Sunday, 26 October 2008

Rahmat musibah

Ada ketikanya Tuhan menimpakan sesuatu musibah kepada kita untuk mengelakkan musibah yang lebih besar terjadi ke atas diri kita. Kerana itu, musibah kecil itu dianggap sebagai satu rahmat.

Aku mengenali seseorang yang merasakan dirinya pernah ditimpa malang dan musibah. Namun, dia gagahkan juga kaki melangkah. Perubahan yg dia ingin lakukan, masyaAllah..buat aku kagum. Dan, benar, Allah memberi musibah itu ke atasnya dulu untuk mendatangkan rahmat-Nya kini.

Maha Suci Allah Tuhan sekalian alam... moga Allah membantu kita dan mempermudahkan jalan bagi kita. Ukhwah itu indah bila hanya kerana Dia.

-senyum-

Alhamdulillah............

Wednesday, 22 October 2008

Tajdid Iman: Memelihara kesucian hati sebagai penerima hidayah

...Diletakkan di sini sebagai rujukan untuk saya kelak, dan juga untuk berkongsi dengan pembaca semua...

Oleh Dr Juanda Jaya

Membaca al-Quran, solat dan mengingati mati asas ummah capai ketenangan hidup

PENYAKIT berbahaya sehingga boleh menyuramkan masa depan seseorang ialah tekanan perasaan yang berpunca daripada hati sakit.

Seorang guru yang tertekan boleh bersikap kejam dan melampau dalam mendisiplinkan murid atau mungkin membiarkan mereka tanpa kawalan dan pengajaran.

Seorang pegawai yang seharusnya melaksanakan amanah dengan dedikasi apabila diserang penyakit hati akan mengambil kesempatan lari daripada tanggungjawab dan menangguhkan kerja sehingga menjejaskan jabatannya.

Seorang pemimpin di rumah atau di tengah masyarakat jika tidak bersih hati akan rosaklah apa yang dipimpinnya dan terabai amanah. Seorang isteri yang tercemar hatinya suka menyusahkan suami, mengabaikan anak dan mendedahkan diri kepada dosa dan maksiat.

Seorang yang sembahyang, puasa dan sedekah dengan hati yang berpaling daripada Allah, hatinya akan mati, kotor dan menyimpan penyakit serta sudah tentu ibadahnya tidak memberi kesan kepada keperibadiannya.

Pertanyaan paling mahal dan bernilai bagi seorang Mukmin ialah: "Apakah aku sudah kehilangan hati suciku hari ini? Mengapa? Kerana hati menjadi asas segala sesuatu yang bernama sebuah kehidupan.

Hidup ini tidak akan bermakna tanpa hati yang hidup.

Jika hati mati maka semua amalan yang dilakukan akan menjadi tempang, kerja mengejar dunia akan mengaburi pandangan ke akhirat dan ibadat pula hilang kemanisannya.

Fokus utama hati hanya akan terarah untuk memenuhi kehendak nafsu, padahal ia diciptakan untuk sentiasa memandang keagungan Tuhannya, menerima hidayah dan kemudian mengawal semua gerak kerja seluruh anggota badan semata-mata untuk keredaan Allah.

Namun demikian, hati juga diciptakan dengan ciri sensitif seperti mudah terpengaruh oleh persekitaran, mudah berubah, berbolak-balik, kadang tersesat dan kadang terpimpin.

Adalah menjadi tugas seorang Mukmin menjaga hatinya, merawat dan menghidupkan semangat iman di dalam hati.

Sahabat Rasulullah pernah menerima teguran langsung melalui wahyu-Nya, supaya mereka sentiasa mengurus hati dengan penjagaan baik agar ia dapat berfungsi dengan sempurna sebagai ejen penerima hidayah Allah.

Menurut pendapat Abdullah ibn Mas'ud, Allah menegur mereka pada saat mereka baru empat tahun memeluk Islam. Dengan firman-Nya yang bermaksud:

"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingati Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka menjadi seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al-Kitab kepadanya, kemudian berlalu masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik." (Surah al-Hadid ayat: 16)

Apabila hati dibiarkan tanpa penjagaan, lama-kelamaan ia menjadi keras lalu membentuk benteng kukuh yang tidak dapat ditembusi cahaya hidayah Allah.

Terkunci mati dan menjadi sarang kejahilan dan kejahatan. Jika demikian keadaannya maka yang menjadi raja di dalam hati ialah iblis dan nafsu syahwat.

Hasilnya semua amal dan kerja berorientasi pada kemahuan keduanya. Kalau keadaan sebegini dibiarkan sepanjang masa, boleh jadi seseorang akan kehilangan hatinya.

Pernahkah anda melihat manusia yang tidak memiliki hati? Orang yang langsung tidak mahu mendengar apa kata hatinya akibat nurani bersih hasil limpahan ilham daripada Allah sudah tiada lagi. Kerana dia sendiri sudah meleburkan hatinya bersama kegelapan tanpa mahu menerima cahaya Ilahi.

Pada hakikatnya, cahaya menyinari hati bersumber pada tiga pancaran, iaitu cahaya al-Quran, sembahyang dan mengingati mati.

Sebagaimana yang diungkapkan oleh Al-Imam Al-Ghazali, beliau berkata: "Carilah hatimu di tiga tempat. Pertama ketika membaca al-Quran, kedua ketika sembahyang dan ketiga ketika engkau mengingati mati. Jika pada tiga tempat itu kamu tidak menemukan hatimu maka mohonlah kepada Allah agar Ia memberimu hati kerana sesungguhnya kamu ketika itu tidak memiliki hati."

Cahaya hati pertama : Membaca al-Quran

Kejayaan seseorang bergantung pada usahanya mengenal Allah, dan tiada jalan yang paling dekat untuk mengenal Allah selain mempelajari al-Quran.

Dunia hanya boleh direbut dengan kekuatan daripada Allah, tanpa bergantung kepada-Nya manusia tidak akan mendapat apa yang diimpikan.

Kejayaan itu ialah sejauh mana seseorang mengikat dirinya dengan Allah dengan ikatan kuat. Maka al-Quranlah yang menjadi ikatan antara hamba dengan Allah Taala. Melaluinya seseorang pandai memilih yang hak daripada batil, dia mengetahui jalan terang dan mengikuti petunjuk al-Quran. Meneroka dunia dan mengurus diri dan masyarakatnya melalui bimbingan wahyu.

Dia lahir menjadi manusia jujur, kuat bekerja dan memiliki misi yang jelas dalam hidupnya kerana diniatkan segala pekerjaannya itu sebagai ibadah kepada Allah.

Kalaupun seseorang itu malas, miskin dan suka menyusahkan orang lain punca pertama penyakitnya ialah kerana dia jahil, jauh daripada bimbingan al-Quran dan tidak mengenal Allah dengan lebih dekat.

Begitu pula kalau ada orang kaya dan berpangkat tetapi sengsara hatinya punca utama keadaan itu ialah jauhnya ia daripada Allah, merasa asing dengan ayat-ayatnya dan membiarkan diri terus menerus dalam kekeringan ilmu.

Kejayaan atau kegagalan itu bermula daripada usaha mengurus hati, mengenal Allah lewat kalam-Nya suci.

Cahaya hati kedua : Mendirikan Sembahyang

Siapakah yang mahu berjaya dalam perniagaan; yang bercita-cita kariernya sentiasa naik ke puncak; mengimpikan pasangan hidupnya setia dan jujur; berharap anak-anak dan keluarga menjadi penyejuk matanya dan mahu sentiasa bergembira dan bahagia?

Semua itu hanya dapat dirasai dengan pertolongan Allah, yang memberi manfaat dan mudarat, membahagi dan mencabut rezeki bagi manusia, memberi petunjuk dan menyesatkan, mengatur segala urusan makhluk.

Siapa yang bergantung kepada selain Allah dia tidak akan mendapat faedah daripada pergantungannya itu.

Ibnu al-Qayyim Rahimahullah pernah berkata: "Ketika manusia bergantung kepada dunia, gantungkanlah dirimu hanya kepada Allah. Ketika manusia bergembira kerana dunia, jadikanlah dirimu bergembira kerana Allah.
Ketika manusia mencari bahagia dengan kekasih mereka, carilah bahagia dengan mencintai Allah dan ketika manusia pergi menghadap raja dan pembesar mereka pergilah menuntut hajatmu hanya kepada Allah."



Sesungguhnya ibadah yang menghampirkan manusia kepada Allah dengan sedekat-dekatnya adalah sujud, permintaan tidak akan ditolak adalah doa ikhlas dan proses pembersihan dosa dilakukan terus menerus adalah sembahyang.

