Tuesday, 22 July 2008

Coret - coret

Lama saya tak berkongsi ilmu di sini. Manakan mampu untuk saya berbuat demikian tatkala diri sendiri kekeringan dan kegersangan ibarat padang pasir yang telah lama tidak disirami hujan..perkongsian Deen Intensive Dublin (DID) part ke-3 pun masih tertunda.. kadang-kadang bila ada keinginan untuk menulis, hasrat itu terpaksa dipadamkan apabila teringatkan diri sendiri tentang ilmu yang masih belum saya laksanakan, lalu bagaimana pula hendaknya saya menasihati orang sedangkan diri sendiri masih tidak mengaplikasikan ilmu itu..

Pesan Habib Ali di DID dulu, (sebaik-baiknya) sampaikanlah pesanan, nasihat atau ilmu itu setelah kamu sendiri telah larut dengan ilmu itu- iaitu kamu sendiri telah pun mengamalkan ilmu tersebut.

Hari-hari yang berlalu, saya lebih banyak habiskan masa di rumah, kadang-kadang keluar juga bersama sahabat karib saya yang tinggal tidak sekampung, sekolah tidak pernah sekali sejak kecil, belajar tidak pernah satu aliran; tapi sekepala dan punya banyak persamaan. Cuma perbezaan ketaranya ialah dia sudah pun bergelar “Puan” dan saya masih dengan gelaran “Cik” dipangkal nama walaupun kami sebaya. Heh.

Kami mengatur program bersama untuk mengisi masa lapang. Plan perlu dilaksanakan. Kaki perlu melangkah ke depan. Semangat perlu dibakar. Mari berbakti kepada nusa dan bangsa!

-Melihat kalendar-

Nampaknya hujung-hujung minggu menjelang bulan September telah penuh dengan undangan ke majlis perkahwinan sahabat-sahabat dan juga perkahwinan kakak saya sendiri. Uh, bulan 8 nanti adalah bulan menambah lemak dek kerana suapan gulai kambing dan lembu di tempat kenduri. Jadi, mari membuat pemeriksaan kesihatan tentang kandungan gula dalam darah, tahap kolestrol ( dan kandungan lemak? ) dalam darah/badan, tekanan darah, kesihatan mata dan gigi, serta menjaga tahap stamina yang perlu di maintain selalu dengan berjogging 3 kali seminggu di kawasan rekreasi USM Kubang Kerian.

Aha..

Untuk menjaga kesihatan juga saya amalkan minum teh hijau/herba dan ulam-ulaman. Seronok betul dapat makan ulam pegaga. Mana nak jumpa kat bumi omputih, so balik ni ler nak hentam puas-puas. Sesetengah orang tak suka rasa ulam-ulaman yang aneh, tapi Alhamdulillah saya tiada apa-apa masalah. Teruja saya bila melihat sayur mayur yang sungguh segar dan hijau di pasar-pasar tani yang saya kunjungi. Kerana sayangkan khasiat sayur-sayuran, saya lebih suka makan sesetengah sayur-sayuran ini secara mentah- seperti lobak merah, kacang buncis dan sudah tentu, ulam-ulaman. Jimat la jugak duit bayar gas ye tak…yer la, tak payah masak sayur-sayur ni, khasiatnya dikekalkan pulak tu.

Jam menunjukkan pukul 1:34 am. Stop kat sini dulu... tuntutan mata perlu ditunaikan untuk bekalan tenaga hari esok pula.. inshaAllah..

Friday, 4 July 2008

Musibah atau kesenangan itu, semuanya dari Allah.

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, telah pun seminggu berada di tanah tempat ku membesar.. Negeri serambi Mekah, yang dinaungi rahmat Allah (inshaAllah!), Kelantan. Hari-hari yang berlalu penuh dengan aktiviti, tidak mengenal erti rehat. Cuma diwaktu malam sahaja boleh relax dan bermain-main bersama adik kecil ku. (She is sooooo cute and loving! *wink* ^^)

Berada di rumah pada tahun ini lebih menenangkan. Alhamdulillah. Perubahan positif yang akan saya bajai. Hanya beberapa kali keluar ke bandar Kota Bharu. Bandar itu makin pesat pertumbuhannya. Yang membuatkan saya kagum ialah, ketika saya sampai di bandar Kota Bharu di pagi Juma'at yang lepas, jelas kedengaran bacaan Al-Quranul Karim di udara- bacaan yang diperkuatkan dengan pembesar suara surau berdekatan, kedengaran di segenap alam. Wow. Fantastic. This is the real Islamic city. Allahuakbar!

Email itu

-Menarik nafas.....dan menghembusnya perlahan....lahan... -

Terkenang sesuatu yang berlaku lewat beberapa hari yang lepas. Menerima kunjungan satu email yang tidak diduga. Lama saya mengambil masa untuk membalas email itu- membaca Al-Fatihah sebagai pembuka langkah, ayat Al-Kursi agar dihindarkan pengaruh perasaan dan emosi yang berpunca daripada hasutan syaitan yang terkutuk, membaca selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW banyak-banyak agar dipermudahkan titipan kata-kata dan diberi ketenangan sepanjang mencoretkan kalimah-kalimah terbaik.

Allah Maha Kaya. Dia takdirkan saya menangguhkan membalas email itu dengan kesuntukan masa yang ada. Sehari berlalu. Saya masih memikirkan balasan terbaik untuk menjawab email itu. Tidak saya nafikan, sebagai manusia biasa yang bukan Nabi atau Malaikat, diri saya tidak terlepas daripada satu perasaan yang tidak sepatutnya seorang yang mengaku Islam merasainya. Astaghfirullah....Astaghfirullah....

Hari seterusnya. Selepas menunaikan solat Zuhur, saya mendapat ilham dan kekuatan untuk membalas email itu, lalu membuka laptop dan menaip beberapa kalimah ringkas. Hanya ucapan maaf dan terima kasih kepada mereka yang telah banyak berjasa dan bersusah payah untuk saya. Selebihnya, saya serahkan kepada Allah, kerana Dia yang memiliki hati-hati manusia dan saya.... hanyalah hamba-Nya yang serba kekurangan. Moga balasan email itu adalah yang terbaik untuk dibaca oleh pembacanya.

Satu email serupa itu pernah saya terima satu ketika dahulu, tapi lagi "menyentuh hati". Saya mengambil langkah berdiam diri. Diam bukan bererti bersalah, tetapi ia lebih kepada langkah terbaik menyelesaikan perkara yang timbul. Tidak perlu saya menambah apa-apa. Lagi banyak bercakap, maka lagi banyak lah juga kekurangan yang makin terserlah.

