Monday, 14 January 2008

Edisi Musim Peperiksaan

Peperiksaan saya akan secara rasminya bermula esok, Selasa 15 Januari 2008 dan akan berakhir pada 25 Januari 2008, iaitu sebanyak 5 kertas semuanya (Give me 5! Huhu ).Penyakit tidak boleh tidur malam, atau lebih dikenali dengan istilah INSOMNIA, juga tanpa diundang, telah datang bertandang. Tak mengambil kaffein pun terkena jugak bias penyakit ni..Haih~


Dalam kesibukan diri menela’ah pelajaran, diri saya sentiasa bermuhasabah; kita sentiasa akan menyiapkan diri untuk menghadapi sesuatu yang kita pasti akan terjadi, yang telah tetap bila akan terjadi, dan hasil daripada persediaan kita serta daripada pertolongan Allah lah yang akan menentukan natijahnya, sama ada baik atau pun tidak. Ini jelas bila kita akan menghadapi peperiksaan, kita tahu bila ia akan terjadi, dan kita tahu takat mana yang akan ditanya dalam kertas peperiksaan itu nanti, lalu kita membuat persediaan untuk menghadapinya, dengan penuh ketekunan, kesungguhan, sehingga berjaga malam untuk menghabiskan sukatan pelajaran, menjawab soalan-soalan tutorial, kertas-kertas peperiksaan tahun-tahun sebelumnya; sehingga melupakan makan dan minum, sehingga waktu rehat semakin berkurang, hanya kerana, ingin mencapai yang terbaik dalam peperiksaan dunia itu.

Lantas, kita terlupa, sebenarnya, ada sesuatu yang lagi besar, yang lebih menuntut persediaan kita, yang lebih menuntut masa rehat kita, yang lebih menuntut tubuh badan kita agar mengurangkan makan dan minum, yang menuntut 1001 pengorbanan dalam perjalanan menghadapinya, yang telah tetap akan berlakunya ia, dengan janji Rabb yang Maha Benar, yang boleh berlaku bila-bila masa sahaja, hatta semasa kita sedang bergembira, hatta semasa kita sedang dalam perjalanan pulang ke rumah, hatta ketika kita sedang melakukan sesuatu yang berunsur maksiat; yang disembunyikan tarikh bila akan berlakunya ia, agar manusia sentiasa berwaspada, dan bersiap-sedia, iaitu lah KEMATIAN.

“Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.” [Al-Imran:185]

Dalam kesempatan yang amat sedikit ini (kerana perlu meneruskan perjuangan mempersiapkan diri untuk peperiksaan dunia), saya ingin mengingatkan diri sendiri dan juga kawan-kawan semua, marilah kita persiapkan juga diri kita dengan persediaan yang sepatutnya untuk menghadapi detik ini, yang bila ia datang, tidak mungkin lagi kita akan kembali ke dunia untuk menebus diri kita, melainkan dengan perbekalan amal soleh yang ikhlas untuk-Nya sepanjang tempoh persediaan di dunia ini. Manfaatkan lah tempoh persediaan ini, agar kita tidak menyesal di sana nanti.

Banyakkan mengingati Allah, dan rasailah akan setiap detik yang berlalu, yang sebenarnya membawa kita lagi hampir dengan ajal kita berbanding peperiksaan kita.

Moga hati ini dan hati-hati kalian semua sentiasa dipandu oleh-Nya menuju jalan yang benar dan diredhai serta sentiasa cenderung melakukan perkara kebaikan dan menjauhi kemungkaran. InshaAllah…ameen….

No comments: