Wednesday 26 March 2008

Kembali ~

Lama betul menyepi. Masa...dan kelapangan...semuanya berlumba-lumba bersama kesibukan.

Cuti Easter hampir 2 minggu berlalu. Minggu pertama sangat padat dengan aktiviti. Minggu ke-2 ni nampaknya lagi santai. Masuk minggu ke-3 akan kembali sibuk dengan projek, ulangkaji dan sebagainya. Oh, sibuk untuk Manchester Malaysian Night 08 juga.

ReAwakening@Sheffield

Saya berada di Sheffield hujung minggu lepas, berprogram selama 3 hari 2 malam di Muslim Welfare House Sheffield. Rahmat salji melimpahi kami di sana. Kawan-kawan daripada Ireland sangatlah gembira bermain salji, kerana di tempat mereka tiada salji. Unik. Aturan Allah begitu adanya. Walaupun Ireland berdekatan sahaja dengan UK, tapi tempias salji tidak dirasai oleh bumi hijau Ireland. Kanak-kanak dari Manchester ni pun tidak kurang gumbira sebenarnya. Sama-sama riang melihat salji turun di balik tingkap, melebar senyumnya apabila melihat atap-atap bumbung dan pokok-pokok kelihatan memutih. Rindu amat pemandangan sebegini. Jarang melihatnya di Manchester. Kali pertama dan terakhir melihatnya ialah pada bulan Mac 2006 kalau tidak silap saya. Saya kira salji telah merajuk dengan Manchester.

Suka melihat keadaan memutih begini....


Program ReAwakening yang saya hadiri di Sheffield itu bermula hari Jumaat, 21 Mac hingga Ahad, 23 Mac. Program yang dianjurkan oleh satu kumpulan bekas pelajar Kolej MARA Banting (produk keluaran 2006) dan menamakan kumpulan mereka sebagai Malaysian Scholars Foundation ini membawa tema MEMBACA sebagai satu cara mencapai tahap intelektual yang memberangsangkan di kalangan mahasiswa. Dengar seperti konsep budak-budak, "Membaca jambatan ilmu", "Bulan Membaca","Membaca menambah pengetahuan", dan pelbagai lagi tema yang diadakan untuk menggalakkan sifat membaca ini, tapi sejauh mana ia dapat dicambahkan dalam masyarakat serta sejauh mana keberkesanan atau praktikalnya sikap ini ke atas pembinaan KETAMADUNAN manusia?

Poster: ReAwakening

Ayat pertama yang diturunkan oleh Allah SWT melalui Jibril AS kepada Nabi Muhammad SAW ialah "Iqra'" yang bermaksud "Bacalah". Kalau dilihat dari aspek yang lebih luas, ia bukan setakat suruhan Jibril kepada Rasulullah untuk Baginda membaca, tetapi ia lebih daripada itu. Melalui pembacaan, ia memecahkan kebodohan dan kejahilan. Daripada tidak tahu, kepada TAHU. Nabi kita yang tidak tahu membaca, ditakdirkan Allah boleh membaca ayat-ayatNya, lalu dengan mu'jizat itu, Baginda tahu apa yang Allah cuba sampaikan kepada Baginda, melalui ayat-ayatNya yang diturunkan secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun.

Terdapat slot-slot kupasan buku sepanjang berlangsungnya program ini. Kupasan buku pertama bertajuk "Speeches that changed the world" .

Buku 1

Buku ini dikupas oleh saudara Syamil. Buku itu tebal. Berkulit keras. Harga yang terpampang di kulit depan buku itu ialah £12.50. Kisah-kisah di dalamnya juga menarik untuk orang-orang yang meminati tokoh-tokoh seperti Mahatma Ghandi, John F.Kennedy, Bush, Lenin, Hitler dan lain-lain; manusia-manusia yang mencipta sejarah dan membawa perubahan kepada dunia. Untuk orang seperti saya yang tidak meminati sejarah, ia adalah suatu bentuk paksaan dalaman jika ingin membaca buku seperti ini. huhu...berjayakah?

Kupasan buku kedua dibawakan oleh saudara Shamsir. Ia sebenarnya adalah bahan bacaan berupa pamplet yang bertajuk, " Duties of The Muslim Youth " oleh Syakh Yusof Al-Qardhawi.


Pamplet ini mengupas tentang 4 perkara yang akan disoal di akhirat kelak:

1. Tentang Umurmu: Bagaimanakah engkau menghabiskannya?

2. Tentang Masa Mudamu: Bagaimanakah engkau memanfaatkannya?

3. Tentang Hartamu: Bagaimanakah engkau mendapatkan dan membelanjakannya?

4. Tentang Ilmumu: Bagaimanakah engkau menggunakannya?

Penekanan diberikan kepada perkara 1 dan 2, iaitu berkisar tentang MASA. Masa lapang yang perlu dimanfaatkan sebaiknya. Dengan membaca mungkin...? Untuk kupasan lebih menarik yang dikarang oleh saudara Shamshir, boleh lawati laman ini: Malaysian Scholars Foundation/Duties of The Muslim Youth.