Si pembuat minyak wangi VS Si pembuat pedang

Sekadar renungan bersama.

Saya teringat satu kata-kata yang berbunyi:

"Berkawan lah dengan pembuat minyak wangi, nescaya harumannya akan terkena bajumu juga. Jangan berkawan dengan si tukang besi (atau tukang pembuat pedang), percikan apinya akan terkena bajumu lalu boleh terbakar."

Kita sering meletakkan diri kita sebagai orang yang punya hak memilih- sama ada ingin berkawan dengan pembuat minyak wangi atau si tukang pembuat pedang. Tapi pernahkah kita letakkan diri kita sebagai orang yang tak punya pilihan- maksud saya, jika hanya kemahiran itu yang kita ada, lantas, adakah kita punya hak untuk memilih siapakah orang yang layak menjadi kawan kita?

Adakah adil si pembuat pedang dijauhi jika hanya kepakaran membuat pedang sahaja yang dia tahu dan dia menghasilkan pedang yang diperlukan dalam kehidupan manusia?

Si pembuat pedang mungkin lebih baik daripada si pembuat minyak wangi. Kerana tidak mahu orang lain menerima musibah jika mendekatinya, si pembuat pedang bisa sahaja mengambil langkah menjauhi orang-orang yang ingin mendekatinya, bimbang mereka akan terkena tempias percikan besi yang boleh membahayakan manusia disekitarnya. Bukankah itu juga satu kebaikan? Kebaikan yang mampu si tukang pembuat pedang lakukan demi keselamatan orang lain andai hanya itu yang mampu dia lakukan..?

Sunday, 22 June 2008

Penarikan semula entry "Kisah Hati" dan susulan daripadanya

Kerana kesan tersiarnya dua entries baru-baru ini yang mengundang rasa "teraniaya" kepada seseorang, saya telah membuat keputusan untuk menarik balik entries tersebut.

Kerana Allah.

Kepada pembaca sekalian, ingin saya berpesan, terutama sekali kepada diri saya sendiri:

"Berlapang dada lah menerima teguran. Bersikap lah dengan sikap yang positif! "

Sekian.

Sunday, 15 June 2008

DID 08 Part 2

Bismillahirrahma nirrahim...

Sambungan perkongsian input-input Deen Intensive Dublin (DID) 08 diteruskan.

NASIHAT

Hendaklah kita menasihati diri kita dan mengamalkan nasihat tersebut terlebih dahulu sebelum kita menasihati orang lain. Contoh: Jika menegur orang yang melewat-lewatkan solat, maka hendaklah kita sendiri dahulu yang mengingatkan diri kita tentang hal itu dan berusaha untuk memperbaiki diri sendiri terlebih dahulu sebelum menegur orang lain. Secara fitrahnya, manusia yang ditegur akan melihat kembali perwatakan orang yang menegurnya, adakah orang yang menegurnya layak untuk memberi teguran tersebut. Orang yang ditegur juga perlulah berlapang dada menerima teguran. Berdiam dirilah jika terbit rasa marah apabila ditegur.

ILMU, IMAN, AMAL

Orang 'alim ( istilah lain: orang yang TAHU) yang tidak beramal dengan ilmunya, lebih dahulu akan disiksa oleh Allah sebelum disiksa penyembah berhala, menunjukkan bahawa beratnya hukuman Allah terhadap orang-orang 'alim yang mengabaikan ilmu yang mereka tahu tanpa mengamalkannya.

Menyentuh tentang ilmu, pemahaman terhadap apa yang dibaca sebenarnya tidak berkadar langsung dengan masa yang kita habiskan untuk membaca, melainkan Allah jua lah yang memberikan kefahaman tersebut. Maka, mintalah daripada Allah, kefahaman dalam pembacaan kita agar hati kita diterangi dengan cahaya ilmu, seterusnya dapat dimanfa'atkan untuk diri sendiri dan juga orang lain.

SEMBUNYIKAN AIB ORANG

Nasihat seterusnya ialah janganlah kita membuka aib seseorang kepada orang lain, nescaya Allah akan menutup aib kita di akhirat kelak. Jika kita tidak suka kepada seseorang, usahlah diumpat (kata lain: Gosip-gosip) tentang orang tersebut kepada orang lain. Jika ingin diluahkan perasaan tidak puas hati, sebolehnya elakkan daripada mendedahkan nama orang tersebut dan hint-hint yang membolehkan orang yang mendengar itu tahu siapakah orang yang dimaksudkan. Cukuplah sekadar kita memperkatakan sikapnya yang kita tidak sukai agar orang yang mendengar boleh mengambil iktibar daripadanya dan bukannya dengan niat memperkatakan keburukan seseorang serta mendedahkan aibnya. Saya percaya, kita juga tidak suka aib kita dikata orang, betul kan? Lagipun, mahukah kita jika aib dan keburukan kita dibuka oleh Allah di khalayak yang lebih ramai di akhirat kelak? Wana'uzubillah..

ZUHUD TERHADAP DUNIA

Habib Ali juga mengatakan, orang miskin tidak semestinya ZUHUD dan orang kaya tidak semestinya TAKABBUR/TIDAK ZUHUD. Dikisahkan tentang 2 orang adik-beradik yang mana si adik ialah seorang yang miskin, kerjanya sebagai seorang nelayan yang setiap hari akan turun ke laut untuk menangkap ikan bagi keperluan makanannya sehari-hari. Manakala si abang pula seorang yang sangat kaya, mempunyai sebuah rumah yang besar dan mewah di sebuah bandar. Si adik mempunyai seorang khadam, dan pada suatu hari, mengutuskan khadamnya untuk membawa satu bungkusan hadiah kepada si abang. Lalu diberikan lah alamat rumah si abang kepada khadamnya itu beserta satu permintaan nasihat daripada si abang.

Berjalan lah khadam itu mencari alamat rumah abang kepada tuannya. Apabila sampai, khadam itu terkejut kerana yang berada di hadapannya ialah sebuah banglo besar yang tersergam indah, sangat berbeza daripada rumah dan kehidupan tuannya. Dengan rasa ingin mencari kepastian, khadam itu pun bertanya kepada pemilik rumah tersebut, adakah benar dia adalah si abang kepada tuannya yang bernama si fulan bin si fulan. Ternyata tuan rumah itu adalah benar orang yang dimaksudkan, lalu dinyatakanlah siapa dirinya dan tujuan kedatangannya. Khadam itu menghulurkan hadiah kepada tuan rumah itu, lalu berkata si khadam tadi,"Tuan aku meminta nasihat darimu, maka berikanlah dia satu nasihat." Berkata si abang,"Sampaikanlah pesananku untuk adik ku, agar dia zuhud terhadap dunia".

