Wednesday 20 February 2008

Mari Belajar Adab - Mukaddimah

Alhamdulillah, dengan izin-Nya dan rezeki daripada-Nya, saya telah memiliki sebuah buku bertajuk “Adab-adab Islam Dalam Kehidupan Seharian”, Jilid Ke-2, karangan Mohamad Zulkifli Abdul Ghani dan diizin terbit oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) iaitu sebuah persatuan anak-anak Melayu Malaysia di Egypt. Buku ini dibeli ketika kunjungan saya bersama 2 orang sahabat ke Egypt selama 2 bulan, pada cuti musim panas yang lepas.


Saya rasa terpanggil untuk berkongsi input-input daripada pembacaan buku ini. Rasanya, eloklah saya menitipkan mukaddimah buku ini dahulu, sebagai pembuka lembaran , menyelami sebab untuk mempelajari adab-adab dalam agama kita.

InshaAllah, isi-isi kandungan entry ini dipetik secara terus daripada buku tersebut dengan izin daripada Presiden PMRAM,Ustaz Hairul Nizam Mat Hussein. Bukanlah untuk mendapatkan keuntungan apa-apa, melainkan untuk berkongsi dan menyampaikan ilmu-Nya, demi faedah bersama.

Walaupun saya cuba untuk mengekalkan kandungan isi kandungan buku ini yang ditulis oleh pengarangnya, namun sebagai manusia yang tidak lari daripada kekurangan dan kelemahan, mungkin akan terdapat sedikit keciciran perkataan dimana-mana walaupun semakan dilakukan. Juga, akan terdapat sedikit tambahan (huraian) sebagai menjelaskan maksud perkataan atau istilah, atau ayat yang saya rasa mungkin dapat saya kongsikan bersama pembaca semua untuk lebih memahami maksud yang cuba disampaikan.

Menjadi kekurangan saya juga dengan tidak menyertakan bersama teks Bahasa Arab bagi ayat-ayat Al-Quran, hadith-hadith dan petikan teks asal kitab-kitab yang dijadikan sumber rujukan. Walaubagaimanapun, maksud petikan-petikan tersebut tetap dipelihara dan disertakan bersama.

Sebagai membezakan teks saya dan teks asal pengarang, saya akan menggunakan teks Italic berwarna merah terhadap tambahan yang saya lakukan.

Wallahua’lam.

Mukaddimah

Islam merupakan agama yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepada umat manusia seluruhnya. Islam adalah agama yang mementingkan segala aspek dalam kehidupan manusia sama ada berkaitan dengan hubungan dengan Allah, hubungan antara sesama manusia dan hubungan dengan makhluk lain. Islam juga menetapkan garis panduan dan batasan yang perlu diikuti supaya segala perkara yang dilakukan bertepatan dengan ajaran Islam.

Semua perkara yang telah ditetapkan oleh Allah tehadap manusia bersesuaian dengan akal manusia yang sempurna. Akal manusia tidak akan mengatakan segala perintah Allah adalah tidak baik dan tidak elok, bahkan akal mengiktiraf segala perkara tersebut adalah perkara yang baik dan mendatangkan manfaat kepada manusia.

Islam merupakan agama fitrah. Manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah yang suci seta menerima segala perkara baik. Semua ketetapan yang telah digariskan oleh Islam bertepatan dengan fitrah manusia yang menginginkan kebaikan dan keamanan. Di sana terdapat anasir-anasir yang dapat mengubah kesucian fitrah tersebut. Antara anasir-anasir tersebut ialah suasana masyarakat, faktor kejahilan dan didikan keluarga. Perkara demikian dapat merubah fitrah manusia kepada pemahaman yang menyeleweng dan menganut agama lain yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Rasulullah SAW merupakan utusan Allah SWT kepada manusia untuk menjelaskan ajaran Islam yang sebenar. Baginda diutuskan untuk mengubah manusia daripada kejahilan dan kekufuran kepada ajaran Islam yang mulia dan untuk menyempurnakan akhlak manusia. Baginda SAW juga menjelaskan segala wahyu yang diterima daripada Allah SWT kepada umatnya samaada berkaitan akidah, syariah dan akhlak. Akhlak yang terpuji merupakan akhlak Rasulullah SAW dan Baginda merupakan ikutan yang baik kepada seluruh umat Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud:

(Teks Arab di sini)

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

(Surah Al-Ahzab:21)

(Teks Arab di sini)

Maksudnya: Rasulullah SAW bersabda :“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak (manusia).”