Kupasan buku ketiga, iaitu bertajuk "Surat-surat Perempuan Johor" karangan Faisal Tehrani dibawakan oleh Adibah Abdullah. Karya berunsur sastera yang berkisar tentang kehidupan masyarakat istana pada zaman pemerintahan Sultan Johor yang cuba menghalang kemasukan pengaruh British ke atas pemerintahan kesultanan Melayu Johor. Memetik sedikit petikan daripada Berita Harian 12 Januari 2006:

"Faisal secara sedar mempelbagai dan membaurkan wanita Melayu ke dalam dunia akademik, perdagangan, keagamaan, falsafah kehidupan serta kebenaran tanpa menyisihkan kesederhanaan dan kelembutan wanita Melayu."

....."
Watak wanita ditonjolkan sebagai berani memperjuangkan agama, nasib diri, masyarakat dan negara sehingga Teori Feminisme yang diuar-uarkan orang Barat, jelas tidak dapat dipertahankan dalam menilai dan meneliti SSPJ. Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kassim Thukiman, mengkategorikan SSPJ sebagai karya yang sarat dengan fakta sejarah, kronologi sejarah dan falsafah sejarah. “SSPJ mencetuskan dimensi kreatif lagi kritis dalam mendorong khalayak menelaah sejarah dan pensejarahan selain pengarang nyata berupaya menggali sejarah negeri Johor serta memerikan hubungan Johor dengan dunia luar khususnya Eropah mahupun Turki,” katanya."

Pautan keratan penuh akhbar tersebut boleh dilihat di sini.

Perbincangan juga dilanjutkan berkenaan kesan-kesan negatif yang dibawa oleh British ke atas ketamadunan Melayu yang semakin menular hingga ke zaman ini. Pengaruh hedonisme barat yang merebak ke dalam masyarakat kita jelas meninggalkan kesan yang ibarat barah yang merebak. Kata Adibah, dahulu, seni sastera diselitkan dalam penyampaian ilmu-ilmu, tetapi kini, TV, Internet, media dan radio mengambil alih tugas sebagai medium penyampaian ilmu, tetapi hilang nilai kesusasteraan. Begitu lah bila orang sastera berbicara... =)

Tetamu/penceramah jemputan program ReAwakening ini ialah Ustaz Hasri, Brother Uthman Lateef, Sidi Afifi (Sidi ialah satu panggilan hormat) dan saudara Wan Saiful Wan Jan (Malaysia Think Tank London). Berikut ialah sedikit sebanyak input yang sempat saya kutip sepanjang sesi ceramah:

Penceramah pertama: Ustaz Hasri

Ustaz Hasri menyampaikan ceramah tentang tajuk "Ilmu dan kebijaksanaan". Kami berbincang tentang kepentingan ilmu, batas-batas pemikiran dan eksplorasi manusia terhadap ilmu; blok-blok pemikiran dalam kelompok-kelompok manusia dan juga sifat EGO serta rasa 'UJUB dalam hati manusia yang menyangka dirinya hebat lantaran banyak membaca dan berpendidikan tinggi. Manusia sepatutnya mengikut resmi padi, makin berisi, makin tunduk. Dalam ruang ilmu yang tidak terbatas pada zaman ini, sangat banyak lambakan-lambakan infomasi yang kadang-kadang manusia sendiri sukar menentukan adakah sesuatu ilmu itu baik, bermanfa'at, atau pun tidak. Ustaz Hasri menegur kami, sewajarnya pada usia seperti kami, juga merupakan pelajar-pelajar luar negara, seharusnya sudah tahu membezakan yang mana yang baik dan yang buruk.

Persoalannya: Benarkah KITA sudah tahu membuat pembezaan itu?

Penceramah kedua : Br. Uthman Lateef

Br. Uthman Lateef mengupas tentang isu "Does knowledge guarantee cohesion and improvement?". Beliau menyatakan perbezaan antara 'Abid & 'Alim .'Alim lah yang lebih dikehendaki, iaitu orang yang berilmu dan dia beramal dengan ilmunya dibandingkan 'Abid yang banyak beribadah tetapi tidak berilmu. Pesan beliau:"Worship comes with knowledge."

Beliau juga menerangkan tentang istilah khusyu'. Bagi kebanyakan kita, jika ditanya apakah erti khusyu' , saya percaya kebanyakan daripada kita akan menjawab "Fokus, tumpuan, perhatian". Tapi, Br. Uthman Lateef membawa takrifan yang berbeza. Katanya, khusyu' ialah broken.