Khadam itu berasa hairan. "Bukankah dia selayaknya ditujukan nasihat itu? Memiliki kekayaan dunia, lalu disuruh adiknya yang miskin itu pula untuk zuhud." Tetapi kerana menghormati tuan rumah, khadam itu tidak berkata apa-apa, lalu pulang ke rumah tuannya. Sesampainya di rumah, tuannyabertanya,"Apakah nasihat daripada abangku untukku?". Lalu berkatalah khadam itu,"Dia berpesan agar tuan berlaku zuhud terhadap dunia." Tidak semena-mena, menangislah si adik, menambahkan lagi kehairanan si khadam itu. Lalu bertanyalah si khadam,"Mengapakah tuan menangis?Pada fikiran hamba, abang tuan itu lah yang seharusnya berlaku zuhud terhadap harta kekayaan yang dimilikinya. Tuan seorang yang tidak mempunyai harta, sudah seharusnya zuhud terhadap harta kekayaan."

Jawab si adik, "Tidak. Harta kekayaan yang abang aku miliki tidak menjadikan dia seorang yang tamak, malahan dia adalah seorang yang zuhud. Dia tidak mengejar kekayaan dunia tetapi kekayaan itu lah yang mengejarnya. Tetapi aku? Aku pergi ke laut setiap hari untuk mencari tangkapan ikan daripada keperluan dunia untuk keperluan aku. Maka layak lah abangku menasihati aku agar bersikap zuhud terhadap dunia ini."

Seringkali kita kita mendengar ungkapan, "Dunia di tangan, bukan di hati" yang bermaksud, nilai dunia, harta, pangkat dan perhiasannya jangan diletakkan di hati yang akan menjadikan kita sentiasa tamak dan mengejar kemewahan dunia. Miskin atau kaya sekalipun kita, semua itu daripada Allah, dan jadikan lah sikap suka memberi/bersedekah itu sebagai hiasan peribadi kita. Orang yang bakhil itu musuh Allah, dan malaikat setiap hari berdoa kepada Allah, "Ya Allah, berikanlah kepada orang yang suka memberi itu ganti, dan kepada orang yang bakhil itu kemusnahan." Mahukah kita didoakan sedemikian oleh malaikat, yang mana doa malaikat langsung diterima oleh Allah sebagai makhluk yang suci daripada melakukan sebarang dosa?

Sabda Rasulullah SAW,"Semua didunia ini dilaknat oleh Allah (tidak punya nilai di sisi Allah) kecuali orang yang 'alim, atau orang yang belajar, atau orang yang mendengar kepada ilmu, atau orang yang suka dengan adanya majlis-majlis ilmu. Janganlah menjadi golongan yang ke-5 iaitu orang yang tidak suka kepada mana-mana golongan yang tersebut."

PESANAN IMAM GHAZALI

Berpesan Imam Ghazali dalam kitabnya "Ya Ayyuhal Walad" (Wahai Anakku), 4 perkara yang harus dilakukan oleh seorang muslim ialah:

1. Bermu'amalat/beribadat kepada Allah sesempurna mungkin agar Allah redha kepada kita. Sesungguhnya, bukan dilihat kepada banyaknya amalan ibadat yang menjamin kita masuk ke syurga, melainkan rahmat daripada Allah semata-mata. Secara rumusnya, ibadat bukan sebab kita masuk syurga, tetapi ibadatlah merupakan sebab untuk kita mendapat rahmat Allah yang membolehkan kita ke syurga. Sama juga seperti dalam hal makan dan minum, bukan dengan makanan itu yang membuatkan kita berasa kenyang setelah memakannya, tetapi Allah jualah yang memberikan rasa kenyang itu. Kerana itulah ada orang-orang tertentu yang makan dengan banyak tapi tidak pernah berasa kenyang.

2. Menyayangi muslim yang lain seperti mana menyayangi dirinya sendiri. Ithar iaitu mendahulukan kepentingan dan keperluan orang lain disamping kepentingan diri sendiri adalah satu sikap yang mulia.

Sedikit huraian tambahan menyentuh tentang hak orang islam terhadap orang islam yang lain :

i) menjawab salam. Walaupun hukum memberi salam adalah sunat, tetapi adalah digalakkan untuk kita menyebarkan/mengucapkan salam kepada sesiapa sahaja dari kalangan muslim yang kita kenali mahupun tidak. Rasulullah bersabda,"Di akhir zaman kelak, orang islam akan memberi salam kepada mereka yang dikenali sahaja."

Sentiasa lebihkan satu kalimah dalam menjawab salam:

Assalamu'alaikum >> Wa'alaikumussalam warahmatullah

" + warahmatullah >> " + warahmatullahi wabarakatuh

" + warahmatullahi wabarakatuh >> " + warahmatullahi wabarakatuh wa maghfiratuh

" + warahmatullahi wabarakatuh wa maghfiratuh >> " + warahmatullahi wabarakatuh wa maghfiratuh waridhwa nuh

Habib juga mengajar cara Nabi Muhammad SAW memberi salam sambil mengangkat tangan kanan yang biasa dilakukan juga dalam masyarakat islam hari ini. Nabi melarang kita daripada sekadar mengangkat tangan TANPA memberi salam kerana itu adalah cara orang Nasrani.

Cara menjawab salam kiriman daripada orang lain yang disampaikan kepada kita ialah:

Jika yang mengirimkan salam adalah seorang:

"Wa 'alaika/wa'alaiki wa'alaihis salam"
Maksud: Ke atas kamu dan ke atasnya ucapan salam.

Jika yang mengirimkan salam adalah ramai :

"Wa'alaika/ wa'alaiki wa'alaihimus salam"
Maksud: Ke atas kamu dan ke atas mereka ucapan salam.

Tidak dianjurkan untuk memberi salam kepada orang kafir, tetapi jika mereka memberi salam dengan mengucapkan:

"As saamu 'alaikum" (Kecelakaan ke atas kamu) atau "Assalamu'alaikum", maka perlulah dijawab sekadar "Wa'alaikum" (Dan ke atas kamu).

