Thursday 12 April 2007

Cerita Mus'ab ibnu Umair

Mus’ab ibn Umair lahir dalam hidup yang amat mewah dan kaya-raya. Pakaiannya paling berjenama, kasutnya paling class, perfumenya paling wangi dan sebagainya. Beliau dikatakan menjadi pujaan gadis-gadis di Makkah... dah la kaya, handsome pulak tu.

Mus’ab memeluk Islam ketika pertama kali bertemu Rasulullah di rumah Al-Arqam ibn Abi Arqam. Apabila berita tersebut diketahui ibunya,Mus’ab dengan tenangnya mengakui keIslamannya. Ibu Mus’ab berasa sangat marah, lalu mengurungnya di sebuah bilik terpencil dalam rumahnya, di bawah jagaan beberapa orang guard.

Mus’ab akhirnya terlepas. Ibunya menghalaunya dari rumah dan menarik balik kesemua kemewahan yang diberikannya kepada Mus’ab.Tarik balik credit card, tarik balik kereta Ferrari, tarik balik semua designer clothes.

Seketika selepas peristiwa di Taif, Rasulullah s.a.w. memilih Mus’ab sebagai duta baginda ke Yathrib. Mus’ab masuk ke Madinah sebagai tetamu kepada Saad ibn Zurarah dari kaum Khazraj. Mereka megetuk pintu setiap rumah untuk menceritakan tentang Islam. Dengan rahmat Allah,ramai yang memeluk Islam. Ini sangat menggembirakan Mus’ab, tapi sangat membimbangkan ketua-ketua kaum Yathrib.

Satu hari, sedang Mus’ab dan Saad duduk bersama-sama beberapa Muslim baru dan orang-orang yang berminat dengan Islam, datang seorang pembesar Madinah dengan sebatang tombak di tangan dalam keadaan marah, iaitu Usaid ibn Khudair. Dia terus mencerca dan mengancam Mus’ab dan Saad. “Mengapa kamu datang untuk merosakkan orang-orang yang lemah di kalangan kami? Jauhkanlah diri kamu jika kamu mahu terus hidup!”

Mus’ab tersenyum dan berkata, “Apa kata kamu duduk bersama kami dan dengar seketika. Kalau kamu suka dengan misi kami, terimalah ia,dan jika kamu tidak suka, kami akan berhenti dan pergi dari sini.”

Usaid terus memeluk Islam selepas mendengar seketika, dan diikuti oleh Saad ibn Muaz dan Saad ibn Ubadah, pembesar Yathrib yang lain.

Orang ramai pun mula berkata, “Jika Usaid ibn Khudair, Saad ibn Muaz dan Saad ibn Ubadah telah menerima agama baru ini, takkan kita tak nak ikut?”

Setelah tamatnya Perang Badar, Rasulullah telah mengarahkan supaya tawanan dilayan dengan baik. Salah seorang tawanan tersebut ialah Abu Aziz ibn Umair, saudara kepada Mus’ab. Satu ketika, Mus’ab berlalu di hadapan abangnya dan Mus’ab berkata, “Ikat dia kemas-kemas. Ibunya seorang yang kaya dan berpengaruh. Kamu boleh dapat wang pampasan yang banyak daripadanya.”

Dengan terkejut, Abu Aziz menjawab, “Wahai Mus’ab, bukankah aku abangmu?”.Lalu Mus’ab menuding jarinya ke arah orang Ansar yang menjaga abangnya dan berkata, “Dia saudaraku, bukan kau.”Kenyataan ini membuktikan betapa ikatan iman itu lebih besar daripada ikatan persaudaraan, apatah lagi ikatan-ikatan lain.

Ketika Perang Uhud, Mus’ab diamanahkan untuk memegang panji Islam. Ketika orang Islam mengingkari arahan Rasulullah dan menginggalkan tempat mereka, orang musyrikin terus patah balik dan menuju ke arah Rasulullah untuk membunuh baginda.Mus’ab menyedari ancaman itu, lalu beliau mengangkat tinggi panjinya dan menjeritkan takbir. Dengan panji di satu tangan dan pedang di tangan yang sebelah lagi, Mus’ab menghala ke arah tentera Quraisy. Kedengaran Mus’ab mengulang kata-kata, “Muhammad hanyalah seorang Rasul.Telah berlalu Rasul-rasul sebelumnya.”

Seorang penunggang kuda Quraisy memotong tangan kanan Mus’ab. Kemudian tangan kirinya juga dipotong, lalu dia memegang panji dengan hujung kedua-dua lengan yang telah dipotong. Akhirnya Mus’ab ditikam dengan sebatang tombak, lalu rebahlah ia sebagai seorang syahid.

Selepas peperangan, Rasulullah dan para sahabat mengelilingi medan peperangan. Apabila tiba kepada badan Mus’ab, mereka semua menangis. Mereka tidak menemui kain untuk menutup badan Mus’ab melainkan pakaian yang dipakainya. Apabila ditutup kepalanya, kakinya kelihatan;apabila ditutup kakinya, kepalanya kelihatan. Maka Rasulullah menyuruh mereka menutup kepalanya, manakala kakinya ditutup dengan daun-daun pokok.

Rasulullah sangat bersedih atas kehilangan begitu ramai sahabat di medan Uhud, termasuk bapa saudaranya Hamzah. Namun Rasulullah sangat beremosi ketika melihat badan Mus'ab. Baginda terkenang saat mula-mula mengenali Mus’ab di Makkah, mewah dan bergaya, dan kini hanya dilitupi sehelai burdah yang kecil. Rasulullah melafazkan ayat Al-Quran:

“Di antara orang-orang beriman itu ada orang-orang yang menepati apa yang mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikitpun tidak mengubah (janjinya).” (Al-Ahzab: 23)

Rasulullah berpaling kepada para sahabat yang masih hidup dan berkata, “Wahai manusia! Ziarahilah mereka, berselawatlah ke atas mereka. Demi Dia yang nyawaku di tangan-Nya, tiap Muslim yang mengirimkan selawat ke atas mereka sehingga Hari Qiamat, selawat mereka akan dijawab.”

As-salaamu ‘alaika ya Mus’ab... As-salaamu ‘alaikum, ma'syar asy-syuhadaa’… As-salaamu ‘alaikum wa rahmatullahi wa barakatuhu…

Salam sejahtera ke atas kamu, wahai Mus’ab… Salam sejahtera ke atas kamu, wahai para syuhada’… Salam sejahtera ke atas kamu, beserta rahmat dan keberkatan Allah…