"Broken
yang macam mana?"

Broken
yang membuatkan kita terasa kita ni siapa lah depan Allah.. broken yang membuatkan diri kita rasa rendah diri dan sangat kerdil di hadapan Allah yang Maha Besar. Dengan itu, dengan sendirinya perasaan khusyu' tu akan datang; bukan dibuat-buat atau dipaksa untuk memberikan tumpuan dengan tidak berasaskan kepada apa-apa.

Br. Uthman Lateef juga membincangkan 3 peringkat jalan menelusuri ilmu iaitu:

1) Arrogance - Bangga. Angkuh. Orang yang berada pada tahap rendah, akan berasa bangga dengan ilmunya bila dia berilmu.

2) Humility - Rendah diri. Bila ilmunya makin bertambah, dia makin berasa rendah diri dengan ilmu Allah yang dia miliki.

3) Ignorance - Rasa jahil. Orang yang berada pada tahap ini ialah orang yang betul-betul berilmu (Ulamak) dan berasa jahil kerana sedar bahawa terlalu luas ilmu Allah yang mana mustahil dia dapat menguasai keseluruhannya. Semakin dia tahu tentang sesuatu, semakin dia rasa banyak yang dia tak tahu lalu merasakan ilmunya yang ada sangat kerdil dan sedikit jika dibandingkan dengan ilmu Allah yang sangat luas.

Penceramah ke-3 : Sidi Afifi

Sidi Afifi atau nama sebenarnya Muhammad Afifi al-Akiti pula membincangkan tentang tajuk "Approaching Knowledge". Beliau sungguh mengagumkan kami. Walaupun telah selesai PhD nya dan layak digelar Profesor, namun beliau sangat humble. Pemakaiannya mencerminkan beliau seorang yang bukan belajar untuk pangkat dunia semata-mata; sangat sederhana dan zuhud, seperti seorang imam lagaknya. Nyata kesan pentarbiyahan di sekolah pondok semasa waktu remajanya berjaya melahirkan insan yang zuhud dan tawaddhu', walaupun melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah hinggalah peringkat falsafah kedoktoran di univeristi luar negara.

Sidi Afifi berkongsi 6 ciri-ciri yang patut ada pada seorang pelajar yang diwariskan daripada Imam al-Juwaini, iaitu guru kepada Imam al-Ghazali. 6 ciri-ciri itu ialah:

1. Zakaa' : Kepintaran, kecerdikan.

2. Hirsun : Semangat dan dorongan dari dalam diri sendiri untuk belajar. Jangan bersikap malas. Elakkan perkara-perkara yang mengganggu fikiran dan hidup yang boleh menghalang kemajuan diri kita.


3. Iftikaar : Kemiskinan. Kemiskinan di sini bukan lah bermaksud miskin harta, tetapi merasakan miskin akan ilmu, yang melahirkan satu keinginan dan keperluan kepada ilmu, lalu melahirkan satu iltizam untuk bersungguh-sungguh mencari dan mengutip mutiara-mutiara ilmu.

4. Ghurbah :Pedagang. Seorang pelajar perlu menganggap dirinya sebagai seorang pedagang, yang merantau untuk mencari ilmu. Sifat ini akan melahirkan 2 kekuatan iaitu:

*Bersikap terbuka, terdedah kepada pengalaman-pengalaman berada di dalam masyarakat luar, mengetahui budaya dan warna kehidupan masyarakat lain.

*Bersikap
independent dan juga mendapat pengetahuan yang lebih luas dan lengkap.

5.Talqeenul ustaz : Guru/pendidik yang baik, yang bertauliah dan layak mengajar.


6. Taoluz zamaan : Jangka panjang. Bahawasanya menuntut ilmu adalah sepanjang zaman, seperti kata pepatah:"Tuntutlah ilmu sejak dari dalam buaian hingga ke liang lahad."


Sedikit kata-kata Sidi Afifi untuk pedoman bersama:

"Ilmu berada di dalam hati, bukan di atas garisan-garisan buku."

Ayat-ayat di dalam buku hanyalah maklumat (infomation), tetapi yang berada di dalam hati itulah sebenarnya pengetahuan (knowledge).

Sidi Afifi juga menekankan konsep cerna ilmu. Kebolehan manusia dalam menghadam ilmu yang diperolehnya, bukan sekadar menghafal dan memuntahkan kembali apa yang dihafal. Jika makanan dihadam bermediumkan perut dan usus-usus, ilmu pula dihadam dengan hati dan akal.

Sangat banyak sebenarnya input-input Sidi Afifi yang saya ketinggalan dek rasa mengantuk yang amat sangat. Saya juga tidak sempat (lupa juga sebenarnya) untuk melihat nota rakan-rakan yang lain. Maaf atas kekerdilan diri.

