk yang suci daripada melakukan sebarang dosa?

Sabda Rasulullah SAW,"Semua didunia ini dilaknat oleh Allah (tidak punya nilai di sisi Allah) kecuali orang yang 'alim, atau orang yang belajar, atau orang yang mendengar kepada ilmu, atau orang yang suka dengan adanya majlis-majlis ilmu. Janganlah menjadi golongan yang ke-5 iaitu orang yang tidak suka kepada mana-mana golongan yang tersebut."

PESANAN IMAM GHAZALI

Berpesan Imam Ghazali dalam kitabnya "Ya Ayyuhal Walad" (Wahai Anakku), 4 perkara yang harus dilakukan oleh seorang muslim ialah:

1. Bermu'amalat/beribadat kepada Allah sesempurna mungkin agar Allah redha kepada kita. Sesungguhnya, bukan dilihat kepada banyaknya amalan ibadat yang menjamin kita masuk ke syurga, melainkan rahmat daripada Allah semata-mata. Secara rumusnya, ibadat bukan sebab kita masuk syurga, tetapi ibadatlah merupakan sebab untuk kita mendapat rahmat Allah yang membolehkan kita ke syurga. Sama juga seperti dalam hal makan dan minum, bukan dengan makanan itu yang membuatkan kita berasa kenyang setelah memakannya, tetapi Allah jualah yang memberikan rasa kenyang itu. Kerana itulah ada orang-orang tertentu yang makan dengan banyak tapi tidak pernah berasa kenyang.

2. Menyayangi muslim yang lain seperti mana menyayangi dirinya sendiri. Ithar iaitu mendahulukan kepentingan dan keperluan orang lain disamping kepentingan diri sendiri adalah satu sikap yang mulia.

Sedikit huraian tambahan menyentuh tentang hak orang islam terhadap orang islam yang lain :

i) menjawab salam. Walaupun hukum memberi salam adalah sunat, tetapi adalah digalakkan untuk kita menyebarkan/mengucapkan salam kepada sesiapa sahaja dari kalangan muslim yang kita kenali mahupun tidak. Rasulullah bersabda,"Di akhir zaman kelak, orang islam akan memberi salam kepada mereka yang dikenali sahaja."

Sentiasa lebihkan satu kalimah dalam menjawab salam:

Assalamu'alaikum >> Wa'alaikumussalam warahmatullah

" + warahmatullah >> " + warahmatullahi wabarakatuh

" + warahmatullahi wabarakatuh >> " + warahmatullahi wabarakatuh wa maghfiratuh

" + warahmatullahi wabarakatuh wa maghfiratuh >> " + warahmatullahi wabarakatuh wa maghfiratuh waridhwa nuh

Habib juga mengajar cara Nabi Muhammad SAW memberi salam sambil mengangkat tangan kanan yang biasa dilakukan juga dalam masyarakat islam hari ini. Nabi melarang kita daripada sekadar mengangkat tangan TANPA memberi salam kerana itu adalah cara orang Nasrani.

Cara menjawab salam kiriman daripada orang lain yang disampaikan kepada kita ialah:

Jika yang mengirimkan salam adalah seorang:

"Wa 'alaika/wa'alaiki wa'alaihis salam"
Maksud: Ke atas kamu dan ke atasnya ucapan salam.

Jika yang mengirimkan salam adalah ramai :

"Wa'alaika/ wa'alaiki wa'alaihimus salam"
Maksud: Ke atas kamu dan ke atas mereka ucapan salam.

Tidak dianjurkan untuk memberi salam kepada orang kafir, tetapi jika mereka memberi salam dengan mengucapkan:

"As saamu 'alaikum" (Kecelakaan ke atas kamu) atau "Assalamu'alaikum", maka perlulah dijawab sekadar "Wa'alaikum" (Dan ke atas kamu).

Jika kita memasuki rumah yang kosong, ucapkanlah :

"Assalamu'alaikum, wa'alaina, wa'ala 'ibadillahis solihin."

Maksud: Selamat sejahtera ke atas kamu, dan ke atas kami, dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh.

ii) Mendatangi jemputan selagi tidak berunsur kepada maksiat dan tidak uzur.

iii) Mengiringi jenazah ke kubur.