Islam adalah agama yang amat menitikberatkan soal adab-adab yang perlu diikuti bagi menjamin kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan akhirat. Terdapat begitu banyak adab-adab yang telah dijelaskan oleh Islam bagi menjamin kehidupan yang aman. Adab-adab Islam merangkumi segala aspek sama ada sekecil-kecil perkara hinggalah kepada sebesar-besar perkara.

Orang kafir akan memandang Islam adalah agama yang agung dan elok kerana penganutnya mengamalkan segala adab-adab yang telah dijelaskan oleh agama Islam. Umat Islam akan merasakan dirinya dihormati hasil daripada mereka mengamalkan segala adab-adab yang telah ditetapkan oleh agama Islam.

Para sahabat mengamalkan segala adab-adab yang telah diajarkan oleh Islam dalam kehidupan seharian mereka. Mereka sama sekali tidak memperlekehkan segala adab yang telah ditetapkan oleh Islam walaupun ianya perkara biasa. Para tabiin dan generasi seterusnya daripada salafussolih juga sentiasa mengamalkan segala adab-adab yang telah dijelaskan oleh Islam kepada mereka tanpa memperlekehkan atau meninggalkannya. Oleh yang demikian, mereka dipandang hebat dan mulia di mata pandangan musuh mereka. Orang bukan Islam akan menghormati mereka dan mendengar kata-kata mereka.

Amat malang kepada apa yang berlaku dewasa ini, kebanyakan umat Islam meninggalkan dan tidak mengambil berat tentang abad-adab Islam. Bahkan ada juga dikalangan mereka yang sengaja meninggalkan dalam keadaan mereka mengetahuinya. Yang paling menyedihkan, mereka melarang orang lain daripada melakukannya sedangkan mereka mengetahui kelebihan dan kebaikannya kepada manusia. Justeru, mereka dipandang hina dan tidak digeruni oleh musuh-musuh Islam. Akhirnya mereka dipermainkan dan diperkotak-katikkan oleh musuh Islam bagi mencapai apa yang mereka inginkan.

Islam amat menyeru umatnya supaya mengamalkan segala adab-adab yang telah dijelaskan oleh Islam. Adab-adab tersebut untuk memastikan kehidupan manusia dalam keadaan aman dan selamat. Semua adab-adab tersebut untuk mencantikkan segala amalan yang dilakukan oleh manusia. Amalan akan lebih bermakna sekiranya dihiasi dengan adab-adab yang elok. Keperibadian seseorang Muslim akan menyerlah dengan mengamalkan segala adab-adab tersebut.

(Teks Arab di sini)

Maksudnya: Imam Qurafi berkata dalam kitab al-Furuq: “Ketahuilah, sesungguhnya dengan mengamalkan sedikit adab-adab Islam lebih baik daripada memperbanyakkan amalan. Oleh yang demikian Ruim (orang Alim yang soleh) berkata kepada anaknya: Wahai anakku, jadikanlah amalan kamu sebagai garam dan adab kamu seperti gandum. Yang dimaksudkan dengan suruhan tersebut ialah hendaklah kamu memperbanyakkan adab-adab sehingga nisbah banyaknya adab-adab perlu dilakukan seumpama nisbah gandum kepada garam (dalam adunan tepung yang dicampur dengan air)*. Dan memperbanyakkan adab-adab bersama dengan amal soleh yang sedikit lebih baik daripada memperbanyakkan amalan soleh bersama adab-adab yang sedikit.

(Min Adabii Islam: Karangan Abdul Fatah Abu Ghudah)

*Tambahan daripada saya (nia qistina): Ibaratkan adunan tepung untuk dibuat kek. Kita akan memperbanyakkan tepung berbanding garam kan? Barulah sedap kek kita tu. Jadi, begitu lah juga dalam hal adab dan amalan. Perbanyakkan adab mengiringi amalan yang sedikit, maka akan cantik lah keseluruhan amalan kita itu nanti.

(Teks Arab di sini)

Maksudnya: Sesetengah daripada Salaf berkata:” Dengan mempelajari satu bab daripada adab (akhlak) lebih disukai disisiku daripada mempelajari tujuh puluh (70) bab daripada bab-bab ilmu”.

(Mausu’ah al-Adabil Islamiah:14)

(Teks Arab di sini)

Maksudnya: Imam az-Zahabi Rahimahullah telah menyebut bahawa, sebanyak lima ribu (5000) orang yang hadir mengikuti majlis Imam Ahmad bin Hanbal, lima ratus (500) orang daripadanya menulis apa yang diperkatakan, manakala yang selebihnya mengambil istifadah daripada keadaan, akhlak dan adabnya.”