Apakah kejayaan seseorang itu bergantung kepada kualiti sembahyangnya? Mengapa tidak, jika sembahyangnya itu melahirkan akhlak yang mahmudah.

Sembahyang yang didirikan dengan sempurna syarat, rukun dan khusyuknya boleh diumpamakan stesen minyak yang bertugas mengisi kekosongan pada tangki kereta agar dapat meneruskan perjalanan hingga sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat.'

Sembahyang adalah energi yang diperlukan untuk menghadapi perjalanan hidup mencabar.

Sembahyang berkualiti adalah yang boleh melahirkan jiwa yang reda sekali gus kuat berikhtiar semata-mata mahu berlumba-lumba melakukan amal salih dan membina kehidupan di dunia.

Namun demikian, dunia tidak akan memperdayakan orang khusyuk hatinya serta menyerahkan diri sebulat-bulatnya kepada Allah.

Sembahyang juga menjaga seseorang daripada ancaman perhiasan dunia yang melekakan, dan menjadi salah satu cara kita mengingati diri supaya pandai merancang hidup yang selamat di dunia sampai ke akhirat.

Cahaya hati ketiga : Mengingati Mati

Antara tanda kebijaksanaan orang Mukmin ialah pandai merancang masa depan.

Bukan hanya pandai melipatgandakan harta dan membina istana tetapi jauh pandangannya hingga menembusi alam akhirat.

Pernahkah anda merancang bagaimana menghabiskan masa muda dan melewati masa tua dengan ketinggian ilmu dan persediaan amal, akhirnya merancang untuk mati dengan tenang?

Mengingati mati boleh menghidupkan hati, menyuntik semangat untuk beramal lebih baik daripada kelmarin, menumbuhkan rasa takut dan harap kepada Allah seterusnya menggugah hati untuk sentiasa bertaubat.

Jika ramai manusia berlumba-lumba menghadiri pesta keriangan, memenuhi pasar dan mengunjungi tempat peranginan yang indah, tidak salah jika kita menjadikan ziarah kubur sebagai kegiatan rutin yang boleh mengingatkan diri kepada kematian.

Sebagaimana yang dilakukan Baginda Rasulullah lazim menziarah kubur dan mendoakan kaum Muslimin tidak kira siang ataupun malam.

Dengan membaca al-Quran, menunaikan solat dan sentiasa mengingati mati seorang Mukmin melakukan penjagaan yang rapi terhadap hatinya.

Bagaimanakah pula keadaan orang yang tidak memiliki ketiga-tiga cahaya hati ini?

Mungkin hidupnya begitu hampa, jika kaya pasti merana, miskin pula mungkin lebih terseksa, jika jahil tersesat, kalau alim ilmunya pula tidak bermanfaat.

[ Berita Harian: 22 Oktober 2008 ]

Double rewards

Aishah r.a. reported:

The Messenger of Allah s.a.w. said, "The one who is proficient in the recitation of the Quran will be with the honourable and obedient scribes (angels) and he who recites the Quran finds it difficult to recite, doing his best to recite it in the best way possible, will have a double reward."

[Al-Bukhari and Muslim](1)

(1) taken from the book Riyad-us-Saliheen

Monday, 6 October 2008

:: Tadabbur Al-Quran ::

Yang mereka sembah selain Allah itu, tidak lain hanyalah berhala, dan dengan menyembah berhala itu mereka tidak lain hanyalah menyembah syaitan yang durhaka.

Yang dilaknati Allah. Dan syaitan itu mengatakan,"Aku benar-benar akan mengambil dari hamba-hamba Engkau bahagian yang sudah ditentukan untuk aku.(*)

dan aku benar-benar akan menyesatkan mereka, dan akan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, dan akan menyuruh mereka memotong telinga-telinga binatang ternak, lalu mereka benar-benar memotongnya, dan akan aku suruh mereka merobah ciptaan Allah, lalu benar-benar mereka mengubahnya." Barangsiapa yang menjadikan syaitan menjadi pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata.

Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain tipuan belaka.

Mereka itu tempatnya Jahannam dan mereka tidak memperoleh tempat lari daripadanya.

Orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, kelak akan Kami masukkan ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah telah membuat suatu janji yang benar. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?

(*) Pada tiap-tiap manusia ada persediaan untuk baik dan ada persediaan untuk jahat, syaitan akan mempergunakan persediaan untuk jahat, untuk mencelakakan manusia.

(An-Nisa': 117-122)