Disarankan juga agar mengucapkan takziah kepada keluarga si mati. Yang dimaksudkan ucapan takziah bukanlah ucapan "Takziah" itu sendiri, tetapi ia adalah ucapan seperti "Moga kamu bersabar dan tabah dalam menghadapi ujian ini." Hendaklah kita menjaga adab-adab ketika berada di rumah si mati ketika urusan memandikan dan menguruskan jenazah sedang berlangsung. Elakkan bercakap perkara-perkara yang lagha (keduniaan) dan tertawa tatkala seluruh ahli keluarga si mati sedang dalam kesedihan.

iv) Melawat orang sakit. Mendoakannya agar cepat sembuh dan memberinya galakan serta kata-kata semangat. Dianjurkan untuk meminta doa daripada orang yang sakit kerana doa mereka mustajab di sisi Allah, tetapi perlulah diingatkan agar tidak berbicara dengan mereka terlalu lama untuk memberi ruang kepada mereka berehat.

Dianjurkan juga untuk memegang dahi atau tangan orang yang sakit jika dibolehkan oleh syara' untuk menyentuhnya (dan bergantung kepada situasi pesakit, jika pesakit adalah orang tua, eloklah dipegang tangannya, bukan dahinya), lalu bertanya khabar tentang keadaan dirinya. Kita juga boleh bertanyakan makanan khusus yang dihajatinya dan menawarkan diri untuk membuat atau membawanya.

v) Mengucapkan "Yar hamukallah" kepada muslim atau "Yar hamukillah" kepada muslimah yang bersin apabila mereka mengucapkan "Alhamdulillah" selepas mereka bersin. Orang yang bersin itu apabila didoakan sedemikian oleh orang sekeliling mereka, perlulah menjawab kembali "Yahdi kumullah" (Semoga Allah memberi petunjuk kepada kamu).

"Allah suka orang yang bersin dan tidak menyukai orang yang menguap."

Menguap itu daripada syaitan dan syaitan akan ketawa apabila seorang anak Adam menguap. Logiknya ialah, menguap selalunya dikaitkan dengan rasa mengantuk dan bosan. Syaitan suka orang yang mengantuk dan bosan kerana menggambarkan sikap tidak aktif, membuang masa atau tidak memanfa'atkan masa dan berlengah-lengah.

Antara adab yang diajarkan oleh Habib melalui cara Rasulullah SAW ialah:

Apabila bersin, tutup mulut dengan tangan kiri ( lagi elok kalau ada alas seperti kain sapu tangan yang kecil atau tisu), dan miring ke sebelah kiri. Lalu ucapkanlah "Alhamdulillah".

Apabila menguap, tutup mulut dengan belakang tapak tangan yang kiri.

vi) Apabila diminta nasihat, maka berilah nasihat.


3. Menyibukkan diri tentang perihal jiwamu, bersihkanlah hatimu daripada dosa, perbanyakkanlah amalan yang baik untuk hatimu.

4. Jangan merasa aman daripada ujian Allah walaupun sehari. Perbanyakkanlah amalan yang mana kita berharap kita mati dalam keadaan melakukan amalan tersebut. Contohnya, jika kita berharap kita mati dalam keadaan bersujud, maka perbanyakkan lah sujud.

5. Jangan mengumpulkan harta dunia lebih daripada apa yang kita perlukan.

RUMUS KEHIDUPAN

Takut + Harap = Berjaya

Orang yang berharap untuk lulus exam akan berasa takut kalau-kalau dia gagal, lantas akan berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajarannya dan natijahnya (dengan keizinan Allah dan sunnatullah), dia akan berjaya.

Orang yang berharap untuk masuk syurga, akan berasa takut kalau-kalau dia dimasukkan ke neraka, lantas akan sentiasa beramal dengan amalan-amalan ahli syurga dan inshaAllah, akan berjaya di dunia, dan juga di akhirat. Ameeen.

bersambung.......

1 comment:

Aurora Trading & Services said...

salam...

artikel yg menarik skali...heheh tkasih