(Mausu’ah al-Adab al-Islamiah:14)

(Teks Arab di sini)

Maksudnya: Ibnul Mubarak berkata: “Aku mempelajari adab selama tiga puluh (30) tahun, dan aku mempelajari ilmu selama dua puluh (20) tahun, dan adalah mereka (Ulamak) mempelajari adab kemudian mempelajari ilmu”.

(Mausu’ah al-Adabil Islamiah:15)

(Teks Arab di sini)

Maksudnya: Habib bin as-Syahid berkata: “Wahai Anakku, berkawanlah engkau dengan Fukaha’ (orang alim), pelajarilah daripada mereka dan ambillah adab-adab yang baik daripada mereka, kerana sesungguhnya yang demikian itu lebih disukai disisiku daripada banyak mempelajri (hadith).”

(Mausu’ah al-Adabil Islamiah:14)

(Teks Arab di sini)

Maksudnya: Imam Syafie berkata: Sesiapa yang ingin dibuka hatinya oleh Allah, maka hendaklah ia berkhalwah, sedikitkan makan, menjauhi daripada bergaul dengan orang bodoh dan membenci orang yang tidak berlaku adil dan tidak beradab daripada kalangan orang yang berilmu.”

(Kitab Majmuk, Syarah Muhazzab (Jilid 1):m/s:31)

Rasulullah SAW amat menekankan kepada umat Islam semua supaya mendidik anak-anak mereka dengan didikan yang baik dengan mengajarkan kepada mereka adab-adab Islam yang mulia semenjak kecil lagi. Didikan tersebut akan memudahkan mereka apabila mereka dewasa nanti. Didikan yang baik akan melahirkan insan yang bertakwa dan mulia, manakala didikan yang buruk boleh membawa kepada derhaka terhadap ibu bapa dan berakhlak dengan akhlak yang buruk. Baginda SAW amat menekankan perkara demikian sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang berbunyi:

(Teks Arab di sini)

Maksudnya: Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mempunyai anak perempuan, kemudian mendidiknya dan memperelokkan didikannya, kemudian mengajarnya dan memperelokkan ajarannya, kemudian memberikan kepada mereka nikmat Allah SWT yang dikurniakan kepadanya, tidak ada melainkan baginya penegah dan penutup daripada api neraka.”

(Riwayat Ibnu Majah)

Setiap ibu bapa hendaklah mendidik anak mereka dengan didikan yang baik kerana merekalah harapan pada masa hadapan. Sekiranya mereka dididik dengan didikan yang buruk, maka lahirlah masyarakat yang tidak berakhlak. Sentiasalah berusaha sedaya upaya untuk mendidik anak-anak dengan didikan yang telah diajarkan oleh agama Islam.

(Teks Arab di sini)

Maksudnya: “ (Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu) Berkata Saiyyidina Ali K.W ketika menafsirkan ayat ini: “Ajarkanlah kepada diri kamu dan ahli keluarga kamu kebaikan dan didiklah mereka (dengan adab-adab).”

(Al-Adab Islamiah Li-an Nasyiah:8)

Adab-adab yang baik merupakan warisan yang amat berharga buat anak-anak. Warisan tersebut dapat memandu mereka ke arah kebaikan dengan melaksanakan segala perintah Allah SWT dalam keadaan baik dan sempurna. Kehidupan seharian mereka dihiasi dengan kecantikan akhlak yang mampu untuk mereka meneruskan kehidupan dengan aman dan selamat.

(Teks Arab di sini)

Maksudnya: Sayyidina Ali r.a berkata: “Petunjuk sebaik-baik pemimpin, akhlak yang baik sebaik-baik teman, akal merupakan sebaik-baik sahabat dan adab sebaik-baik peninggalan (pusaka).”

(Al-Adab Islamiah Li-an Nasyiah:10)

(Teks Arab di sini)

Maksudnya: “Salah seorang Hukamak berkata: Tiada kemuliaan bersama buruknya adab”.

(Al-Adab Islamiah Li-an Nasyiah:10)

Akhlak yang baik mencerminkan kehidupan sesebuah masyarakat. Masyarakat yang baik adalah hasil daripada akhlak yang baik dan begitu juga sebaliknya. Orang lain akan mengikut segala kebaikan yang dibawa oleh sesebuah masyarakat. Berusahalah sedaya upaya untuk mengekalkan adab-adab Islam yang mulia dalam kehidupan seharian supaya segala perkara yang dilakukan diredhai oleh Allah SWT agar masayarakat akan hidup dalam keadaan aman dan selamat di dunia dan akhirat.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

InshaAllah, jika diizinkan Allah, dan dengan kelapangan waktu yang ada, saya akan mulakan dengan Adab-adab Dengan Allah SWT dalam waktu terdekat.