Jika kita memasuki rumah yang kosong, ucapkanlah :

"Assalamu'alaikum, wa'alaina, wa'ala 'ibadillahis solihin."

Maksud: Selamat sejahtera ke atas kamu, dan ke atas kami, dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh.

ii) Mendatangi jemputan selagi tidak berunsur kepada maksiat dan tidak uzur.

iii) Mengiringi jenazah ke kubur.

Disarankan juga agar mengucapkan takziah kepada keluarga si mati. Yang dimaksudkan ucapan takziah bukanlah ucapan "Takziah" itu sendiri, tetapi ia adalah ucapan seperti "Moga kamu bersabar dan tabah dalam menghadapi ujian ini." Hendaklah kita menjaga adab-adab ketika berada di rumah si mati ketika urusan memandikan dan menguruskan jenazah sedang berlangsung. Elakkan bercakap perkara-perkara yang lagha (keduniaan) dan tertawa tatkala seluruh ahli keluarga si mati sedang dalam kesedihan.

iv) Melawat orang sakit. Mendoakannya agar cepat sembuh dan memberinya galakan serta kata-kata semangat. Dianjurkan untuk meminta doa daripada orang yang sakit kerana doa mereka mustajab di sisi Allah, tetapi perlulah diingatkan agar tidak berbicara dengan mereka terlalu lama untuk memberi ruang kepada mereka berehat.

Dianjurkan juga untuk memegang dahi atau tangan orang yang sakit jika dibolehkan oleh syara' untuk menyentuhnya (dan bergantung kepada situasi pesakit, jika pesakit adalah orang tua, eloklah dipegang tangannya, bukan dahinya), lalu bertanya khabar tentang keadaan dirinya. Kita juga boleh bertanyakan makanan khusus yang dihajatinya dan menawarkan diri untuk membuat atau membawanya.

v) Mengucapkan "Yar hamukallah" kepada muslim atau "Yar hamukillah" kepada muslimah yang bersin apabila mereka mengucapkan "Alhamdulillah" selepas mereka bersin. Orang yang bersin itu apabila didoakan sedemikian oleh orang sekeliling mereka, perlulah menjawab kembali "Yahdi kumullah" (Semoga Allah memberi petunjuk kepada kamu).

"Allah suka orang yang bersin dan tidak menyukai orang yang menguap."

Menguap itu daripada syaitan dan syaitan akan ketawa apabila seorang anak Adam menguap. Logiknya ialah, menguap selalunya dikaitkan dengan rasa mengantuk dan bosan. Syaitan suka orang yang mengantuk dan bosan kerana menggambarkan sikap tidak aktif, membuang masa atau tidak memanfa'atkan masa dan berlengah-lengah.

Antara adab yang diajarkan oleh Habib melalui cara Rasulullah SAW ialah:

Apabila bersin, tutup mulut dengan tangan kiri ( lagi elok kalau ada alas seperti kain sapu tangan yang kecil atau tisu), dan miring ke sebelah kiri. Lalu ucapkanlah "Alhamdulillah".

Apabila menguap, tutup mulut dengan belakang tapak tangan yang kiri.

vi) Apabila diminta nasihat, maka berilah nasihat.


3. Menyibukkan diri tentang perihal jiwamu, bersihkanlah hatimu daripada dosa, perbanyakkanlah amalan yang baik untuk hatimu.

4. Jangan merasa aman daripada ujian Allah walaupun sehari. Perbanyakkanlah amalan yang mana kita berharap kita mati dalam keadaan melakukan amalan tersebut. Contohnya, jika kita berharap kita mati dalam keadaan bersujud, maka perbanyakkan lah sujud.

5. Jangan mengumpulkan harta dunia lebih daripada apa yang kita perlukan.

RUMUS KEHIDUPAN

Takut + Harap = Berjaya

Orang yang berharap untuk lulus exam akan berasa takut kalau-kalau dia gagal, lantas akan berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajarannya dan natijahnya (dengan keizinan Allah dan sunnatullah), dia akan berjaya.

Orang yang berharap untuk masuk syurga, akan berasa takut kalau-kalau dia dimasukkan ke neraka, lantas akan sentiasa beramal dengan amalan-amalan ahli syurga dan inshaAllah, akan berjaya di dunia, dan juga di akhirat. Ameeen.

bersambung.......

Saturday, 14 June 2008

DID 08 Part 1

Deen Intensive Dublin (DID) 08 pada asalnya dirancang untuk diadakan bermula 31 Mei hingga 16 Mei 2008, tapi atas faktor-faktor tertentu, ia dipendekkan hingga 11 Mei 2008 sahaja. Berikut ialah ringkasan tentang Habib Ali, penceramah yang diundang khas dari Malaysia untuk memberi pengisian DID pada kali ini.

Habib Ali Zaenal Abidin al-Hamid, seorang ulama dari Indonesia, dilahirkan dari susun galur keturunan Rasulullah S.A.W. Beliau memperoleh ijazah dalam bidang Tafsir dari Universiti al-Azhar, Mesir pada tahun 2001, sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Master dan PhD dalam bidang Tafsir juga di Universiti Islam Antarabangsa (UiA) Malaysia. Beliau sebelum ini pernah menuntu di Darul Mustafa, Hadhramaut, Yaman di bawah bimbingan para ulama terkenal seperti Habib Umar bin Hafidz serta para hafidz yang lain.

Habib Ali juga merupakan tenaga pengajar di masjid-masjid sekitar ibu kota Kuala Lumpur, sperti Masjid Baitul Aman dan Masjid Bukhary. Beliau adalah seorang pendakwah ilallah, berkarisma tika menyampaikan ceramah dan jua pengajian. Beliau kini tinggal di Kuala Lumpur bersama isteri dan 2 orang anak.

DID yang bertempat di Dublin Mosque, South Circular Road di adakan sebanyak 2 sesi setiap hari iaitu sesi pagi dan petang. Sesi pagi bermula sekitar jam 11am dan berakhir pada jam 1.15pm, sementara sesi petang bermula sekitar jam 7pm hingga 9.15pm. Setiap sesi terdiri daripada 2 slot iaitu:

Sesi pagi : Tafsir Surah Al-Kahfi + Fiqh Ibadah
Sesi petang : Tafsir Surah Al-Kahfi + Hadith

Saya menyertai DID pada hari ke-6 ia berlangsung iaitu pada 5 Jun 2008 dan hanya berkesempatan duduk bertalaqqi dengan Habib Ali di Dublin Mosque itu sebanyak 5 hari sahaja. Jadi entry saya berkisar DID 08 akan terbahagi kepada 10 bahagian iaitu 2 bahagian untuk setiap hari saya bertalaqqi (kerana terdapat 2 slot setiap hari). Terdapat 2 sesi tazkirah bersama Habib Ali, satunya di rumah Abang Zul di Limerick dan lagi satu di Lucon iaitu rumah Dr Ismail yang juga akan saya selitkan sedikit pengisiannya dalam Part ke-6 nanti, inshaAllah.

