Tuesday, 22 July 2008

Coret - coret

Lama saya tak berkongsi ilmu di sini. Manakan mampu untuk saya berbuat demikian tatkala diri sendiri kekeringan dan kegersangan ibarat padang pasir yang telah lama tidak disirami hujan..perkongsian Deen Intensive Dublin (DID) part ke-3 pun masih tertunda.. kadang-kadang bila ada keinginan untuk menulis, hasrat itu terpaksa dipadamkan apabila teringatkan diri sendiri tentang ilmu yang masih belum saya laksanakan, lalu bagaimana pula hendaknya saya menasihati orang sedangkan diri sendiri masih tidak mengaplikasikan ilmu itu..

Pesan Habib Ali di DID dulu, (sebaik-baiknya) sampaikanlah pesanan, nasihat atau ilmu itu setelah kamu sendiri telah larut dengan ilmu itu- iaitu kamu sendiri telah pun mengamalkan ilmu tersebut.

Hari-hari yang berlalu, saya lebih banyak habiskan masa di rumah, kadang-kadang keluar juga bersama sahabat karib saya yang tinggal tidak sekampung, sekolah tidak pernah sekali sejak kecil, belajar tidak pernah satu aliran; tapi sekepala dan punya banyak persamaan. Cuma perbezaan ketaranya ialah dia sudah pun bergelar “Puan” dan saya masih dengan gelaran “Cik” dipangkal nama walaupun kami sebaya. Heh.

Kami mengatur program bersama untuk mengisi masa lapang. Plan perlu dilaksanakan. Kaki perlu melangkah ke depan. Semangat perlu dibakar. Mari berbakti kepada nusa dan bangsa!

-Melihat kalendar-

Nampaknya hujung-hujung minggu menjelang bulan September telah penuh dengan undangan ke majlis perkahwinan sahabat-sahabat dan juga perkahwinan kakak saya sendiri. Uh, bulan 8 nanti adalah bulan menambah lemak dek kerana suapan gulai kambing dan lembu di tempat kenduri. Jadi, mari membuat pemeriksaan kesihatan tentang kandungan gula dalam darah, tahap kolestrol ( dan kandungan lemak? ) dalam darah/badan, tekanan darah, kesihatan mata dan gigi, serta menjaga tahap stamina yang perlu di maintain selalu dengan berjogging 3 kali seminggu di kawasan rekreasi USM Kubang Kerian.

Aha..

Untuk menjaga kesihatan juga saya amalkan minum teh hijau/herba dan ulam-ulaman. Seronok betul dapat makan ulam pegaga. Mana nak jumpa kat bumi omputih, so balik ni ler nak hentam puas-puas. Sesetengah orang tak suka rasa ulam-ulaman yang aneh, tapi Alhamdulillah saya tiada apa-apa masalah. Teruja saya bila melihat sayur mayur yang sungguh segar dan hijau di pasar-pasar tani yang saya kunjungi. Kerana sayangkan khasiat sayur-sayuran, saya lebih suka makan sesetengah sayur-sayuran ini secara mentah- seperti lobak merah, kacang buncis dan sudah tentu, ulam-ulaman. Jimat la jugak duit bayar gas ye tak…yer la, tak payah masak sayur-sayur ni, khasiatnya dikekalkan pulak tu.

Jam menunjukkan pukul 1:34 am. Stop kat sini dulu... tuntutan mata perlu ditunaikan untuk bekalan tenaga hari esok pula.. inshaAllah..

Friday, 4 July 2008

Musibah atau kesenangan itu, semuanya dari Allah.

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, telah pun seminggu berada di tanah tempat ku membesar.. Negeri serambi Mekah, yang dinaungi rahmat Allah (inshaAllah!), Kelantan. Hari-hari yang berlalu penuh dengan aktiviti, tidak mengenal erti rehat. Cuma diwaktu malam sahaja boleh relax dan bermain-main bersama adik kecil ku. (She is sooooo cute and loving! *wink* ^^)

Berada di rumah pada tahun ini lebih menenangkan. Alhamdulillah. Perubahan positif yang akan saya bajai. Hanya beberapa kali keluar ke bandar Kota Bharu. Bandar itu makin pesat pertumbuhannya. Yang membuatkan saya kagum ialah, ketika saya sampai di bandar Kota Bharu di pagi Juma'at yang lepas, jelas kedengaran bacaan Al-Quranul Karim di udara- bacaan yang diperkuatkan dengan pembesar suara surau berdekatan, kedengaran di segenap alam. Wow. Fantastic. This is the real Islamic city. Allahuakbar!