Penceramah ke-4 : Saudara Wan Saiful Wan Jan

Tetamu/penceramah jemputan ke-4 ialah saudara Wan Saiful Wan Jan yang bercakap tentang "changing the world- where do we start?". Beliau merupakan Director General of Malaysia Think Tank London dan merupakan bekas Presiden kumpulan Hisbi di UK. Slot yang lebih berformatkan forum membuka ruang perbincangan antara kami dan juga beliau.

"How is reading can change the world?"

Beliau menegaskan, bukanlah tabiat membaca tu pada hakikatnya boleh merubah dunia, melainkan IDEA yang diperoleh daripada pembacaan itu lah yang boleh mengubah dunia. Walau sebanyak mana seseorang membaca, jika tiada pemahaman dan penerapan tentang apa yang dibaca, jika tiada anjakan paradigme melalui pembacaannya; semua itu adalah sia-sia. Maka benarlah pepatah, "Kualiti lebih penting daripada kuantiti."

Input ( Membaca)

Proses (Cernakan maklumat menjadi pengetahuan di hati & percambahan idea)

Output (Actions!)

Saudara Wan Saiful juga membicarakan tentang kebolehan kita mempengaruhi orang lain menerima pendapat/idea kita. Jika kita rasa idea kita adalah betul, maka tegakkan lah idea itu berdasarkan konsep kebenaran, bukan dengan keegoan untuk mengatakan kita betul.

Salah faham

"Kemungkinan berlakunya salahfaham dalam usaha memahami isi kandungan buku yang dibaca. Pembaca mungkin memahami isi kandungan buku tersebut pada sudut yang berbeza daripada apa yang cuba disampaikan oleh pengarangnya. Bagaimana pendapat saudara Wan Saiful tentang hal ini?"

Menurut saudara Wan Saiful, kita tidak seharusnya atau cuba memahami mesej yang terkandung di dalam bahan bacaan kita itu 100% seperti apa yang pengarang mahukan. Ia bergantung kepada kebolehan masing-masing untuk mencernakan apa yang dibacanya, mengikut tahap kefahaman individu itu sendiri.

"Bagaimana kita tahu sesuatu bahan bacaan itu baik atau tidak baik untuk dibaca?".

Menjawab soalan ini, Wan Saiful berkata, kita bertanggungjawab sepenuhnya untuk memilih sesuatu bahan bacaan untuk dibaca. Katanya lagi, "It's about reading. Just read first, then you decide which substance is good and bad to pick and to implement." Dasar keterbukaan adalah perlu apabila membaca mana-mana bahan ilmiah, dengan tidak cenderung kepada apa-apa bentuk pemikiran sehingga menolak terus idea yang cuba disampaikan dalam bahan bacaan tersebut seandainya idea tersebut bertentangan dengan pemikiran kita.

"Jadi, adakah boleh atau tidak untuk mempunyai preconceive idea (tanggapan awal) sebelum membaca sesuatu bahan ilmiah?".

Saudara Wan Saiful mengulas, tidak salah untuk mempunyai preconceive idea kerana ia menunjukkan pendirian dan pemahaman kita. Di sini lah pentingnya sifat neutal ketika membaca. Baca dulu, hadam dan kemudian barulah buat keputusan sama ada mahu terima atau tak.

"Apa pentingnya atau signifikannya buku jika dibandingkan dengan sumber-sumber ilmiah lain yang berlambak sekarang? Zaman sekarang kita ada Internet, TV dan radio sebagai sumber infomasi. Maka pentingkah lagi buku?".

Menjawab soalan itu, saudara Wan Saiful mengatakan bahawa, buku ialah satu bahan atau medium pemindahan ilmu. Di dalamnya terkandung ilmu-ilmu yang diabadikan dan terpelihara, yang boleh dijadikan sumber rujukan untuk generasi-generasi masa akan datang.

Beliau juga selalu mengungkapkan kata-kata" The whole life is a learning process" sebagai memberi penekanan tentang konsep belajar sepanjang hayat. Belajar untuk menambah ilmu melalui pembacaan dan juga aktiviti pembelajaran itu sendiri serta belajar daripada pengalaman hidup. Katanya, "Be a teacher is better than a politician."

Janganlah kita membaca untuk membolehkan kita berhujah dengan orang, tapi ikhlaskan lah niat untuk TAHU dan seterusnya untuk menyampaikan ilmu itu.

InshaAllah, di lain waktu akan mengarang lagi... Moga usaha yang sedikit ini dapat dimanfa'atkan bersama. Bukan banyak membaca itu yang penting, tapi pencernaan kepada apa yang dibaca itu adalah lebih bernilai.

Jadi, anda dah faham apa yang anda dah baca?