----------------------------------------------------------------------------------------
Terdapat 3 jenis sabar iaitu:

1. Sabar dalam ketaatan- Sabar dalam melaksanakan ibadat, contohnya sabar ketika perlu bangun di awal pagi untuk menunaikan solat subuh.

2. Sabar dalam maksiat - menahan diri daripada melakukan perkara-perkara maksiat

3. Sabar dalam musibah - sabar dengan ujian yang menimpa dan membaca doa ini:

"Innalillahi wa inna ilaihi roji'un. Allahumma ajurni fi musiibati wakh-lufli khairan minha"

Maksudnya: Sesungguhnya dari Allah dan kepada-Nya kami kembali.Ya Allah berilah aku pahala dalam musibah ini dan gantikanlah untukku dengan yang lebih baik daripadanya).

(HR. Muslim 2/632)

Perlulah diingat bahawa musibah itu ada hikmah yang terlindung disebaliknya. Antaranya ialah:

+ Menghapuskan dosa
+ Mengangkat darjat
+ Untuk menolak musibah yang lebih besar
+ Tanda kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya.

Habib juga mengatakan, di saat kali pertama kita ditimpa musibah, maka saat itulah waktu terbaik untuk bersabar. Allah menyukai hamba-hambaNya yang berdoa dengan mengulang-ulang doanya berkali-kali, dengan menampakkan sepenuh pengharapan daripada Allah agar dimakbulkan doa tersebut. Rasulullah juga mengulang-ulang doanya apabila berdoa kepada Allah, menunjukkan sifat mengharapnya kepada Allah walaupun doa Baginda tidak ada apa-apa penghalang daripada dimakbulkan oleh Allah.

Terdapat perbezaan antara permintaan manusia sesama manusia dan permintaan manusia dengan Allah. Manusia yang seringkali kali meminta-minta daripada manusia lain akan dipandang jelek, timbul rasa kurang selesa (bahasa lain: menyampah) dan setelah diminta berkali-kali akhirnya memberi, tapi mungkin ada rasa tidak ikhlas dalam memberi lantaran sudah timbul rasa jengkel di dalam hatinya. Tapi manusia yang meminta-minta dengan Allah berkali-kali adalah lebih disukai Allah, betapa menunjukkan manusia itu lemah dan memerlukan Allah sebagai Penolong serta mengharap belas kasih-Nya. Allah, apabila mengabulkan permintaan hamba-Nya yang telah berdoa berkali-kali, memberi dengan penuh sifat Pemurah dan Penyayang-Nya.

Ada 3 bentuk pengabulan doa oleh Allah, iaitu:

1. Apabila kita berdoa, Allah tunaikan di dunia. Bezanya, cepat atau lambat sahaja.

2. Kita memohon tentang sesuatu untuk kehidupan dunia, tapi Allah kabulkan di akhirat kelak. (Sesuatu di akhirat adalah berkali-kali ganda lebih baik daripada nilainya di dunia.)

3. Allah tak tunaikan permintaan kita tetapi Allah gantikannya dengan menolak sesuatu musibah yang akan menimpa kita.

Habib juga berpesan agar sentiasalah mengingati Allah sebanyak-banyaknya. Antara cara untuk mengingati Allah selain daripada berzikir ialah:

~ Dengan menyempurnakan adab-adab dan rukun-rukun di dalam solat.
~ Mengejutkan ahli-ahli keluarga untuk bersolat malam.

Iman yang disertakan dengan amal akan diberi ganjaran syurga oleh Allah seperti yang dijelaskan ciri-cirinya dalam Al-Quran. Bergaul dengan orang-orang soleh juga dapat membantu kita mencapai mardhatillah dan meningkatkan ilmu serta amal untuk bekalan Akhirat kelak.

Rumus pergaulan:

Tidak soleh + Soleh = Soleh
Soleh + Tidak soleh = Tidak soleh

bersambung...

Thursday, 12 June 2008

Selamat Tinggal Ireland

Jam 03.36am

Saya menghitung waktu...dan saat. Saat akan meninggalkan rumah tempat saya menumpang ini selama di Dublin, Ireland untuk menuju ke Lapangan Terbang Dublin dan berlepas pulang semula ke Manchester, UK pada jam 06.30 am nanti. Perjalanan yang dianggarkan akan mengambil masa yang singkat sahaja dari rumah ini ke Lapangan Terbang Dublin itu membuatkan kami - saya dan 2 lagi rakan dari Dublin yang mahu pulang ke Malaysia pada waktu yang berbeza 1 jam sahaja dari waktu penerbangan saya- mengambil keputusan untuk bergerak dari rumah pada jam 05.00am. Terasa juga cuaknya, memandangkan waktu yang pendek sahaja untuk saya sempurnakan check-in dan segala-galanya sebelum menaiki pesawat. Hmm, harapnya sempat dan perjalanan menuju ke lapangan terbang juga lancar hendaknya nanti..

7 hari yang mencoretkan banyak kenangan sepanjang mengikuti program Deen Intensive Dublin (DID 08) di sini. Mula berpijak di bumi Dublin untuk kali yang ke-3 pada 4 Jun yang lalu, alhamdulillah, dengan niat untuk belajar ilmu Allah, maka Dia telah pun mempermudahkan semuanya...syukur pada-Mu Ya Rabb.

Kali pertama saya datang ke Ireland adalah untuk menziarahi seorang teman di sini selama 3 hari pada bulan Jun 2006, kali ke-dua datang untuk program Perhimpunan Ukhwah Insaniah Seluruh Ireland 07 (PUISI 07) pada bulan Disember 2007 yang lalu, dan ini kali ke-tiga, untuk menghadiri program DID 08. Program anjuran Persatuan Pelajar Islam Malaysia Ireland (PPIMI) yang diadakan setiap tahun pada musim cuti panas ini adalah untuk membawakan konsep berguru secara talaqqi (duduk bersama-sama guru) dalam mempelajari ilmu-ilmu fardhu ain mahupun fardhu kifayah dikalangan pelajar-pelajar Islam Malaysia di bumi Ireland ini, bukan setakat mempelajarinya melalui buku atau rujukan di Internet semata-mata. Bidang ilmu yang diajar ialah tafsir ayat-ayat Al-Quran, hadith serta amalan-amalan sunnah Rasulullah S.A.W, ilmu tentang fiqh dan juga adab-adab dalam Islam.

