Mus’ab memeluk Islam ketika pertama kali bertemu Rasulullah di rumah Al-Arqam ibn Abi Arqam. Apabila berita tersebut diketahui ibunya,Mus’ab dengan tenangnya mengakui keIslamannya. Ibu Mus’ab berasa sangat marah, lalu mengurungnya di sebuah bilik terpencil dalam rumahnya, di bawah jagaan beberapa orang guard.
Mus’ab akhirnya terlepas. Ibunya menghalaunya dari rumah dan menarik balik kesemua kemewahan yang diberikannya kepada Mus’ab.Tarik balik credit card, tarik balik kereta Ferrari, tarik balik semua designer clothes.
Seketika selepas peristiwa di Taif, Rasulullah s.a.w. memilih Mus’ab sebagai duta baginda ke Yathrib. Mus’ab masuk ke Madinah sebagai tetamu kepada Saad ibn Zurarah dari kaum Khazraj. Mereka megetuk pintu setiap rumah untuk menceritakan tentang Islam. Dengan rahmat Allah,ramai yang memeluk Islam. Ini sangat menggembirakan Mus’ab, tapi sangat membimbangkan ketua-ketua kaum Yathrib.
Usaid terus memeluk Islam selepas mendengar seketika, dan diikuti oleh Saad ibn Muaz dan Saad ibn Ubadah, pembesar Yathrib yang lain.
Orang ramai pun mula berkata, “Jika Usaid ibn Khudair, Saad ibn Muaz dan Saad ibn Ubadah telah menerima agama baru ini, takkan kita tak nak ikut?”
Setelah tamatnya Perang Badar, Rasulullah telah mengarahkan supaya tawanan dilayan dengan baik. Salah seorang tawanan tersebut ialah Abu Aziz ibn Umair, saudara kepada Mus’ab. Satu ketika, Mus’ab berlalu di hadapan abangnya dan Mus’ab berkata, “Ikat dia kemas-kemas. Ibunya seorang yang kaya dan berpengaruh. Kamu boleh dapat wang pampasan yang banyak daripadanya.”
Dengan terkejut, Abu Aziz menjawab, “Wahai Mus’ab, bukankah aku abangmu?”.Lalu Mus’ab menuding jarinya ke arah orang Ansar yang menjaga abangnya dan berkata, “Dia saudaraku, bukan kau.”
Ketika Perang Uhud, Mus’ab diamanahkan untuk memegang panji Islam. Ketika orang Islam mengingkari arahan Rasulullah dan menginggalkan tempat mereka, orang musyrikin terus patah balik dan menuju ke arah Rasulullah untuk membunuh baginda.
Seorang penunggang kuda Quraisy memotong tangan kanan Mus’ab. Kemudian tangan kirinya juga dipotong, lalu dia memegang panji dengan hujung kedua-dua lengan yang telah dipotong. Akhirnya Mus’ab ditikam dengan sebatang tombak, lalu rebahlah ia sebagai seorang syahid.
“Di antara orang-orang beriman itu ada orang-orang yang menepati apa yang mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikitpun tidak mengubah (janjinya).” (Al-Ahzab: 23)
Salam sejahtera ke atas kamu, wahai Mus’ab… Salam sejahtera ke atas kamu, wahai para syuhada’… Salam sejahtera ke atas kamu, beserta rahmat dan keberkatan Allah…