Email itu

-Menarik nafas.....dan menghembusnya perlahan....lahan... -

Terkenang sesuatu yang berlaku lewat beberapa hari yang lepas. Menerima kunjungan satu email yang tidak diduga. Lama saya mengambil masa untuk membalas email itu- membaca Al-Fatihah sebagai pembuka langkah, ayat Al-Kursi agar dihindarkan pengaruh perasaan dan emosi yang berpunca daripada hasutan syaitan yang terkutuk, membaca selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW banyak-banyak agar dipermudahkan titipan kata-kata dan diberi ketenangan sepanjang mencoretkan kalimah-kalimah terbaik.

Allah Maha Kaya. Dia takdirkan saya menangguhkan membalas email itu dengan kesuntukan masa yang ada. Sehari berlalu. Saya masih memikirkan balasan terbaik untuk menjawab email itu. Tidak saya nafikan, sebagai manusia biasa yang bukan Nabi atau Malaikat, diri saya tidak terlepas daripada satu perasaan yang tidak sepatutnya seorang yang mengaku Islam merasainya. Astaghfirullah....Astaghfirullah....

Hari seterusnya. Selepas menunaikan solat Zuhur, saya mendapat ilham dan kekuatan untuk membalas email itu, lalu membuka laptop dan menaip beberapa kalimah ringkas. Hanya ucapan maaf dan terima kasih kepada mereka yang telah banyak berjasa dan bersusah payah untuk saya. Selebihnya, saya serahkan kepada Allah, kerana Dia yang memiliki hati-hati manusia dan saya.... hanyalah hamba-Nya yang serba kekurangan. Moga balasan email itu adalah yang terbaik untuk dibaca oleh pembacanya.

Satu email serupa itu pernah saya terima satu ketika dahulu, tapi lagi "menyentuh hati". Saya mengambil langkah berdiam diri. Diam bukan bererti bersalah, tetapi ia lebih kepada langkah terbaik menyelesaikan perkara yang timbul. Tidak perlu saya menambah apa-apa. Lagi banyak bercakap, maka lagi banyak lah juga kekurangan yang makin terserlah.

Si pembuat minyak wangi VS Si pembuat pedang

Sekadar renungan bersama.

Saya teringat satu kata-kata yang berbunyi:

"Berkawan lah dengan pembuat minyak wangi, nescaya harumannya akan terkena bajumu juga. Jangan berkawan dengan si tukang besi (atau tukang pembuat pedang), percikan apinya akan terkena bajumu lalu boleh terbakar."

Kita sering meletakkan diri kita sebagai orang yang punya hak memilih- sama ada ingin berkawan dengan pembuat minyak wangi atau si tukang pembuat pedang. Tapi pernahkah kita letakkan diri kita sebagai orang yang tak punya pilihan- maksud saya, jika hanya kemahiran itu yang kita ada, lantas, adakah kita punya hak untuk memilih siapakah orang yang layak menjadi kawan kita?

Adakah adil si pembuat pedang dijauhi jika hanya kepakaran membuat pedang sahaja yang dia tahu dan dia menghasilkan pedang yang diperlukan dalam kehidupan manusia?

Si pembuat pedang mungkin lebih baik daripada si pembuat minyak wangi. Kerana tidak mahu orang lain menerima musibah jika mendekatinya, si pembuat pedang bisa sahaja mengambil langkah menjauhi orang-orang yang ingin mendekatinya, bimbang mereka akan terkena tempias percikan besi yang boleh membahayakan manusia disekitarnya. Bukankah itu juga satu kebaikan? Kebaikan yang mampu si tukang pembuat pedang lakukan demi keselamatan orang lain andai hanya itu yang mampu dia lakukan..?