Banyak sungguh input yang ingin saya kongsikan bersama di sini. InshaAllah, akan saya titipkan isi-isi yang sempat saya catit bersama sedikit huraian dan kisah-kisah teladan (inshaAllah) untuk manfa'at bersama. Andai diberi kesempatan oleh Allah sekembalinya saya di tempat bermukimnya saya nanti, moga Allah lapangkan hati saya dan permudahkan juga untuk saya berkongsinya di sini.

"Hati itu, lembapkanlah dengan mendengar peringatan-peringatan dan ayat-ayatNya.

Sungguh, dalam peringatan-peringatan itu, terdapat ketukan yang mampu menggerakkan anggota tubuh badan untuk melakukan kebaikan apabila hati telah menerima siraman cahaya Ilahi dan menguntum mekar untuk mengeluarkan harumannya."

p/s: Saya terasa susunan perkataan bagi membentuk ayat-ayat saya agak sukar kali ini, sepertinya sudah terpengaruh dengan gaya bahasa Indonesia. Al maklum, tok guru di program ini asalnya dari Indonesia dong.. huhu..

bersambung.......

Monday, 5 May 2008

Ape Ertinya Moden Kalau Ramai Bayi Terbuang di Tong Sampah

Terjumpa artikel ini dalam senarai draft dalam blog saya. Oh, rupanya saya terlupa nak baca dan post kan di blog saya untuk dikongsi bersama. Amaran awal: Artikel ni sangatlaaaah panjang. Tapi isinya sangatlaaaaah penting dan bermanfa'at untuk rohani. Sungguh, hidayah itu milik Allah. Lambat tak ape, asalkan dapat dan sampai. Teruskan membaca artikel dibawah ini.

Written by Siti Mashitah
Sunday, 03 February 2008

APABILA disebut nama Azmil Mustapha , majoriti generasi muda tidak akan dapat mengecam siapa orangnya. Tetapi sebut saja Ali Setan , 'berkat' daripada siaran ulangan filem tersebut di kaca televisyen , semua orang tidak kira yang kecil atau dewasa dari kalangan peminat filem Melayu pasti mengenal pelakon tersohor Malaysia dekad 80-an ini. Azmil, 55 (umur yang dikira beliau mengikut takwim hijri 22 Safar 1375H) adalah antara sebilangan artis di Malaysia yang melakukan 'penghijrahan' daripada kehidupan yang penuh 'lagha' kepada pengabdian diri kepada Allah. Penampilan terakhirnya adalah sebagai Pengiran Demak dalam filem 'Puteri Gunung Ledang'; watak yang diilakonkan setelah syarat-syaratnya yang ketat diterima penerbit. Duda (mempunyai seorang anak dengan bekas isteri pertama dan empat dengan isteri kedua) dari Shah Alam, Selangor ini telah musafir ke Syria sejak setahun lalu untuk mempelajari bahasa Arab dan ilmu agama. Wartawan Global Media Channel (GMC) berkesempatan menemuramah Azmil di Kota Bharu (beliau kembali ke Malaysia sempena cuti semester pengajiannya) yang hadir memenuhi undangan untuk menyampaikan ceramah kesedaran Islam anjuran PAS Kawasan Ketereh baru-baru ini.

Kenapa saudara memilih untuk ke Syria ?

Saya buat solat hajat, minta dengan Allah, saya nak cari tempat belajar, Allah berikan petunjuk belajar di Syria . Dengan duit yang saya dapat dari menyampaikan ceramah-ceramah kesedaran Islam sebelum itu di Malaysia , saya terbang ke Syria dengan anak-anak saya. Saya belajar Bahasa Arab di Maahad Taalim Lughatal Arabiah Lil Ajnabi (Institut Pengajian Bahasa Arab Bagi Orang Asing).Kalau saya terus masuk kelas (pengajian agama) anjuran syeikh-syeikh pun saya tak reti Bahasa Arab. Jadi saya belajar Bahasa Arab dahulu. Sementara itu saya belajar Al-Quran, tajwid dan tasmi' dengan syeikh-syeikh. Saya juga belajar dengan pelajar-pelajar Malaysia yang ada di Syria .

Sejak bila sebenarnya saudara ke sana ?

Sudah setahun. Saya pergi redah sahaja. Tak ada buat rancangan. Dengan empat orang anak saya turut bersama (tiga perempuan dan seorang lelaki). Yang sulung kemudiannya balik untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini. Jadi kekallah tiga orang yang tinggal bersama saya di sana .

Anak saya Noramalia Batrisya ,15, dan Mohd. Bazli Shafri, 13, belajar di Jami' Abu Nur, sebuah kolej Islam antara yang termasyhur di Syria . Yang kecil baru masuk umur tujuh tahun dan belajar di darjah satu. Enam bulan pertama mereka dimasukkan dalam kelas bahasa Arab. Tidak ada masalah untuk mereka mengikuti pengajian dan sekarang sudah fasih berbahasa Arab. Saya amat puas hati dengan perkembangan mereka.

Puas hati macam mana?

Dengan perubahan perwatakan. Di Malaysia, dekat Shah Alam tempat kami tinggal dahulu banyak pengaruh yang tidak sihat. Cara hidup moden . Tapi di sana mereka mengaji Quran tiap-tiap hari, solat tidak tinggal dan pergaulan dijaga. Malah mereka sempat menasihati kakak yang pulang ke Malaysia 'jangan tengok lelaki' bukan berkawan, tengok pun mereka tak bagi. Di sana pergaulan antara lelaki dan perempuan amat dibatasi. Kita payah nak lihat pergaulan secara bebas berlaku . Duduk satu meja pun tak ada. Kalau di Yaman, negeri yang berjiran dengan Syria , dalam bas kalau hanya ada seorang wanita yang menjadi penumpang , yang lelaki tidak akan naik dan sanggup tunggu bas yang lain datang untuk dinaiki. Bimbang timbul fitnah walaupun hanya sebagai penumpang. Masing-masing sangat prihatin untuk menjaga perkara ini.

Antara perubahan yang ketara saya dapat lihat adalah pada anak perempuan saya, Noramaliya. Dia sebenarnya pelajar yang lemah. Semasa bersekolah di Malaysia , biasanya dia mendapat kedudukan 35 ke bawah. Dulu tinggal di Shah Alam, dia selalu ponteng sekolah. Tengok wayang di KLCC. Pergi ke sekolah tapi dalam beg ada pakaian lain untuk ditukar. Itu dah memang menjadi tabiat pelajar sekolah di Malaysia. Sampai di Syria, dia jadi pelajar yang terbaik. Padahal dalam kelas ada pelajar-pelajar luar negara yang lain seperti dari England , Afrika Selatan , Kazakhstan , China dan lain-lain. Dia yang muncul pelajar terbaik.

Bagaimana saudara menyara kehidupan di Syria ?

Tidak ada pendapatan tetap tapi saya sangat bernasib baik kerana mendapat bantuan. Saya diberi tempat tinggal percuma oleh seorang Syeikh di sebuah apartmen di pinggir Damsyik. Saya akui duit pun tak banyak tapi diam tak diam sudah sampai setahun saya di sana dan tidak timbul sebarang masalah besar.

Kita kena yakin rezeki itu datang daripada Allah. Ada saja duit yang masuk. Sentiasa ada bantuan diterima kerana saya dan anak-anak dikira orang yang sedang menuntut ilmu. Malah ia sampai ke tahap saya kadang kala terpaksa buang makanan yang diberi oleh jiran kerana terlampau banyak.

Dan di sana kita yang pergi belajar dengan Syeikh ini bukan kita yang membayar Syeikh tapi mereka pula yang memberi duit pada kita. Perkara ini sudah jadi kebiasaan orang Syria . Jika tidak pun, dia akan beri kita roti setiap kali pergi belajar. Pergi solat Jumaat pun dapat duit. Budaya memberi amat dititikberatkan. Paling kurang, yang dewasa akan menyediakan gula-gula dalam poket untuk diberi kepada kanak-kanak.

Saya juga terkejut kerana kadang-kadang menerima sumbangan yang nilainya mencecah RM1000. Kalau yang kaya lebih lagilah mereka sumbangkan. Anak kepada Syeikh yang menyediakan rumah percuma untuk saya pernah menyumbang jutaan ringgit kepada fakir miskin dalam bulan Ramadhan.

Kenapa saudara fikir perubahan-perubahan positif sama ada kepada anak atau saudara sendiri boleh berlaku? Adakah perbezaan antara Syria dan Malaysia ini begitu ketara sekali sedangkan kedua-duanya adalah bumi orang Islam?

Bumi Syria ini ada kelebihan. Saya daripada kecil sampai besar memang belajar di sekolah yang tidak berasaskan kepada Islam. Saya menuntut di dua buah sekolah mubaligh Kristian iaitu La Salle Institution dan St John Institution. Dari situ saya menyambung pula pelajaran ke Indiana University di Amerika. Daripada kecil sehingga dewasa, saya tidak pernah belajar dan khatam al-Quran.

(Di Amerika , Azmil belajar dengan pengkhususan dalam penerbitan televisyen, radio dan filem. Beliau hanya tinggal tiga lagi jam kredit untuk dihabiskan sebelum dihantar pulang ke Malaysia oleh Jabatan Imigresen Amerika. Tindakan itu diambil ketika Amerika membuat penapisan orang-orang Islam dari negara luar berikutan kemenangan kumpulan Islam (Syiah) menjatuhkan kerajaan beraja Shah Mohammad Reza Pahlavi. Azmil dikesan bekerja sambilan walaupun syarat hanya membenarkan pelajar luar yang mempunyai 12 kredit atau lebih sahaja untuk berbuat demikian. Ayahnya Dato' Mustapha Kamil Yassin, bekas pensyarah di Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia tidak mahu Azmil mengambil biasiswa kerana kedudukannya sebagai kakitangan kerajaan gred A)

Mula-mula saya berubah dulu nak baca surah al- Fatihah pun tak boleh. Kena baca mengikut tulisan rumi. Nak sembahyang semua ayat kena ditulis ke huruf rumi. Tak pernah dapat hafal. Sehinggalah apabila saya ke Syria . Di sana , anak-anak saya belajar Al-Quran dengan seorang syeikhah (ustazah) di rumahnya. Selepas sebulan syeikhah tersebut datang melawat ke rumah. Dia mahu melihat keadaan keluarga macam mana. Bila datang dia meminta saya mengajar anak-anak. Dia suruh saya baca satu surah. Bila 'check' ayah baca pun tak betul, dia pun minta anak muridnya yang lain tolong ajarkan anak-anak saya.

Tapi alhamdulillah berkat mengaji tiap-tiap pagi, kini saya sudah boleh menghafal satu, dua muka surat dengan senang. Ini memang saya pelik. Saya rasa ini memang kesan tinggal di bumi Syam ( Syria ), bumi para anbiya'. Dahulu negara ini tertutup. Sebab ia mengikut pengaruh Rusia. Jadi negara lain menyisihkannya. Apabila Syria disisihkan, ia sebenarnya terselamat. Macam di Malaysia, apabila dibuat dasar terbuka, semua pengaruh dapat masuk, ia merosakkan kita.

Budak-budak sekarang budaya sendiri pun tak kenal . Dan dia tak mahu ikut. Dia lebih seronok ikut budaya asing, budaya Barat. Budaya ini di Melayukan dengan bahasa. Tapi isinya tetap dari pengaruh yang menyimpang dari ajaran Islam.

Adakah kerana saudara bimbangkan keadaan begini sehingga sanggup membawa anak-anak jauh dari Malaysia ?

Sebab benda inilah saya bawa anak-anak keluar. Bila saya bawa anak-anak keluar, ada kawan-kawan yang tegur saya ' Jadi anak kamu ini tidak ada SPM. Macam man nak cari kerja?' Saya jawab balik, 'Rezeki itu kerana Allah bukan kerana SPM'. Orang ada SPM pun berlambak tak ada kerja. Ada ijazah UM pun tak ada kerja. Ada Master USM pun tak kerja. Kita kena ingat rezeki itu dari Allah. Sekarang anak-anak saya sudah hafal Juzuk Amma. Saya percaya dalam tiga empat tahun lagi, Insya Allah satu Quran tu dpat habis dihafal. Itu lebih berharga. Kalau dia jadi arkitek atau jurutera tapi Quran pun tak tahu buat apa. Macam saya dulu jadi pengarah filem tapi Quran pun tak tahu, buat apa?

Memberi pendidikan Islam pada anak-anak sehingga sampai berhijrah ke Syria . Orang lain mungkin tak berpeluang berbuat demikian macam saudara.

Saya rasa kalau kita ajar anak kita cara Islam tak ada kekurangannya bagi saya. Malahan Allah mungkin akan mecurahkan kemudahan kepadanya.
Sekarang kita kongsi raya, kita kongsi hukum, kongsi taraf atau standard Islam dengan yang lain. Kita membandingkan ajaran Islam dengan yang Barat. Kalau tak seperti Barat, kita anggap standard kurang. Kita campur aduk hukum Allah dengan hukum kafir. Inilah yang saya nampak masalah kita pada hari ini.

Ini pun nak berlaku di Syria pada hari ini. Kalau di negara kita lama dah dijajah 500 tahun dahulu dan kita masih 'terjajah'. Syria ini dia baru terbuka tak sampai 10 tahun. Jadi generasi dia sekarang dia baru rosak. Kalau kita di Malaysia , kerosakan bermula sejak dari generasi bapa kita dahulu. Mareka agungkan England dan Amerika. Tetapi bagi saya , kalau orang Syria nak ikut barat pun, agaknya kena juga dengan fizikal mereka itu. Tapi kita Melayu pun nak mata warna biru, rambut warna perang. Tak kenalah. Nampak janggal sangat kalau yang Melayu nak tiru.

Bagaimana kita hendak menghadapi perubahan budaya sebegitu ?

Di Syria, guru-guru yang pegangannya kuat masih bertahan. Kita di Malaysia, lebih banyak yang kebaratan daripada Islam. Kita di sini mereka yang nak kepada Islam sedikit, yang nak kepada barat banyak. Dari sekolah itu yang diajar. Supaya kita bersedia dengan pengaruh dan sistem barat. Sekolah-sekolah kita, tamat persekolahan kita berpeluang belajar sampai ke universiti di Amerika, di England. Tetapi kalau kita keluar dari pondok atau sekolah agama, peluang sambung belajar itu tidak seberapa. Apa yang kita lakukan adalah untuk menyesuaikan diri kepada budaya barat. Dan ini kita tak sedar. Kita seolah-olah nak menyediakan diri masuk ke institusi dan sistem yang kerap kalinya meruntuhkan jati diri Islam.

Dan yang peliknya, orang tidak bimbang kalau yang keluar tingkatan enam sekolah biasa tak boleh baca Alif Ba Ta. Nak masuk sekolah tahfiz pun payah sebab tak kenal huruf walaupun tamat tingkatan enam. Benda ni dah berlaku sejak zaman dulu lagi dan kita tidak sedar. Saya cakap kepada seorang sahabat di Syria kenapa kamu ghairah nak buka peluang kepada barat. Saya dah tengok keadaan di negara saya apa yang berlaku. Dia kata mereka pun nak moden. Moden apa? Moden nak tengok anak-anak terbuang di tong sampah. Moden nak tengok anak-anak mati sia-sia kerana terlibat denbgan lumba haram. Itu moden buat
apa. Pembangunan sedemikian yang membangun hanya bangunan dan jalan raya. Akhlak runtuh. Akhlak diruntuhkan kerana nak mencantikkan bangunan dan jalan. Sebab itu fikirlah, kerana tak ke mana kita dengan pembangunan sebegitu.

Kenapa remaja dan kita sendiri sebenarnya cenderung untuk meminati budaya hiburan?

Sebab memang sudah disediakan sejak daripada dulu. Pendidikan dan cara hidup disediakan untuk membolehkan anak-anak bersedia menerima sistem yang menyimpang dari bukan untuk menjadi hafiz atau ulama'. Penyediaan dilakukan untuk membawa masyarakat ke arah keseronokan.

Kalau kita tengok babak dalam filem Melayu, babak minum arak , berdansa, sejak dari zaman P Ramlee sudah ada. Sejak sekolah lagi , anak-anak dibiasakan dengan budaya Barat. Ada sukan gimnastik sampai terkangkang anak-anak diajar guru; sukan renang, jadi separuh bogel. Kita disediakan untuk menerima budaya barat. Mana kita amalkan hukum syariah ? Itu masalah kita.

Pada pandangan saudara, masalah keruntuhan akhlak ini bagaimana nak diselesaikan?

Sekarang kita taat pada hukum yang tidak berpaksikan Islam. Undang-undang yang dimulakan oleh British dahulu. Cuba kita gunakan hukum syariah, saya percaya gejala sosial yang teruk dalam negara dapat dikurangkan sebab kita menyediakan masyarakat untuk ke akhirat. Sekarang kalau membabitkan hukum Allah, ia dikira hak persendirian. Anda hendak buat atau tidak, itu pilihan anda sendiri.Tapi mereka (kerajaan) tak galakkan pun. Itulah masalah sekarang.

Bagaimana kita nak menyedarkan masyarakat?

Islam ini mesti dijalankan bermasyarakat. Tapi tanggungjawab itu tetap pada diri sendiri. Kita sendiri mesti mulakan dahulu . Contohnya kita dilatih berpuasa sama ada di dalam atau dil luar rumah. Walau di mana pun kita tahu Allah melihat.

Sebab itu kita kena buat pilihan. Dua sahaja pilihan kita. Sama ada ikut jalan Allah atau ikut syaitan.Tidak ada jalan tengah. Tidak ada kompromi. Setiap benda yang berlaku dalam masyarakat dunia hari ini kita kena buat pilihan antara yang benar dengan yang tidak. Gunakan akal.

Islam ini agama untuk yang tahu berfikir. Bukan taat buta tuli. Kalau kita gunakan akal fikiran baru kita sedar. Kita kena fikir tentang keesaan Allah. Ini yang kita kena ajar anak-anak. Sekarang apa yang diajar kena cari duit banyak-banyak. Bila ikut cara Islam barulah ada keberkatan.

Berbalik kepada dunia hiburan, adakah tidak ada ruang sebenarnya untuk ia menjadi lebih baik?

Boleh kalau industri kita industri yang beriman. Tapi industri kita meniru Bollywood, Hollywood, Hong Kong dan lain-lain. Kita menuju ke arah keruntuhan. Ini yang bahayanya.

Nasihat kepada rakan artis

Pendek sahaja ; Allah melihat apa yang kamu buat.